Thursday, October 27, 2011

Saya akan tampilkan bukti terhadap Noh Omar, kata Ketua Penerangan Keadilan Selangor


Melalui email ke dalam blog ini tanpa edit;

Merujuk kepada kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Selangor yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Dato' Seri Noh Omar yang mengatakan bahawa BN Selangor akan merampas Selangor merupakan satu kenyataan kosong yang tidak berasaskan kepada gerak kerja akar umbi BN Selangor sebaliknya hanyalah retorik seorang pemimpin yang sudah mula diragui kepimpinannya oleh pimpinan UMNO di peringkat BN Selangor.

Ini jelas satu kenyataan untuk menutup kelemahan kepimpinan Noh Omar yang sudah mula dirasai oleh akar umbi UMNO Selangor kerana gagal untuk menyatukan UMNO Selangor yang bukan sahaja berpuak-puak , malah saling tuduh menuduh diantara satu sama lain demi memenangi hati Pengerusi Perhubungan Negeri UMNO Selangor , Dato Seri Najib Abd. Razak.

Amat janggal sekali kenyataan yang dibuat oleh beliau.Tidak disahut langsung oleh pemimpin BN Selangor yang lain. Sudah jelas dan nyata tiada kesepakatan yang jitu dalam BN Selangor kerana dipercayai segala penat lelah yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu di dalam BN Selangor tidak langsung dihargai oleh Noh Omar. Bak kata pepatah melayu ' Lembu punya susu , sapi dapat nama ' .

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang rungutan bekas Ketua Pembangkang BN Selangor , Dr Khir Toyo yang menyelar Menteri tertentu yang cuba menamatkan karier politiknya kerana saya percaya perang dingin beberapa bulan yang lalu kini sudah meletus menjadi perang besar yang membingungkan ahli UMNO Selangor dibawah.

Saya ingin nasihatkan Noh Omar supaya jangan asyik menyalahkan pihak tertentu demi melonjakkan nama kamu sebagai pemimpin yang kononnya mampu memimpin BN Selangor. Cukuplah saya membuat pendedahan tentang rintihan seorang peniaga ibu tunggal yang telah dizalimi oleh pihak kementerian Noh Omar di bawah agensi FAMA dengan menggantung tapak perniagaannya hanya kerana tidak hadir majlis yang dihadiri oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Apakah politik samseng Noh Omar ini tidak mengira siapa sahaja ? Hatta kepada ibu tunggal yang terpaksa menyara 3 anak ? Saya tidak akan berdiam diri dan saya mohon penjelasan segera dalam tempoh seminggu.

Saya sedia untuk menampilkan bukti kepada dakwaan saya ini dan saya minta Menteri Pertanian Industri Asas Tani untuk jawab kenyataan saya ini. Apakah kamu sedia menerima tempelak dari rakyat sebagai seorang Menteri dari Selangor yang paling tidak berhati perut ?

Hentikanlah cara politik samseng kepartian kerana dalam berkhidmat kepada rakyat , amat tidak wajar rakyat diperlakukan sesuka hati dek kerana kerakusan kuasa seorang Menteri dalam menentukan punca rezeki seorang peniaga kecil.

Saya mohon Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani jangan terlampau ikutkan politik samseng kepartian dalam berkhidmat kepada rakyat. Jangan dipersalahkan rakyat sekiranya rakyat menolak pemimpin atau menolak BN Selangor. Sewajarnya rakyat diberi hak mereka , kerana kita semua hanyalah insan yang diamanahkan untuk memikul beban kesusahan rakyat. Kalau bukan kerana mereka , mungkin kita tidak ada di tempat di mana kita berada sekarang. Kesimpulannya , kembalikanlah semula hak peniaga kecil tersebut atau Noh Omar akan dikenang sebagai pemimpin yang zalim dalam sejarah Selangor seperti tragedi hadiah penyapu di Hulu Selangor yang meranapkan BN Selangor pada PRU 12.

SHUHAIMI HJ SHAFIEI
KETUA PENERANGAN KEADILAN SELANGOR / ADUN SRI MUDA


No comments:

Post a Comment