Tuesday, November 8, 2011

Ke Manakah Wang Rakyat RM1.43 Bilion Hilang??

KUALA LUMPUR 8 Nov: Jawatankuasa pemantauan Audit Pakatan Rakyat mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan kehilangan Wang Luar Jangka atau peruntukan kecemasan Perbendaharaan Negara sebanyak RM1.43 bilion, kata Pengerusinya, Azan Ismail.


Ini kerana katanya, Anggaran Perbelanjaan Persekutuan bagi Kumpulan Wang Luar Jangka setiap tahun sepatutnya sama dengan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), iaitu sebanyak RM1.5 bilion.

“Namun, berdasarkan LKAN 2010, jumlah yang dicatatkan hanyalah RM79.14 juta dan jumlah itu berbeza dengan jumlah yang dinyatakan pada Anggaran Perbelanjaan Persekutuan yang jumlahnya mestilah RM1.5 bilion.

“Maknanya, berlaku ‘kehilangan’ wang rakyat kira-kira RM1.43 bilion. Dengan itu, kita menuntut penjelasan dari Datuk Najib menjelaskan segera isu ini,” kata Ahli Parlimen Indera Mahkota itu dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Turut serta, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yussoff.

Menurut Azan, walaupun artikel 103 Perlembagaan Persekutuan membenarkan menteri membelanjakan Kumpulan Wang Luar Jangka, namun ia mestilah diganti dalam kadar yang paling segera.

“Malangnya, sehingga 31 Disember 2010 yang sudah berakhir, jumlah itu tidak digantikan dan kita mahu penjelasan ke mana ‘disembunyikan’ wang rakyat ini kerana ia jelas bertentangan dengan perlembagaan persekutuan artikel 103,” katanya.

Dalam sidang media itu, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu turut menunjukan data yang dikutip dari Buku Anggaran Perbelanjaan Persekutuan bagi 2010, 2011 dan 2012 dan LKAN 2010. KD

No comments:

Post a Comment