Monday, December 5, 2011

Senangnya KERAJAAN minta MANSUH hutang, "DUIT RAKYAT" tu....

KWSP tidak patut perjudikan wang rakyat
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru-baru ini telah mengumumkan bersama dengan United Engineering Malaysia (UEM) Berhad bahawa kedua-duanya telah bersetuju untuk memansuhkan hutang kerajaan persekutuan yang berjumlah lebih daripada RM2.9 billion melalui suatu perjanjian perlaksanaan baru yang masih belum didedahkan sehingga kini.

Kenyataan dan tindakan pengurusan KWSP yang telah bersetuju untuk memansuhkan sejumlah besar hutang kerajaan tersebut amat merisaukan dan membimbangi kebanyakan pihak khususnya para pekerja-pekerja dan kesatuan-kesatuan sekerja.

Kami kurang memahami kenapa pula kerajaan persekutuan pada hari ini masih tidak mampu membayar balik pinjaman berbilion-bilion Ringgit itu sehinggalah terpaksa meminta jasa baik KWSP untuk memansuhkan bebanan hutangnya. Ke mana perginya dana kerajaan yang begitu banyak? Kenapa pula dana penyimpan para pekerja harus diperjudikan oleh pihak pengurusan KWSP dengan sewenang-wenangnya?

Simpanan Di Hari Tua

Kita semua sememangnya telah mengetahui bahawa caruman yang dibuat oleh dan untuk para pekerja melalui setiap majikan di negara kita adalah bertujuan untuk mengumpul dana yang mencukupi bagi menampung kehidupan semua apabila tibanya hari tua dan persaraan kita di suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, pihak pengurusan KWSP haruslah lebih peka dan sensitif apabila mereka memutuskan untuk menggunakan wang simpanan hari tua rakyat ini untuk diberikan sebagai pinjaman kepada pihak-pihak khususnya syarikat-syarikat korporat swasta, perbadanan-perbadanan kerajaan serta syarika-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Selain daripada itu, pihak pengurusan KWSP juga harus berhati-hati dan tidak memandang sambil lewa sebelum pinjaman tersebut dapat diberikan kepada pihak-pihak yang tertentu.

Simpanan yang berada di dalam KWSP adalah merupakan simpanan setiap di antara kita untuk di hari tua yang akan datang.

Kemampuan Kerajaan Bayar Balik?

Sehingga sekarang, kita semua masih belum dapat memahami dengan jelas kenapa kerajaan persekutuan tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik hutang pinjaman mereka kepada KWSP?

Adalah sangat jelas bahawa sumber pendapatan kerajaan adalah begitu banyak sekali, daripada cukai pendapatan, kutipan duti dan eksais, cukai jualan, cukai eksport, cukai import, cukai perkhidmatan dan macam-macam lagi. Penyumbang yang paling besar dana kerajaan sekarang adalah Petronas, hasil daripada industri gas dan minyaknya memperoleh untung jutaan Ringgit dari serata dunia pada setiap tahun selain daripada sumber minyak tempatannya.

Ke manakah perginya kesemua hasil-hasil keuntungan lumayan yang diperolehi kerajaan persekutuan selama ini sehingga terpaksa merayu untuk tidak membayar balik kepada KWSP?

Perjanjian Perlaksanaan Baru dengan Kerajaan

Apakah sebenarnya isi kandungan di dalam perjanjian perlaksanaan baru yang telah dibuat di antara kerajaan persekutuan dan KWSP sebagai syarat untuk memansuhkan pembayaran balik pinjaman tersebut kepada KWSP? Kenapa pula kandungan perjanjian tersebut tidak didedahkan kepada tatapan umum?

Pihak pengurusan KWSP harus mengumumkan kepada umum kandungan perjanjian tersebut kerana ianya secara langsung melibatkan kepentingan rakyat di negara kita ini yang sebahagian besar adalah merupakan pencarum kepada dana tersebut pada setiap bulan.

Oleh yang demikian, kita semua selaku pencarum kepada dana tersebut mempunyai hak kami sama seperti seseorang pemegang saham untuk mengetahui dan memahami apakah yang telah dan sedang dilakukan oleh pengurus dana iaitu pengurusan KWSP ke atas wang simpanan kita dan bagaimana pula ianya sering digunapakai, dilabur, dipinjam dan sebagainya.

Akaun KWSP Haruslah Umum

Oleh kerana KWSP adalah pengurus dana dan simpanan rakyat, kami berpendapat bahawa KWSP haruslah mengemukakan penyata pelaburan dan perakaunan mereka kepada umum pada setiap tahum sama seperti apa yang dilakukan oleh syarikat-syarikat umum berhad dan syarikat-syarikat korporat yang disenaraikan di Bursa Saham.

Ini adalah kerana ianya melibatkan wang rakyat dan oleh yang demikian, ianya melibatkan soal kepentingan umum pada keseluruhannya, sama seperti syarikat-syarikat yang mengambil wang para pemegang saham untuk melabur dan diniagakan bagi memperoleh hasil keuntungan.

Tanggungjawab Pegawai Kerajaan

Siapakah yang mengawal selia setiap perbelanjaan kerajaan selama ini? Sudah tentunya para pegawai-pegawai kerajaan itu sendiri yang menguruskannya. Jadi para pegawai-pegawai kerajaan haruslah mengetahui bagaimanakah perbelanjaan di dalam kerajaan ini dilaksanakan pada setiap masa.

Dan apabila perbelanjaan kerajaan terlalu boros dan disalahgunakan, ianya akan terus mengakibatkan dana kerajaan menjadi berkurangan, justeru daripada itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kerugian dan defisit di dalam akaunnya.

Oleh kerana itu, kami berpendapat bahawa para pegawai-pegawai kerajaan ini haruslah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kedudukan kewangan kerajaan kerana mereka sendirilah yang sedang menguruskan dan menentukan perbelanjaannya.

Untung ruginya dan berapa banyak baki yang tertinggal di dalam dana kerajaan itu kesemuanya bergantung kepada kebijaksanaan dan keikhlasan para pegawai kerajaan yang menguruskannya.

Sekiranya kerajaan mengalami defisit dan kekurangan dana akibat terlalu beboros ataupun penyelewengan dan salahguna kuasa, para pegawai-pegawai dan juga pesara-pesara kerajaan patut bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tindakan mereka sendiri dan mengambil inisiatif untuk menawar balik sebahagian daripada gaji mereka untuk membantu kerajaan meringan bebanan hutang dan bukannya mengambil daripada dana simpanan rakyat dalam KWSP. Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment