Tuesday, December 20, 2011

Video di Youtube perli ‘panglima ludah’

KUALA LUMPUR 20 Dis: Sebuah video dimuat naik di laman Youtube, memperli aksi dan tindakan samseng Pemuda Umno yang mengugut untuk memukul dan meludah seorang mahasiswa kerana menurunkan bendera presiden Umno di PWTC, Sabtu lalu.

Dalam video berkenaan, jurucakap yang meniru semula aksi Ketua Penerangan Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, Armand Azha, ‘menyelar’ tindakan ‘biadap’ mahasiswa yang memasuki laman sosial Myspace serta ‘mengagungkan’ Facebook.

Menggelarkan diri mereka sebagai ‘top-top perang’, video berkenaan mengejek Armand Azha yang membuat ancaman ke atas penyelaras Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli dalam satu video yang juga dimuatkan di laman Youtube.

Mereka memberi amaran kepada mahasiswa yang menggunakan Facebook supaya tidak memasuki laman sosial Myspace.

“Ini semua top-top perang. Kalau saya jumpa mahasiswa itu, saya tampar dan saya ludah. Puii,” kata pemuda berkenaan sambil aksi ‘meludah’ itu diikuti sekumpulan rakan-rakan di belakang nya.

Kata-kata itu meniru amaran Armand terhadap Adam Adli yang berkata “Jangan sampai satu hari kami jumpa kami ludah, kami tampar muka kau.. Berani kau kurang ajar dengan kami? Ini semua panglima perang tahu?,”

Sehingga berita ini ditulis, video berkenaan yang dimuat naik oleh seorang pengguna bernama kyopropaganda sejak semalam, disukai lebih seribu pengguna internet.

Video itu turut dihubungkan di Facebook, dan mendapat komen dan sambutan dari orang ramai.

Dalam perkembangan sama, pengguna Facebook turut membina laman peminat Adam Adli- sebagai tanda sokongan terhadap mahasiswa terbabit. Laman itu disukai lebih 8,000 pengguna internet setakat ini.


No comments:

Post a Comment