Thursday, October 27, 2011

Debat: Mengapa Najib enggan sahut cabaran Anwar

KUALA LUMPUR 27 Okt: Keengganan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin kerana bimbang rakyat akan mengetahui belanjawan Pakatan Rakyat jauh lebih baik.

KeadilanDaily melaporkan, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Md Akin (gambar) berkata, seperti mana dalam perdebatan harga minyak antara Anwar dan bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, rakyat akhirnya mengetahui fakta sebenar.

“Selepas perdebatan Anwar-Shabery, akhirnya rakyat mengetahui bahawa harga minyak di Malaysia memang boleh diturunkan sekaligus membidas dakwaan Umno BN kononnya jika harga diturunkan negara ini akan bankrap.

“Begitu juga jika Najib berdebat dengan Anwar, beliau mungkin ‘demam’ selepas itu,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.

Shamsul memberi contoh bagaimana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2010 misalnya membuktikan betapa teruknya pentadbiran Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Shamsul berkata pelbagai Pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) sepakat dan bersetuju agar perdebatan antara Najib dan Anwar harus diadakan segera supaya rakyat boleh membuat pertimbangan.

Katanya, beberapa NGO yang terdiri dari pelbagai latar belakang seperti mahasiswa, pertubuhan Islam dan gerakan anak muda akan terus membuat desakan tersebut.

“Mesyuarat antara NGO itu juga bersetuju untuk menghantar memorandum khas secara terus kepada pejabat Datuk Najib dalam masa terdekat.

“Memorandum itu juga adalah susulan surat jemputan yang sudah pun diserahkan Akademi Pak Sako sebelum ini,” katanya dihubungi Keadilandaily.com.

Pada 17 Oktober lalu, Anwar mencabar Najib berdebat secara terbuka mengenai kedudukan ekonomi dan Belanjawan 2012 ekoran kritikan Najib terhadap Belanjawan Pakatan Rakyat kononnya tidak memahami kehendak rakyat.

Anwar berkata, debat itu harus diadakan segera dan secara terbuka kerana perbahasan belanjawan di Parlimen tidak mendapat liputan meluas. HD

No comments:

Post a Comment