Harus diingat, cita-cita memajukan kaum Melayu ini bukanlah dimulakan oleh UMNO, terdahulu daripada itu, Abdullah Munshi melalui bukunya yang terkenal Kisah Pelayaran Ke Kelantan (1838) dan Hikayat Abdullah (1849), diikuti Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Shaikh Alhadi, Kajai, Zaaba, Dato Onn, Dr Burhanuddin al-Helmy dan sekian banyaknya karya-karya kreatif mahu pun non-fiksi yang mewacanakan kemajuan kaum Melayu.
UMNO terus meremehkan orang Melayu
15 NOVEMBER – Kerajaan yang baik bukanlah kerajaan yang membuatkan rakyat terus menerus bergantung kepadanya.
Minggu lepas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua mendapat liputan yang luas dalam media arus perdana hasil daripada cadangannya untuk mengecilkan saiz kerajaan.
Namun, liputan yang diberikan, sebagaimana maklum, langsung tidak merujuk dengan jelas kenyataan Pua. UMNO-BN melalui media kawalannya terus-menerus menghentam Pua dan DAP sebagai cuba menghakis, mencabar dan menghina kedudukan istimewa orang Melayu sebagai kakitangan kerajaan.
Bebalnya mereka yang menimbulkan soal kaum, DAP pula yang dituduhnya rasis!
Malah, UMNO-BN juga seolah-olah cuba mendakwa orang Melayu hanya mampu bekerja sebagai kakitangan kerajaan dan gagal bersaing di pasaran terbuka. Bukankah kenyataan ini sangat meremehkan orang Melayu secara keseluruhannya?
Isunya adalah dasar, bukan kaum
Sebagai warga yang matang, pastinya kebanyakan rakyat sedar bahawa usul yang dikemukakan oleh Pua itu datangnya daripada pandangan political economy, sama ada kerajaan yang sedia ada harus mengekalkan saiznya yang besar atau meliberalisasikan segmen-segmen tertentu.
Jelas, bahawa DAP cuba mengusulkan polemik yang bersifat dasar/polisi negara dan seharusnya perkara inilah yang disambut dan dibahaskan dengan penuh rasional – bukannya mengheret isu ini kepada polemik perkauman yang memualkan. Malangnya, UMNO-BN tidak berminat dengan perbincangan dasar negara.
Sedangkan, jika kita mahu berlaku adil, Dr Mahathir Mohamad adalah orang yag bertanggungjawab meliberalisasikan beberapa sektor awam melalui dasar penswastaannya dan kini idea liberalisasi ekonomi ini cuba dijuarai oleh Najib Razak sendiri.
Sikap UMNO-BN ini bukanlah suatu yang mengejutkan. Cara UMNO-BN meraih sokongan adalah dengan membuatkan rakyat hilang percaya diri dan berterusan bergantung kepadanya. Jika kita cermat meneliti sejarah, pastinya kita akan bertemu sikap yang sama pada penjajah British dan perangai ini diteruskan oleh UMNO.
Revolusi mental UMNO
Buktinya seawal tahun 1968, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan Jawatankuasa Revolusi Mental.
Revolusi Mental kononya mahu menjadi suatu usaha gerakan perubahan kepada sikap, perangai dan pemikiran orang Melayu agar menjadi satu bangsa yang berdaya saing, terpuji dan mampu berdiri sendiri.
Maka pada tahun 1971, terbitlah buku Revolusi Mental yang kononnya membedah keperibadian dan sikap sebenar kaum Melayu keseluruhannya.
Harus diingat, cita-cita memajukan kaum Melayu ini bukanlah dimulakan oleh UMNO, terdahulu daripada itu, Abdullah Munshi melalui bukunya yang terkenal Kisah Pelayaran Ke Kelantan (1838) dan Hikayat Abdullah (1849), diikuti Sheikh Tahir Jalaludin, Syed Shaikh Alhadi, Kajai, Zaaba, Dato Onn, Dr Burhanuddin al-Helmy dan sekian banyaknya karya-karya kreatif mahu pun non-fiksi yang mewacanakan kemajuan kaum Melayu.
Namun, apa yang membezakan UMNO melalui Revolusi Mental-nya adalah cara pandang mereka terhadap keperibadian kaum Melayu yang sangat menghina dan meremehkan Melayu.
Malah, Revolusi Mental itu telahpun dikritik hebat oleh Syed Husein Alatas melalui Siapa yang Salah, Sekitar Revolusi Mental dan Keperibadian Melayu (1974).
Menurut Syed Husien, buku yang sesat pemikiran dan banyak penyelewengan akedemik itu banyak meremehkan keperibadian kaum Melayu dengan mengatakan bahawa kaum Melayu itu mewarisi tidak kurang 17 sifat buruk termasuk kurang rasional, kurang realistik, kurang imaginasi, boros, tidak menghargai masa dan takut mengambil risiko. Hujah-hujah untuk menyokong kenyataan ini pula sangatlah lemah dan banyak berdasarkan pandangan peribadi semata-mata.
Malangnya, buku ini masih lagi dianjurkan untuk dibaca tanpa disebut pun akan kritikan besar Syed Husien itu. Buktinya, rencana yang mengangkat Revolusi Mental masih ada dalam web rasmi Pemuda UMNO Malaysia.
Selain itu, The Malay Dilemma (1970) karya Dr Mahthir juga cenderung mengajukan hal yang sama. Kemunduran kaum Melayu itu kerana perwatakannya yang ditentukan oleh iklim persekitaran.
The Malay Dilemma mengatakan kaum Melayu itu mundur kerana sifat semula jadinya. Oleh kerana Melayu itu amat selesa, tiada bencana alam yang dasyat sebagaimana di China dan India, tanahnya subur, aman tenteram maka tidaklah menjadi kaum yang rajin, malah sering pula bersenang-senang sehingga tidak produktif.
Hujah climate determination ini sudah lama ditolak oleh para akademis kerana menafikan sifat paling asas manusia – kemampuannya beradaptasi dan agensi yang aktif berfikir.
UMNO tiada gagasan majukan Melayu
Kecelaruan fikiran ini bukan sahaja menunjukkan UMNO tidaklah punya suatu gagasan yang jelas untuk memajukan Melayu – kaum yang mereka dakwa wakili – malah sering pula hujah-hujah yang mereka kemukakan itu sangat menghina dan meremehkan kaum Melayu, sebagaimana puisi ‘masyhur’ Mahathir, Melayu Mudah lupa.
Sikap meremehkan rakyat ini – dalam konteks ini Melayu – datangnya dari budaya patron-client yang berakar daripada amalan feudalistik. Elit pemerintah harus sentiasa dilihat kuat dan releven manakala yang diperintah sangat lemah dan sentiasa mengharapkan naungan.
Sikap politik ini tidak akan menguatkan (empower) masyarakat, sebaliknya hanya menyebabkan masyarakat kekal bergantung kepada pemerintah – sebagaimana yang diharapkan oleh UMNO terhadap orang Melayu.
Oleh itu, sikap ini wajib diubah kerana kerajaan yang baik, bukanlah kerajaan yang membuatkan rakyatnya bergantung kepadanya. Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mampu menyediakan ruang untuk rakyatnya mengoptimumkan kemampuan dan potensi diri.
Kerajaan yang baik hanya mengelola, bukan menentukan dan UMNO kelihatannya gagal memahami hal ini – dulu, kini, dan (mungkin?) selamanya. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment