Friday, October 28, 2011

Khutbah Pilihan : Zulhijjah DiHayati Islam DiJulang Tinggi

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …
Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1-3 surah al-Fajr :
وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ
Maksudnya : Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil;

Kita baru sahaja menyambut ketibaan awal bulan Zulhijjah yang mempunyai keistimewaan yang mesti sama-sama kita rebut dalam menambahkan lagi bekalan akhirat disamping memohon keampunan atas dosa-dosa kita terhadap Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa bersyukur di mana jangan kita hanya memandang remeh terhadap rezeki walau pun sedikit sebaliknya kita wajib sentiasa sedar tentang siapakah yang memberi rezeki tersebut yang wajib kita perbesarkanNya iaitu Allah yang Maha Agong. 

Kita juga jangan menjadi manusia derhaka dengan memandang dosa kecil itu sebagai perkara biasa sebaliknya fikirlah bersungguh-sungguh bagaimana kita telah menderhaka kepada Allah yang begitu dahsyat seksaanNya. Sempena berada pada hari-hari yang mulia ini marilah kita sama merebut kelebihan yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana yang disebut oleh Allah pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a:
عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري

Maksudnya : Tiada hari-hari yang amalan soleh dalamnya lebih dicintai Allah daripada hari-hari (ayyam) ini (iaitu 10 hari pertama Zulhijjah). Mereka (para sahabat) bertanya: “Ya Rasulullah, termasuk jihad di jalan Allah?” Baginda menjawab: “Ya, tidak juga jihad di jalan Allah kecuali orang yang mengorbankan jiwa dan hartanya dan dia tidak kembali setelah itu (mati syahid).”

Jelas menerusi hadis ini amalan pada 10 hari pertama Zulhijjah begitu besar. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqolani: “Jika seseorang melakukan hal seperti itu iaitu berjihad sehingga mengorbankan diri dan harta, maka dia lebih baik atau sedarjat dengan mereka yang melakukan ibadat pada 10 hari pertama pada Zulhijjah.”

Selanjutnya al-Hafiz Ibn Hajar memperjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat (secara serentak) pada bulan-bulan lain.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Ketibaan awal bulan Zulhijjah ini hendaklah diguna sebaik mungkin oleh setiap umat Islam dalam memperbanyakkan solat-solat sunat, terutama solat tahajud, berzikir, berdoa, membaca al-Quran, banyakkan istighfar serta taubat, melaksanakan ibadat korban dan mengerjakan ibadat haji bagi yang mampu. Kita yang mempunyai kemampuan hendaklah berusaha untuk berpuasa pada sembilan hari pertama bulan Zulhijjah ini bagi menghidupkan salah suatu daripada sunnah nabi Muhammad s.a.w.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَصُومُ تِسْعًا مِنْ ذِي الْحِجَّةِ وَيَوْمَ عَاشُورَاءَ وَثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ أَوَّلَ اثْنَيْنِ مِنْ الشَّهْرِ وَخَمِيسَيْنِ - رواه النسائي في السنن

Salah seorang isteri nabi berkata: Adalah Nabi SAW berpuasa pada sembilan hari pertama daripada bulan Zulhijjah dan Asyura’ (sepuluh Muharram) dan tiga hari dalam setiap bulan iaitu hari Isnin yang awal dan 2 hari Khamis

Kita juga jangan lepaskan peluang untuk merebut kelebihan puasa pada hari Arafah iaitu hari kesembilan daripada bulan Zulhijjah
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” ثَلَاثٌ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، وَرَمَضَانُ إِلَى رَمَضَانَ ، فَهَذَا صِيَامُ الدَّهْرِ كُلِّهِ ، صِيَامُ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ، وَالسَّنَةَ الَّتِي بَعْدَهُ ، وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ ، أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ ” - رواه مسلم

Maksudnya : Puasa 3 dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya di sisi Allah akan menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya. Adapun puasa hari Asyura, pahalanya di sisi Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya

Begitu juga amalan khusus yang ada pada bulan ini iaitu ibadat korban bagi yang berkemampuan maka ikutlah sunnah nabi dalam melaksanakannya
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلَا يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلَا يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا

Maksudnya : apabila masuk bulan Zulhijjah dan sesiapa yang memiliki sembelihan korban untuk disembelih, maka maka janganlah sekali-kali dia memotong rambutnya dan kukunya sehingga dia berkorban”. (HR Muslim)

Menurut Imam Nawawi rahimahullah: “Maksudnya daripada larangan tersebut ialah larangan memotong kuku dengan gunting dan sebagainya. Dilarang menggunting atau memotong rambut sama ada membotakkan dengan mencukur, memendekkannya, mencabutnya, membakarnya atau selainnya. Termasuk dalam hal ini juga dilarang memotong bulu ketiak, misai, bulu kemaluan dan bulu yang ada di seluruh badan”. Majoriti ulama dari mazhab Syafie, Maliki dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi sesiapa yang melanggarnya.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 132 surah al-Baqarah :
وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّـهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
Maksudnya : Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan ugama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih ugama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”

Ketika menyambut kedatangan bulan Zulhijjah juga terutama bila menyoroti sejarah pembinaan Ka’abah dan juga ibadat korban maka kita sepastinya mengingati pengorbanan besar yang pernah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim a.s sekeluarga. Tidak lupa untuk kita mencontohi cara dakwah terbaik nabi ibrahim a.s dalam berdepan dengan bapanya sendiri Azar pembuat berhala, masyarakat penyembalah berhala dan Namrud raja yang berkuasa. Pada hari ini kita masih tercari-cari bagaimana cara dakwah terbaik dalam memahamkan orang bukan Islam tentang Islam disamping mencegah daripada sebarang usaha dalam memurtadkan umat Islam. 

Umat Islam diibaratkan seperti kata syair : فَاِقدُ الشَّيْءِ لاَ يُعْطِي iaitu orang yang ketiadaan sesuatu tidak mampu memberi sesuatu kepada orang lain. Akibat ilmu yang cetek, aqidah yang rapuh, amal yang kurang menyebabkan umat Islam terdedah dengan masalah murtad. Apa yang lebih sedih akibat terjajah dengan fahaman sekulerisme yang memisah antara agama dan dunia, urusan dunia tiada bersangkut dengan dosa dan pahala, syurga dan neraka menyebabkan ramai di kalangan umat Islam sendiri tidak menghargai nikmat iman dan Islam di mana ia dibiarkan rosak. 

Jika di Jepun terdapat syarikat untuk mendaftar siapa yang ingin membunuh diri dan kerajaan Jepun melarang bangunan tinggi daripada mempunyai cermin atau ruang yang boleh dibuka disamping landasan keretapi ditutup dibimbangi digunakan untuk membunuh diri. Negara kita juga jumlah bunuh diri semakin meningkat akibat jahil tentang matlamat hidup dan berasa bahawa dunia ini tiada kaitan lagi dengan akhirat. Ramai bimbang jika anaknya tidak dapat makan selepas kematian ibubapa sedangkan semakin ramai yang tidak bimbang apakah agama anak selepas kematian mereka

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Firman Allah dalam ayat 85 surah Ali ‘Imran:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya : Dan sesiapa yang mencari ugama selain ugama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi

Kita masih terkial-kial mencari ubat mujarrab dalam menangani masalah zina, curi, rompak, bunuh dan pelbagai jenayah keji yang lain. Islam telah memberi ubat yang terbukti berkesan malah pernah dilaksanakan di alam Melayu ini. Akibat penjajahan pemikiran yang terus berlangsung menyebabkan umat Islam sendiri semakin jahil masih memusuhi sistem Islam itu sendiri. Sistem pendidikan negara hanya mementingkan keperluan dunia tanpa mengambil berat tentang akhirat. Malah sejarah membuktikan bagaimana pendidikan Islam di sekolah hanya sebagai melepas batuk ditangga supaya masyarakat tidak meragui tentang sistem pendidikan yang sebenarnya telah disekuleriskan. 

Matlamatnya kabur dan jauh daripada mencapai kehendak agama yang sebenar. Pengajian agama dipencilkan dan dianggap hanya sebagai pelengkap kepada jadual harian. Sepatutnya semakin banyak sekolah dan universiti maka semakin ramai yang celik agama dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan seharian. Apa yang berlaku adalah sebaliknya semakin ramai buta agama. Lebih menyedihkan lagi apabila tv, radio, akhbar, majalah bagaikan mengikut telunjuk yahudi dan Kristian dalam merosakkan lagi akhlak umat Islam. Ingatlah kita siapa kita, dari mana kita datang, ke mana bakal kita dikembalikan. Hidup kita bukan berakhir dengan kematian sebaliknya akan melalui 2 lagi alam iaitu alam kubur dan alam akhirat. Bersedia sebelum tiba, bertaubat sebelum terlambat.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ


No comments:

Post a Comment