Thursday, December 1, 2011

Muhyiddin yang tidak mempunyai daya fikir intelek yang tinggi

Jihad: Lucunya kenyataan Muhyiddin 
KUALA LUMPUR, 30 Nov: Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup sedih dan kecewa di atas ucapan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sama sekali tidak menunjukkan beliau selaku orang nombor 2 negara yang mempunyai daya fikir intelek yang tinggi dan budi bahasa yang baik.

Pengarahnya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, semasa merasmikan serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam tadi, Muhyiddin meneruskan perseteruan terhadap Pakatan Rakyat dan PAS secara khususnya dengan alasan yang berbentuk fitnah dan dangkal.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengingatkan Umno bahawa keangkuhan mereka sebagai parti yang tiada galang ganti untuk meneruskan agenda perjuangan bangsa Melayu sudah lapuk ditelan zaman kerana PAS sudah bersedia untuk memimpin bangsa Melayu ke arah suasana politik yang lebih kondusif bahkan lebih lagi PAS menawarkan perjuangan bangsa Melayu menurut ajaran Islam yang syumul,” ujarnya kepada Harakahdaily.

PAS, tegasnya akan menggantikan Umno untuk membela nasib bangsa Melayu yang selama ini menjadi mangsa ‘belasahan’ Umno.

Jadi, tambahnya Umno sememangnya berada di dalam keadaan cukup terdesak kerana PAS dan Pakatan Rakyat semakin mendapat tempat di hati rakyat untuk memerintah negara ini.

“Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendapat bahawa cabaran Timbalan Perdana Menteri kepada para Puteri, Pemuda dan Wanita Umno untuk menjadi mujahid dan mujahidah yang akan berjihad untuk mempertahankan bangsa Melayu di dalam Pilihanraya Umum yang akan datang adalah sebuah lelucon yang amat menggelikan hati,” katanya lagi.
Menurutnya, Umno sebagai sebuah parti sekular yang memisahkan agama di dalam agenda perjuangan politik mereka sanggup menggunakan istilah-istilah Islamik supaya nampak agenda Islam mereka tetapi sebaliknya bersifat munafik semata-mata.
Mohd Sany berkata, sepatutnya jihad yang utama adalah menegakkan hukum syariat Allah Taala di atas muka bumi ini dan bukannya berjihad di atas nama bangsa.

Beliau menambah, Jabatan Pilihanraya DPPM turut mengingatkan kepada seluruh jentera pemuda di semua peringkat supaya meningkatkan kewaspadaan dan kebersediaan untuk menghadapi pilihanraya yang mendatang.

Katanya lagi, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat Umno kini semakin gawat dan tidak keruan, tidak mustahil sepanjang perhimpunan Agung Umno ini akan menjadi perhimpunan yang akan dipenuhi dengan segala macam kenyataan-kenyataan yang bersifat hasutan, ancaman, tuduhan, prejudis, rasis dan sebagainya.

Oleh itu, ujarnya, pihaknya meminta supaya rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan menolak secara total parti Umno dan Barisan Nasional kerana pembawaan politik sempit mereka sudah tidak diterima lagi oleh rakyat.

Selain itu, kata beliau, pihaknya mengarahkan jentera pemuda di semua peringkat untuk membuat laporan polis di atas kenyataan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno yang bersifat menghasut dan menimbulkan kebencian orang Melayu untuk terhadap orang-orang bukan Melayu dan orang-orang yang bukan beragama Islam. Harakahdaily

JIHAD...
Al-Quran telah mengarahkan makna jihad pada arti yang lebih spesifik, yaitu: Mencurahkan segenap tenaga untuk berperang di jalan Allah, baik langsung maupun dengan cara mengeluarkan harta benda, pendapat, memperbanyak logistik, dan lain-lain.

[انْفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللهِ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Berangkatlah kalian, baik dalam keadaan merasa ringan atau pun merasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan diri kalian di jalan Allah. Yang demikian adalah lebih baik bagi kalian jika kalian mengetahui. (TQS. at-Taubah [9]: 41)

Muhyiddin: PRU-13 ‘ibu segala pilihan raya’, mahu ahli Umno jihad

KUALA LUMPUR, 29 Nov ― Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa ahli-ahli Umno berjihad untuk mempertahankan kuasa orang Melayu dengan mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-13 yang menurunya merupakan “ibu segala pilihan raya.”

Susulan tsunami politik tiga tahun lalu, Timbalan Presiden Umno ini menegaskan pilihan raya umum ke-13 akan menentukan jatuh bangun umat Melayu dan kelangsungan mereka.

“Sesungguhnya, kita sedang berada dalam satu situasi yang amat kritikal. Pilihan raya umum ke-13 adalah ibu segala pilihan raya yang akan menentukan jatuh bangun umat Melayu. Apakah kuasa politik kekal berada di tangan kita? Atau akan terlepas ke tangan orang lain?” kata beliau berucap merasmikan secara serentak Persidangan Tahunan Puteri, Pemuda dan Wanita Umno malam ini. Ucapannya disiarkan secara langsung oleh stesen-stesen televisyen tempatan.

Dalam ucapan bertemakan “Menunjangi Survival Bangsa: Suatu Jihad”, Muhyiddin yang timbalan perdana menteri bertanya perwakilan ketiga-tiga sayap, “sanggupkah saudara-saudari melihat kuasa politik terlepas dari genggaman kita?”

“Sanggupkah kita membenarkan pembangkang menawan Putrajaya? Sanggupkah kita melihat orang Melayu hilang kuasa di bumi sendiri? Jawapannya tentu sekali tidak,” kata beliau.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini yang Umno merupakan parti terasnya berkata, perjuangan Umno sekarang jihad untuk agama, bangsa dan negara.

“Jihad untuk keadilan. Jihad untuk pertahan hak. Percayalah, pilihan raya umum nanti mempunyai makna yang cukup dalam kepada kelangsungan kita. Pilihan raya ini adalah medan jihad dan saudara-saudari adalah para mujahid dan mujahidah,” katanya merujuk kepada perwakilan ketiga-tiga sayap itu.

Persidangan tahun ini merupakan ketiga dirasmikan oleh Muhyiddin selaku timbalan presiden Umno.

Muhyiddin menambah, calon adalah senjata parti untuk menang dan oleh itu mahu setiap ahli memberi sepenuh keyakinan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

Katanya, “yang penting, calon kita mesti berkaliber, berpendidikan, berwibawa, berjiwa rakyat, bersih, jujur, amanah, tinggi moralnya dan diterima oleh rakyat.”

“Akurlah dengan keputusan pucuk pimpinan. Berilah sokongan padu kepada setiap calon. Gerakkan jentera untuk membantu mereka,” kata beliau lagi.

Sambil menekankan bahawa Umno tidak sunyi daripada kelemahan dan kekurangan, kata Muhyiddin, partinya bukanlah malaikat.

“Kita insaf dan sedar. Kita sentiasa mengorak langkah melakukan perubahan dan memperbaiki kelemahan tanpa menggadai prinsip perjuangan,” katanya lagi. - TMI

No comments:

Post a Comment