Tuesday, November 15, 2011

Guru : tiada aktiviti Sabtu, Ahad

Dua kesatuan tuntut tiada aktiviti Sabtu, Ahad
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran perlu menyediakan pembantu guru terlebih dahulu dan keluarkan arahan tiada sebarang aktiviti pada Sabtu dan Ahad jika mahu memperkenalkan sistem kerja sembilan jam untuk guru, mulai tahun depan.

Dua syarat berkenaan ditetapkan Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) kepada kementerian bagi memastikan guru tidak berdepan tekanan kerja kerana terpaksa melakukan pelbagai kerja perkeranian sebagaimana dihadapi ketika ini, selain bebanan kerja mereka setara dengan kakitangan awam lain.

Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Arsad, berkata jika tidak ada jaminan melalui pekeliling kementerian khususnya bagi pengecualian tugasan dan aktiviti pada Sabtu dan Ahad, serta jaminan penempatan pembantu guru selagi itu ia tidak boleh dilaksanakan.

“Ia kerana pelaksanaan sistem kerja sembilan jam itu hanya akan menimbulkan bebanan kerja melampau terhadap guru,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Program percubaan selama enam bulan itu akan dilaksanakan ke atas 104 sekolah di empat negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak mulai tahun depan, membabitkan kira-kira 5,000 guru sekolah menengah dan rendah.

Katanya, difahamkan cadangan menyediakan pembantu guru sudah pun dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Negara (KSN), Ketua Pengarah Pelajaran dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam September lalu, justeru perlu ada penempatan pembantu guru terlebih dulu di sekolah yang terbabit sebelum ia boleh dilaksanakan.

Presiden NUTP Hashim Adnan pula berkata, pihaknya amat berharap kementerian akan mengurangkan tempoh percubaan program berkenaan daripada enam kepada dua bulan.

“NUTP menerima banyak maklum balas daripada pendidik berhubung program rintis ini dan dilihat tidak membawa manfaat kepada guru sebaliknya hanya memberi tekanan kepada mereka.

“Jika tempoh sembilan jam bekerja dilaksanakan, bagaimana guru mahu meluangkan masa bersama keluarga memandangkan Sabtu dan Ahad juga mereka terpaksa ke sekolah untuk aktiviti kokurikulum,” katanya.

Hashim berkata, sekiranya kementerian benar-benar mahu melaksanakan program itu, NUTP amat berharap tiada sebarang aktiviti akan dilaksanakan pada Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pelaksanaan program rintis itu perlu sebagai usaha kerajaan mengkaji kesan dan kemungkinan dihadapi oleh tenaga pengajar, sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh. BH

No comments:

Post a Comment