Wednesday, September 21, 2011

Najib Pengecut, berundur sebelum bertempur

KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyelar Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak kerana enggan menjadi saksi dalam perbicaraan Fitnah II terhadapnya.

Ia berikutan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, memohon mahkamah mengenepikan perintah sapina agar mereka hadir sebagai saksi dalam perbicaraan itu.

Keenganan Najib, yang sebelum ini berjanji akan hadir jika dipanggil mahkamah disifatkan Anwar sebagai ‘berundur sebelum bertempur’ .

“Ini kurang menyenangkan kerana beliau (Najib) sudah berjanji akan hadir ke mahkamah jika disapina sebelum ini.

“Katanya dia tidak terlibat. Kalau tidak terlibat, kenapa dia pernah bertemu (pengadu) Saiful sebelum ini?,” soal Anwar ketika ditemui selepas selesai perbicaraan kes Fitnah II petang tadi.

“(Tetapi) dia (Najib) pilih untuk berundur sebelum bertempur.

“Kurang ‘cool,” kata Anwar sinis merujuk tindakan Najib menonjolkan imejnya sebagai ‘kool’ dan sempoi, di dalam laman sosial untuk memikat pengundi muda, termasuk menghadiri sebuah konsert baru-baru ini.

Najib dan Rosmah petang tadi membuat permohonan mengenepikan perintah itu melalui empat peguam iaitu Datuk Sallehuddin Saidin, M Athimullah, Teh Poh Teik dan juga Ghazi Ishak.

Pada 8 Ogos lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang mendengar kes itu, membenarkan permohonan Anwar untuk menyoal 71 saksi yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan termasuk Najib dan Rosmah, untuk dijadikan saksi pembelaan.

Peguam Anwar mahu mengheret Najib dan Rosmah ke mahkamah kerana mereka pernah menemui pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pertemuan itu diatur beberapa kali sebelum pemuda itu membuat laporan polis mendakwa diliwat ketua pembangkang itu pada 26 Jun 2008. KD

No comments:

Post a Comment