Wednesday, November 2, 2011

Buat MAKSIAT diGALAKKAN, beri TAZKIRAH KENA BURU


DUNIA SUDAH TERBALIK. Dulu beliau seorang yang sering terlibat dengan program-program maksiat dan lagho. Kerjanya antara lain membuat orang ketawa, menjauhkan orang dari mengingati Allah dengan lirik dan muzik yang melalaikan. Tetapi semua itu digalakkan dan beliau tidak pernah diburu atau ditangkap.

Maknanya buat maksiat dan mengajak orang buat maksiat digalakkan.

Tetapi kini selepas beliau insaf dan mula berjinak-jinak dengan program agama dengan memberi peringatan dan berkongsi sedikit ilmu yang ada beliau diburu dan mahu ditangkap. Anehnya bukan musuh Islam atau orang yang membenci Islam mahu menangkap beliau tetapi pihak berkuasa agama sendiri yang ingin berbuat demikian. Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang sepatutnya menggalakkan beliau menyampaikan tazkirah, mengajak orang mengingati Allah bertindak sebaliknya dengan mencegah beliau dari kerja-kerja amar makhruf nahi mungkar.

Itulah halnya yang berlaku kepada Mohd Hakim Lokman atau lebih mesra dengan panggilan Bob Lokman seorang bekas pelawak, penulis lirik dan pelakon terkenal yang kini sedang diburu oleh JAIS untuk ditangkap kerana kesalahannya mengajar agama tanpa tauliah.

Sementara itu media melaporkan bahawa Bob Lokman tetap dengan pendirian tidak bersalah walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dilaporkan telah mengeluarkan waran tangkap ke atasnya minggu lalu berhubung dakwaan mengadakan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Bob Lokman yang dihubungi The Malaysian Insider lewat malam tadi memberitahu, beliau masih belum dimaklumkan atau dihubungi Jais mengenai perkembangan itu.

Katanya, dia bersedia untuk memberi kerjasama sekiranya Jais tetap dengan pendirian mahu menangkapnya kerana jabatan agama itu berkuasa untuk berbuat demikian.

“Jais ada kuasa, mereka boleh ambil tindakan undang-undang, walaupun merasakan saya tidak bersalah. Tapi saya tidak akan membantah sekiranya mereka datang menangkap saya,” katanya.

“Saya masih belum tahu bagaimana proses tangkapan itu akan dibuat, tapi saya akan memberi kerjasama. Sekiranya melibatkan pihak polis, saya akan ikut prosedur mereka (polis),” kata beliau yang nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman.

Sehubungan itu tambah Bob Lokman, beliau juga rela dipenjarakan sekiranya dia didapati bersalah di mahkamah. - ML

KETURUNAN TOK KENALI DIBURU, AYAH PIN SELAMAT DI BUMI MALAYSIA
BERSUNGGUH benar nampaknya JAIS untuk menangkap Bob Lokman seperti memburu Komunis atau penjenayah besar. Apa salah Bob Lokman? JAIS kata Bob Lokman memberi tazkirah tanpa Tauliah, walaupun dikatakan sepanjang Tazkirah bekas artis terlenal itu pegawai-pegawai JAIS sendiri mengikutinya dan tiada pula mereka sebut Bob Lokman menyampaikan ajaran sesat atau songsang.

Tanda kesungguhan JAIS terbukti apabila Jabatan itu telah mendapat waran tangkap ke atas Pelakon, pengacara dan penulis lirik terkenal tersebut kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah. Pengarah JAIS, Marzuki Hussin memberitahu wartawan di Shah Alam bahawa waran tangkap itu dikeluarkan pada 28 Oktober lalu yang membolehkan Bob ditangkap jika dikesan di negeri itu.

Bob ditahan di Masjid Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 10 Oktober lalu kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah kepada kira-kira 70 hadirin. Paling menarik dan memberi kesan kepada jiwa kita apabila Bob Lokman berkata,
"Nak tangkap, tangkaplah. Saya tidak akan hadir. Sifat (JAIS) begini bukan hendak jaga keharmonian agama," katanya sambil memberitahu dia akan hanya berserah pada Allah.

Beliau disiasat mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Adakah bekas Pesuruhjaya PAS, Dr Hassan Ali yang juga Exco Agama Selangor boleh tidor lena atau tidak mendengar berita buruk terhadap pendakwah seperti ini? Dr Hassan Ali sebelum ini pernah menyebut beliau tidak boleh tidor jika tidak dapat hadir di dalam Perhimpunan Sejuta Umat Selamatkan Akidah (HIMPUN) yang diadakan di Stadium Shah Alam baru-baru ini. Jika setakat mahu berhimpun untuk selamatkan akidah pun Dr Hassan Ali tidak boleh tidor, masakan kezaliman yang berlaku kepada Pendakwah yang juga berhasrat untuk selamatkan akidah umat Islam seperti Bob Lokman ini boleh melenakan Dr Hassan Ali? Saya harap tidak begitu.

Kita tahu Dr Hassan Ali tiada kuasa di dalam menentukan isu agama seperti ini walaupun beliau seorang Exco Agama di Selangor. Tetapi kita harap beliau lantang bersuara sepertimana lantangnya beliau bersuara semasa isu pencerobohan sebuah Gereja Kristian oleh JAIS baru-baru ini. Ada yang berpendapat, soalnya bukan dakwah tetapi Tauliah. Jika soalnya Tauliah, susah sangatkah untuk memberi Tauliah? Setahu kita melambak kumpulan Tabligh yang menjadikan masjid-masjid dan surau tempat tidor mereka disamping mereka memberikan tazkirah. Pernahkah kita mendengar pemimpin Kumpulan Tabligh ditahan atau dikeluarkan waran tangkap? Mungkin mereka ada Tauliah atau kerana mereka bukan pro parti Politik?

Saya setuju 100% jika sesiapa yang mahu menjadi Guru Agama yang mengajar secara tetap di mana-mana masjid atau surau memerlukan Tauliah. Ini adalah bagi megelakkan Guru agama mengajar ilmu-ilmu yang sesat dan menyeleweng. Tetapi amat keterlaluan jika seseorang itu memberikan tazkirah iaitu saling ingat mengingati sesama Islam juga memerlukan Tauliah. Apatah lagi mereka gagal dibuktikan memberikan ucapan yang menyesatkan orang ramai.

Mengapa kerja dakwah ini disempitkan? Kita patut berbangga apabila seseorang artis yang dahulunya bergelumang dengan maksiat kini insaf dan ingin mengingati kita semua agar tidak menjadi sepertinya dahulu. Salahkah cara yang dibuat oleh Bob Lokman? Amat memeningkan kepala kita apabila Tauliah agama menjadi punca menyempitkan jalan dakwah, tetapi permit hiburan di negara ini tidak pernah mengalami `kesempitan' seperti itu bahkan ditaja pula.

Kali ini Bob Lokman diburu. Saya percaya tidak lama, Bob Lokman pasti akan diberkas seperti penjenayah. Berbeza dengan Ayah Pin `Kerajaan Langit', yang sudah berpuluh tahun bebas sehingga kini tidak dapat ditangkap. /wfauzdin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment