Monday, November 14, 2011

Isu Fidlot : “Kami hanya mahu penjelasan"

Bukan mahu serang Shahrizat tapi kami mahu penjelasan - Rafizi
“Kami hanya mahu penjelasan kerana ia melibatkan duit rakyat,” kata Pengarah Strategik PKR, Rafizi Raml dalam satu pertemuan.. Ikuti wawawancara dengan beliau.

Khamis lalu, Sinar Harian menyiarkan wawancara bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar bagi menjawab persoalan dibangkitkan pembangkang mengenai projek fidlot yang menelan kos sehingga RM250 juta tidak disiapkan sepenuhnya.

Menurutnya, pembangkang sengaja memutar belit kenyataan untuk kepentingan politik dan berbohong mengenai pinjaman RM250 juta kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dikatakan ada kaitan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pada masa yang sama, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut tampil mempertahankan NFC dengan mendakwa pembangkang khususnya PKR berniat jahat (mala fide) dan cuba menipu rakyat berhubung isu itu.

Selang beberapa hari, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail pula membangkitkan isu pembelian kondominium mewah bernilai RM9.8 juta di Bangsar sementara Ketua Wanitanya, Zuraida Kamaruddin menuntut Shahrizat meletak jawatan dalam parti serta kerajaan. Isu NFC menjadi semakin panas!

Dalam pertemuan dengan Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli, beliau berkata, PKR tidak berhasrat untuk ‘menyerang’ Shahrizat tetapi mahu penjelasan kerajaan mengenai isu terbabit seperti yang didedahkan Laporan Audit Negara.

“Kami hanya mahu penjelasan kerana ia melibatkan duit rakyat,” kata Rafizi. Ikuti wawawancara dengan beliau.

Sebenarnya, apa yang tidak kena dengan pelaburan kondominium di Bangsar itu?

MOHD RAFIZI: Ia bertentangan kerana pinjaman kepada NFC adalah untuk membeli lembu dari luar negara dan diternak di ladang satelit sebelum disembelih serta dagingnya dijual kepada pembekal, bukan terlibat dalam pelaburan hartanah. Jadi di sini kami nampak berlaku penyelewengan dari segi tujuan asal pinjaman dibuat. Kami dapati, apa yang dikatakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar tidak benar mengenai pengeluaran melalui akaun khas yang dikawal ketat Menteri Kewangan dan Jabatan Veterinar. Jika dikawal selia, sudah tentu Jabatan Veterinar tidak memberi kebenaran untuk membeli kondominium ini.

Kenapa tidak boleh melabur dalam hartanah jika menguntungkan?

MOHD RAFIZI: Masalahnya, NFC melabur dalam perkara yang tidak kena mengena dengan projek fidlot, berkaitan ternakan lembu dan menjual daging untuk pasaran tempatan. Malah, mereka gagal menternak 80,000 lembu. Sekarang kenapa membuat pelaburan dalam sektor hartanah sekiranya projek fidlot tidak boleh beri keuntungan? Ini menunjukkan sesuatu tidak kena berlaku atau mereka merasakan projek ini akan memberi kerugian sebab itu terlibat pula dalam pembelian kondominium pula.

Jadi apa yang perlu NFC lakukan?

MOHD RAFIZI: Seperti dakwaan projek ini menguntungkan, bagi saya, syarikat itu perlu melabur dalam aset yang boleh mengembangkan dan membesarkan operasi syarikat bukannya membeli kondominium. Saya mahir dalam perkara ini kerana mempunyai latar belakang dan berpengalaman dalam korporat. Selalunya pelaburan dilakukan apabila syarikat itu mempunyai kewangan yang berlebihan. Bukan mereka pinjam ini, buat benda lain. Malah sejak 2008, akaun NFC mencatatkan kerugian dari RM7 juta hingga RM11 juta.

Jadi pelaburan ini tidak wajar dilakukan?

MOHD RAFIZI: Benar. Jika dilihat dari segi pengurusan korporat, perkara ini sepatutnya tidak berlaku terutama jika sesebuah syarikat sedang mengalami kerugian.

Apakah risikonya?

MOHD RAFIZI: NFC perlu tahu sektor hartanah kini mempunyai risiko tinggi. Kita semua peka dengan keadaan ekonomi negara sekarang tidak menentu dan kuasa beli rakyat menurun, kenapa tiba-tiba mereka pilih bidang ini. Malah apa yang saya tahu. sekarang berlaku lambakan kondominium di mana-mana dan sekiranya membeli pada harga ini (RM9.8 juta), jika berlaku kejatuhan harga, bermakna NFC terpaksa menanggung kerugian yang besar. Malah, pelaburan kondomonium mewah di Bangsar sebenarnya tidak masuk akal kerana harga pasaran yang mereka beli mengikut kaki persegi lebih mahal daripada bangunan KLCC!

Kerajaan telah bekukan wang itu, jadi apa masalah?

MOHD RAFIZI: Noh Omar ada kata kerajaan telah membeku akaun NFC sebanyak RM115.28 juta, sedangkan kami dapati semua pinjaman RM250 juta telah masuk ke akaun semasa NFC yang boleh digunakan pada bila-bila masa, sedangkan projek ini tersasar jauh daripada matlamatnya sebagaimana beliau sendiri akui hanya 23 telah beroperasi daripada 67 ladang satelit telah dibina. Jika diamati maksudnya bererti projek itu tidak menguntungkan. Jadi apa yang perlu kerajaan lakukan ialah mengambil balik lebihan pinjaman diberikan itu kerana ia wang rakyat, bukan cakap sahaja. Ini kerana, wang yang ada dalam akaun itu boleh digunakan oleh syarikat berkenaan. Inilah masalahnya, apabila Noh kata projek dibekukan sedangkan wang masih berjalan (digunakan). Ini bererti wang keluar (pinjaman diberikan) dengan banyak sedangkan tiada bekalan daging di pasaran tempatan.

Berbalik pada projek fidlot, dakwaan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bahawa tindakan PKR membangkitkan isu ini kerana kepentingan politik dan ingin menjatuhkan Shahrizat, adakah ini benar?

MOHD RAFIZI: Kita tidak merancang ‘memanaskan’ isu fidlot. Pada mulanya, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membawa isu ini ke Parlimen sebanyak tiga kali sejak Jun 2010, Mac 2011 dan November 2011. Kami (pembangkang) berasa kecewa kerana isu ini tidak diberi peluang untuk menteri jawab semasa Parlimen bersidang dan dibahas secara mendalam oleh ahli Parlimen. Yang mana tidak baik kita perbaiki, itulah matlamat asalnya.

Apabila gagal berbuat demikian di Parlimen, adakah niat pembangkang hebahkan supaya menjadi isu panas?

MOHD RAFIZI: Apa pun, Mereka (Noh dan Shahrizat) tidak boleh lari daripada memberi kenyataan kerana melibatkan akauntabiliti kepimpinan negara. Masalah ini sebenarnya menunjukkan satu projek menelan kewangan besar telah mengalami kegagalan serta perlu diambil perhatian serius. Soal kita hendak serang Shahrizat atau tida, sebenarnya tidak timbul kerana kita mahukan penjelasan daripada menteri berkaitan. Kita juga mahu membantu petani dan penternak lembu tempatan. Sepatutnya projek ini tidak diberi kepada satu-satu syarikat untuk memonopolinya, apatah lagi apabila syarikat yang diberi tender itu ada kaitan dengan menteri.

Jika benar tidak serang peribadi, kenapa tidak terus berjumpa pengurusan NFC?

MOHD RAFIZI: Saya ada hantar surat bertarikh 2 November 2011 kepada Pengarah Eksekutif NFC, iaitu suami Shahrizat untuk mendapatkan penjelasan lanjut. Beliau tidak memberi sebarang jawapan. Kemudian, PKR mengajaknya supaya memberi taklimat mengenai pengurusan NFC, namun beliau menolak atas sebab-sebab tertentu.

Andai kata kerajaan jawab, adakah isu ini boleh tutup buku?

MOHD RAFIZI: Kami akan panjangkan isu ini sehingga pilihan raya umum akan datang. Kami rancang setiap minggu ada isu baru yang berbangkit dengan projek NFC. Paling penting, Shahrizat perlu jawab, bukan diam diri.

Khairy dan Noh telah jawab, adakah belum mencukupi?

MOHD RAFIZI: Di sini saya hendak ucap terima kasih kepada Khairy kerana sibuk untuk mempertahankan menteri itu (Shahrizat). Saya hairan kenapa perkara ini seolah-olah melibatkan pihaknya sedangkan kita mahu orang lain jawab. Noh Omar pula terpaksa cuci kementeriannya kerana kesilapan dilakukan oleh bekas menteri sebelum ini. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab kerana melibatkan semua pihak dalam kerajaan dan Kabinetnya. Rakyat berhak mengetahui apa yang sebenarnya berlaku.

Tadi ada kata akan teruskan isu ini sehingga pilihan raya, jadi benarlah ia dipolitikkan?

MOHD RAFIZI: Sebenarnya pendekatan kerajaan pada peringkat awal meluluskan projek ini untuk menambah kuantiti makanan dalam negara. Kita semua beri lampu hijau, tanda setuju. Apatah lagi untuk memodenkan industri pertanian dan penternakan di negara ini. Masalah sekarang, cara agihan projek dilakukan nampak ada sesuatu tidak betul dengan modal yang besar diperlukan sedangkan belum ada pulangan keuntungannya. Malah NFC paksa pembekal membeli daging dengan harga yang mahal dan menunjukkan ia untuk dijual kepada golongan kaya sahaja. Jadi rakyat keseluruhan tidak dapat menikmati hasil. Jika ini hasilnya, rakyat akan beralih membeli lembu tempatan kerana harga lebih kompetitif. Jadi matlamat untuk menambah makanan dalam negara telah tersasar jauh.

Berbalik kepada kenyataan Saifuddin dan Zuraida, kami dapati PKR menjadikan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sebagai panduan menilai kerugian NFC. Boleh jelaskan.

MOHD RAFIZI: Bulan lalu, saya bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat, Aminuddin Harun meninjau sebuah ladang satelit yang beroperasi di Gemas. Kita menyamar membeli beberapa ekor lembu. Petugas di sana memberitahu, lembu tidak boleh dijual kerana ada 1,000 ekor sahaja dan tidak banyak. Malah, sehari mereka menyembelih 20 ekor sahaja untuk dijual. Ini menimbulkan tanda tanya apabila pinjaman RM250 juta digunakan untuk menyembelih 20 ekor lembu sehari seperti dilakukan penternak kecil-kecilan.

Sedangkan projek ini diselia ketat oleh Jabatan Veterinar, jadi kenapa jadi begini?

MOHD RAFIZI: Apa yang kami ketahui, sebenarnya beberapa pegawai itu tidak setuju dan menyuruh projek ini disemak semula. Mereka membayangkan ia menjadi projek ‘gajah putih’ dan mahukan dihentikan. Malah mereka turut mengemukakan bantahan kepada kementerian sejak 2006 lagi. Apa nak buat, mereka tidak dibenarkan bersuara dan peringkat atasan yang tentukan keputusan. Menurut pegawai berkenaan, projek komersial yang memaksa pengusaha ladang satelit membeli lembu pada harga tinggi tidak boleh memberi keuntungan dan memberi cadangan supaya menggunakan kaedah lama, iaitu membeli baka lembu dan pegawai berkenaan menyediakan khidmat latihan kepada petani serta menyelesaikan masalah penternak mendapatkan tanah untuk mengusahakan lembu. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment