Saturday, November 5, 2011

Kemiskinan – dahulu, kini dan selamanya

Mendalami artikel-artikel MSK kebelakangan ini berkaitan isu kemiskinan membuktikan bahawa sifat kekurangan pada seseorang itu adalah sebenarnya adalah sifat kelebihan atau boleh dijadikan senjata kepada orang lain.

Sejarah dunia telah membuktikan bagaimana kemiskinan telah dijadikan warisan oleh beberapa bangsa yang berterusan menindas mereka yang tergolong dalam kemiskinan ini. Bagaimanapun sejarah juga membuktikan ramai yang bangkit dari kemiskinan untuk berjaya. Malah di antara mereka yang berjaya ini (terutama pemerintah) turut menjadikan kemiskinan orang lain untuk dirinya berterusan di takhta kejayaan.

Sebagai pemerintah, ukuran membasmikan kemiskinan adalah satu tahap pencapaian yang sering dicanangkan dalam mana-mana rekod pemerintahan mereka. Bagaimanapun bukanlah bermakna usaha membasmikan kemiskinan ini boleh dilakukan dalam tempoh semalaman sahaja. Mengakui masih ada (malah banyak lagi) golongan miskin dalam kawasan pemerintahan juga bukanlah bermakna kegagalan pemerintah dalam usaha ke membasmikan kemiskinan ini.

Pemerintah (kerajaan) melalui Pusat Zakat umpamanya perlu memainkan peranan berkaitan membasmikan kemiskinan ini. Membasmi dan membantu adalah dua perkara yang berbeza. Membantu golongan miskin boleh disamakan seperti memberi ikan kepada yang memerlukannya. Manakala membasmi kemiskinan pula boleh disamakan dengan memberi pancing kepada yang memerlukannya. Ini termasuklah mengajar cara memancing dan jika perlu ditunjukkan kawasan yang boleh (dan ada ikan) untuk dipancing. Biasanya membantu adalah untuk jangka masa pendek dan membasmi pula untuk jangka masa panjang.

Perlu diingatkan golongan miskin ini biasanya hidup dengan serba kekurangan. Ada di antara mereka yang terpencil di kawasan pendalaman, tertinggal dari infrastruktur dan perhubungan media masa. Malah ada yang dipencilkan oleh golongan lain yang bernasib baik. Tidak hairanlah jika Bekas Mufti Perlis, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainal Abdin yang mempersoalkan peranan Pusat Zakat yang lebih ke arah menunggu golongan miskin ini datang ke pejabat mereka dari turun padang mencari dan mengesan mereka untuk disalurkan bantuan.

Mudah sahaja analogi Dr. Asri, jika Bersamamu TV3 boleh mengesan mereka, mengapa Pusat Zakat tidak boleh mengesan mereka?

Artikel ini bukan untuk mempersoalkan peranan dan tanggungjawab Pusat Zakat tetapi ingin berkongsi pengalaman sebuah badan NGO amal yang berurusan dengan beberapa pemimpin yang tidak mahu mengakui (malu atau cuba menyembunyikan realiti) masih ujudnya golongan kemiskinan di kawasan mereka.

Pemimpin NGO amal ini seorang anak muda yang berjaya dalam perniagaannya mengeluhkesahkan kepada saya minggu lepas. Pertemuan yang tidak dirancang di sebuah kedai kopi Cina di Taiping minggu lepas kebetulan sehari selepas bekas PM, TDM mengeluarkan kenyataan lapan asnaf yang layak menerima zakat sudah tidak wujud di kebanyakan negara kaya, selain kutipan juga melebihi keperluan mereka yang ada. TDM juga mencadangkan agar sebahagian kecil kutipan zakat dari negara Islam yang kaya diberi kepada negara miskin atau rakyat miskin di negara lain.

Walaupun tidak menyatakan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang tiada lagi lapan asnaf tersebut, TDM seolah-olah mengambarkan kutipan zakat di Malaysia sepatutnya digunakan untuk negara miskin yang lain.

Bermula dengan pemimpin NGO amal ini mempersoalkan fahamkah apa yang dimaksudkan dengan lapan golongan asnaf ini yang bukannya semata-mata golongan (i) fakir dan (ii) miskin. Ada enam lagi golongan asnaf iaitu (iii) amil (pengurus zakat), (iv) Dua Golongan Al-Muallafatu Qulubuhum iaitu (a) Golongan Muslim seperti Mualaf, Ketua-ketua kumpulan Islam yang menpunyai hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya, Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap Imannya tetapi masih berpengaruh dan (b) Golongan bukan Muslim (Kafir) seperti orang yang berkemungkinan menerima Islam, dan boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.

Manakala empat golongan asnaf lagi ialah (v) Fir Riqab (pembebasan hamba) di mana sekarang ini fatwakan takrif Ar Riqab ini diperluaskan lagi kepada pembebasan yang mencangkupi segala bentuk perhambaan dan penindasan yang ada seperti pembebasan dari belenggu kejahilan, pembebasan golongan lemah dari cengkaman orang-orang yang berkuasa dan pembebasan dari perhambaan ekonomi, politik dan sebagainya, (vi) Al- Gharimin (Orang-orang berhutang), (vii) Fi Sabilillah yang ditafsirkan dalam konteks yang lebih luas iaitu segala bentuk usaha yang ikhlas bagi mencapai keredhaan Allah. Oleh itu ia merangkumi segala bentuk kebajikan seperti bantuan untuk peperangan menentang musuh Islam, bantuan kepada pelajar dan apa sahaja bentuk ketaatan dan pendekatan diri kepada Allah, dan terakhir (ix) Ibnu Sabil Iaitu orang-orang musafir yang dimaksudkan dengan musafir dalam konteks ini bukan sahaja orang yang sedang dalam perjalanan tetapi juga orang yang berniat untuk bermusafir.

Ini bermakna selain dari dua golongan pertama asnaf iaitu fakir dan miskin, yang dimaksudkan oleh TDM sebagai penerima mutlak zakat ini. TDM sudah terlepas pandang kepada enam golongan asnaf yang lain.

Kemungkinan juga penasihat kepada TDM (penasihat agama?) tidak menerangkan maksud sebenar golongan lapan asnaf ini kepada TDM.

Ini mengingatkan saya kepada menjelangnya PRU 10 (29 November 1999) di ADUN Kamunting. Ketika itu masih belum lagi dinamakan calon ADUN Kamunting dan pemegangnya ialah ayah kepada ADUN Kamunting sekarang.

Di dalam suatu kempennya (kempen menjadi calon dengan memburuk-burukkan ADUN sedia ada), dalam satu majlis sumbangan di Restoran Daim Kemta (kini sudah ditutup), bakal ADUN Kamunting ini telah memperli pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Taiping kerana hanya menyediakan 20 senarai nama golongan miskin yang diminta oleh wakilnya. Beliau yang ketika itu Setiausaha Politik PM dan juga pengerusi Yayasan Penyayang (kononnya diterajui oleh isteri PM) berjanji akan turun padang untuk mencari dan mengesan seberapa ramai golongan miskin ini jika terpilih menjadi calon dan seterusnya jika berjaya memenangi PRU 10.

Apa yang sebenarnya yang berlaku ialah adik kepada bakal ADUN ini iaitu seorang pegawai penjara ketika itu pergi ke pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Taiping dan meminta senarai nama golongan miskin. Apabila ditanya berapa orangkah yang dikehendaki. Jawab adik bakal ADUN ini; bagilah 20 orang!

Menurut pegawai Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Taiping ketika itu; kalau hendak seramai mungkin, dua ribu orang senang-senang mereka bagi!

Ini adalah cerita sebenar pegawai Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Taiping kepada saya sendiri yang turut hadir di majlis sumbangan tersebut kerana dipertanggungjawabkan memasang PA system.

Ini adalah cerita hampir 15 tahun dahulu, ADUN tersebut berjaya juga selama dua penggal bergelar YB di Kamunting. Tidak kedengaran sangat usaha mencari dan mengesan kemiskinan di era dua penggalnya. Sebaliknya apa yang diketahui ramai, pengusaha dan pemilik sebuah syarikat pembinaan dan perkilangan di Kamunting menjadi kaya raya dengan bantuan beliau.

Itu cerita lama. Pemimpin muda NGO amal ini membawa cerita baru pula.

Sebagai NGO amal yang berdaftar dan dasar pergerakan mereka tidak bermotifkan politik, mereka begitu bertertib dan beretika ketika hendak memasuki mana-mana kawasan. Biasanya mereka menghubungi pemimpin tempatan seperti Ketua Kampung, JKKK ataupun YB sendiri.

Bagaimanapun kata pemimpin muda NGO amal ini, beliau terkejut apabila dua orang YB di Perak yang dihubungi awal-awal lagi memberi jawapan yang sama iaitu – tiada golongan miskin dan daif di kawasan saya. Seorang YB di Perak Utara dan seorang lagi YB di Perak Tengah. Kedua-duanya pula YB Umno!

Berbeza pula dengan YB Pas (di Perak Utara), siap hendak bagi orang tolong tunjuk rumah!

“Macam mana pula YB PKR?”, saja saya tanya.

“YB PKR lagi teruk! Dia orang langsung tak tahu sama ada atau tak ada orang susah di tempat mereka!”, jawab pemimpin muda NGO amal ini.

Adakah YB Umno di Perak Utara dan Perak Tengah ini malu untuk mengakui adanya golongan asnaf di kawasan mereka? Ataupun wakil mereka di kawasan mereka menyembunyikan kewujudan golongan asnaf ini?

Kalau dikira dengan TDM (merujuk kenyataannya) dengan dua YB Umno di Perak Utara dan Perak ini betul sangatlah slogan yang dilaung-laungkan sebelum ini iaitu; dahulu, kini dan selamanya – sama saja tak berubah-ubah!


No comments:

Post a Comment