Thursday, December 8, 2011

Isu Fidlot : Polis tak pernah soal kami

Polis masih belum menyoal beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat berhubung pendedahan mereka mengenai dakwaan penyelewengan dana oleh projek ternakan lembu, Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC).

Pemimpin PKR Saifuddin Nasution, Zuraida Kamaruddin dan Rafizi Ramli memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa polis belum menyoal mereka berhubung pendedahan berkenaan.

“Masih teka-teki ... mereka tidak menghubungi kami mengenai isu itu," kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Pakatan telah membidas NFC dan membuat pendedahan demi pendedahan sebaik sahaja projek ternakan lembu itu menarik komen-komen negatif dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang menyifatkannya sebagai berada dalam “ kucar-kacir”.

Antara dakwaan yang dilemparkan oleh PKR adalah bahawa sebahagian daripada dana yang diperuntukkan sebagai pinjaman mudah kepada NFC telah di salah-gunakan oleh ahli keluarga seorang menteri kabinet.

Rafizi mendakwa bahawa mereka yang terbabit telah menyalahgunakan RM181 juta daripada pinjaman RM250 juta untuk membeli kondominium jutaan ringgit, kereta mewah, tanah dan juga untuk tujuan melancong.

Ketua Wanita PKR yang juga ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin juga mengakui bahawa polis belum menghubunginya berhubung pendedahan yang dibuatnya.

"Pihak polis tidak menghubungi saya sehingga hari ini! Tiada kenyataan (diambil) daripada saya," kata setiausaha agung PKR dan ahli parlimen Machang Saifuddin Nasution. - Mk

No comments:

Post a Comment