Friday, September 16, 2011

Insaf Dalam Menilai Setiap Insan

Dalam kehidupan ini kita akan bertemu dengan pelbagai ragam manusia. Setiap individu membawa pelbagai perwatakan. Kadang-kadang kita keliru dalam membuat penilaian. Keliru dalam menentu watak baik dan buruk. Ini disebabkan pada diri seseorang itu boleh terkumpul kedua unsur tersebut; unsur baik dan unsur buruk.

Jika kita melihat kepada seseorang insan pada unsur baik semata, tentu kita akan menilainya sebagai insan yang baik. Jika kita pula melihat di sudut yang buruk semata, maka pasti kita akan menilai sebagai insan yang buruk. Namun, jika kita melihat kedua unsur itu secara seimbang dan adil, pasti kita akan dapat membuat kesimpulan yang betul.


Insan apabila berbalah, atau bertelingkah mereka sering menonjolkan unsur buruk mengenai musuh mereka. Enggan mereka menyebut kebaikan yang ada, sekalipun itu terang dan jelas. Kita boleh lihat akhlak orang-orang politik hari ini apabila mereka bertelingkah. Enggan mengiktiraf sumbangan pihak lain hanya kerana perbezaan politik yang ada.

Demikian juga dalam kehidupan, ramai yang enggan mengiktiraf kebaikan pihak yang dibenci sekalipun nyata kebaikannya. Ini adalah sifat yang tidak munsif atau kita sebut tidak insaf. Perkataan insaf di sini bukan seperti yang kita faham iaitu menyesal. Sebaliknya bermaksud sesuatu yang berada di tengah; tidak melampau dan tidak terkurang. Inilah arahan Allah kepada kita.

Dalam urusan jual beli, kita diharamkan mengurangkan hak orang lain, apatah lagi dalam urusan nilai dan harga diri orang lain yang lebih bermakna dari timbangan makanan dan barang, lebih utamalah untuk kita memastikan hak orang lain tidak dikurangkan. Firman Allah: (maksudnya):
“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85).
Timbangan Amalan
Allah Tuhan Yang Maha Adil tidak menetap bahawa hanya orang tidak berdosa sahaja yang masuk syurga. Tidak juga menyatakan bahawa setiap yang ada dosa akan memasuki neraka. Sebaliknya al-Quran menyatakan bahawa seseorang ditimbang amalan baik dan buruknya. Maka, sesiapa yang amalan baiknya melebihi amalan buruknya, maka dia berjaya. Begitulah sebaliknya; sesiapa yang amalan buruknya melebihi amalan baiknya, maka tempatnya neraka. Firman Allah (maksudnya):
“adapun orang yang berat timbangannya (amalan baik), maka dia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sesiapa yang ringan timbangannya (amalan baik), maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalan engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11).
Setelah Allah menetapkan demikian, bagaimana mungkinkah kita ingin memutus hanya insan yang tidak berdosa sahaja yang layak untuk diiktiraf sebagai insan yang baik?! Sebaliknya, insan yang baik itu ialah seseorang yang amalan baiknya melebihi amalan buruknya.

Semua Berdosa
Sabda Nabi s.a.w:
“Semua anak Adam itu melakukan kesalahan. Sebaik-baik pelaku kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat” (Riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah/ dihasankan oleh al-Albani).
Justeru, setiap kita tidak sunyi dari kesalahan. Tiada siapa pun dalam kalangan kita yang boleh mendakwa bahawa dirinya suci dari dosa dan noda. Cuma beza antara orang baik dan yang buruk, seorang baik itu memohon keampunan dari Allah dan berusaha membaiki diri. Sementara orang yang buruk keras kepala dengan dosanya, tidak kesal dan tidak memohon keampunan.

Menyedari hakikat ini, maka jangan kita hina manusia disebabkan sesuatu dosa, tetapi lihat bagaimana sikap dirinya terhadap dosa tersebut. Allah tidak pernah menjadikan orang yang berdosa kecewa, sebaliknya sentiasa membuka pintu untuk mereka kembali kepadaNya. Firman Allah: (maksudnya):
“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan dosa), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar: 53).
Jahat Tak Menafikan Baik
Dalam diri insani boleh terkumpul dua unsur yang berlainan pada satu masa yang sama; kebaikan juga kejahatan. Apabila kita berbicara soal kejahatannya, janganlah sampai kita lupa unsur kebaikan yang ada sehingga kita memadamkan baiknya dan menghukumnya melebihi kadar yang patut. Hal ini pernah Rasulullah s.a.w bantah terhadap perkataan sesetengah sahabat yang melaknat seorang peminum arak dalam kalangan mereka. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini.
“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”. (Riwayat al-Bukhari).
Walaupun dia minum arak, itu satu dosa yang besar, namun dalam masa yang sama Rasulullah s.a.w tidak menafikan unsur cintakan Allah dan Rasul yang wujud dalam diri. Bahkan Nabi s.a.w mempertahankan kelebihannya itu. Kita lebih wajar demikian. Jangan kerana melihat sesuatu dosa, sekalipun besar, kita menafikan unsur kebaikan lain yang ada pada diri seseorang.

Diri Sendiri
Jika setiap kita merenung kepada dirinya sendiri secara insaf, dia akan tahu dia juga banyak kesalahan dan dosa. Jika tidak dosa zahir, dosa batin; niat dan jiwa yang buruk seperti hasad, buruk sangka, takabur, riyak dan lain-lain. Jika tidak dosa pada perbuatan, dosa pada perkataan seperti mengumpat, memfitnah, menuduh, menjadi ‘batu-api’ dan pelbagai lagi.

Dosa-dosa batin dan perkataan ini kadang kala jauh lebih besar di sisi Allah daripada dosa-dosa peribadi seperti minum arak dan zina. Namun kita sering memandang ringan sedang ia besar. Firman Allah (maksudnya):
“ketika kamu menerima berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; dan kamu pula menyangka ianya perkara kecil, pada hal di sisi Allah adalah perkara yang besar dosanya”. (Surah an-Nur: 15).
Setiap kita juga ada rahsia keaiban yang tersendiri. Hanya kerana rahmat Allah masih tertutup keaiban itu. Kita berjalan dengan bangga di hadapan khalayak ramai serta merasakan diri suci. Sebenarnya, dalam banyak hal kita tidak suci, cumanya dosa kita tidak didedahkan kepada manusia. Kata al-Imam Ahmad dengan linangan airmata ketika dia dimuliakan: “Kami ini kesian. Jika tidak kerana tutupan Allah, nescaya akan terdedah aib kami”. Demikian tawaduknya imam yang agung itu.

Namun kita, lantaran merasakan diri suci, kita menghukum dan menilai dosa peribadi orang lain berlebihan sehingga seakan kita sunyi dari kesalahan. Dengan satu dosa sahaja, kita dedah dan hina seseorang dengan apa yang Allah sendiri tidak hina sedemikian rupa. Nabi s.a.w memberikan amaran:
“..jangan kamu mencari-cari keaiban orang muslim kerana sesiapa yang mencari keaiban orang muslim Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah dapat keaibannya, maka didedahkan sekalipun dalam rumahnya”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud/ disahihkan al-Albani)
Seimbang
Islam menyuruh kita adil dalam semua perkara termasuk dalam membuat penilaian terhadap seseorang. Adil terhadap setiap pihak walaupun pihak kita benci dan bermusuhan. Allah menyebut (maksudnya):
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa”. (Surah al-Maidah: 8).
Al-Imam Muhibb al-Din al-Khatib menyebut:
“Kita kaum muslimin tidak beriktikad kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w. Sesiapa sahaja yang mendakwa kemaksuman seseorang selepas Rasulullah s.a.w maka dia berdusta. Insan itu tetap insan. Terbit darinya apa yang terbit dari insan. Maka, ada padanya kebenaran dan kebaikan. Ada juga padanya kebatilan dan kejahatan. Boleh jadi kebenaran dan kebaikan pada insan tertentu dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebenaran dan kebaikan. Ini tidak menghalang untuk terjadi kepadanya beberapa kesilapan. Boleh jadi kebatilan dan kejahatan pada insan yang lain dalam lingkungan yang luas, maka dia dinilai dalam kalangan ahli kebatilan dan kejahatan. Ini tidak menghalang untuk tercetus dari beberapa cetusan kebaikan pada waktu-waktu tertentu. 
Wajib kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebenaran dan kebaikan, jika dia tahu mereka ada beberapa kesilapan, janganlah dia rosakkan kebenaran dan kebaikan mereka yang banyak itu. Janganlah dipadamkan segala kebenaran dan kebaikan disebabkan kesalahan-kesalahan tersebut. 
Wajib pula kepada sesiapa yang berbicara mengenai ahli kebatilan dan kejahatan, jika dia tahu ada beberapa cetusan kebaikan mereka, janganlah dia kelirukan orang ramai bahawa mereka itu dalam kalangan golongan yang soleh hanya kerana amalan kebaikan mereka yang jarang dan ganjil itu”. (Tahqiq al-‘Awasim min al-Qawasim, m/s 47. Beirut: Dar al-Jail).
Dr Maza 

No comments:

Post a Comment