Wednesday, September 7, 2011

Bakar Atau Haramkan Saja Buku "Pengukir Nama Johor"


Mat Sabu kemuka bukti lemah


SENAI – Buku Pengukir Nama Johor tidak layak dijadikan bukti bagi mengangkat nama Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan seperti yang dibangkitkan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Pensyarah Fakulti Sains Teknologi dan Pembangunan Insan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Akbal Abdullah (gambar kecil) berkata, buku tersebut bukan bukti dalam ilmu sejarah kerana ia hanya pendapat penulis, Ismail Adnan.


Beliau yang juga ahli panel penulis buku Siri Tokoh Johor berkata, Mat Sabu tidak boleh menggunakan tulisan itu sebagai hujah kerana tidak mampu meletakkan Mat Indera sebagai pejuang.


“Tidak memadai dengan tulisan 10 halaman saja untuk kita anggap Mat Indera pejuang kerana dia (Mat Sabu) sepatutnya baca tesis dan buat penyelidikan sendiri.

“Jika tulisan sebanyak itu dijadikan rujukan, ia terlalu lemah dari segi ilmiah. Saya tak kata lemah hingga perlu kita tolak tapi perlu dibuktikan. Apa lagi menggunakan artikel Mat Indera sebagai hujah adalah kurang tepat dan tidak sempurna dari segi ilmu sejarah,” katanya, semalam.

Mohd Akbal berkata, beliau mengenali penulis buku itu, Ismail dan menyifatkannya sebagai seorang yang sangat rajin menulis.

“Apa yang saya tahu, Ismail hanya merujuk kepada Internet tanpa membuka dokumen rasmi kerajaan dan ia dilahirkan daripada pandangan beberapa pihak serta bukan pandangan majoriti,” katanya.

Menurutnya, Ismail berkhidmat dengan Yayasan Warisan Johor (YWJ) dengan jawatan timbalan pengarah.

Mohd Akbal mempersoalkan, jika benar Mat Sabu mahu mengangkat hero kemerdekaan, mengapa pula beliau menolak perjuangan Datuk Onn Jaafar yang turut ditulis dalam buku tersebut.

“Saya mohon Mat Sabu jangan politikkan buku ini dan kaitkan siapa-siapa (penulis) atau Kerajaan Johor, kerana beliau perlu bertanggungjawab atas kenyataannya mengangkat komunis,” katanya.

Buku Pengukir Nama Johor merupakan buku siri ketiga yang diterbitkan iaitu dua siri sebelum ini iaitu Pejuang Terbilang Johor dan Tokoh Ternama Johor yang dimasukkan dalam Siri Tokoh Johor yang mula diterbitkan pada 2002.

Penulis yang dilantik menyumbang karya dalam buku tersebut terdiri daripada Ahli Persatuan Sejarah, Persatuan Penulis, peminat sejarah Johor yang mempunyai kemampuan menulis.

Mohd Akbal berkata, dakwaan Kerajaan Negeri mengiktiraf Mat Indera selaku pejuang menerusi terbitan YWJ yang dinaungi Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman adalah tidak benar.

“Buku tersebut merupakan pendapat penulis tentang Mat Indera di mana kami kumpulan penulis dan Ismail dipilih YWJ.

“Projek ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan idea serta segala apa yang ditulis hanya pendapat penulis, bukannya pendapat Kerajaan Negeri dan pasukan penulis Pewaris. Dengan jelasnya, tidak semestinya pendapat penulis dan pendapat Kerajaan Negeri adalah sama,” katanya.

Mohd Akbal berkata, kumpulan penulis yang terdiri daripada 20 orang itu telah dibentuk enam tahun sebelum percetakannya yang dipilih dari segi kemahiran dan pengetahuan. -SH




Jika hujjah Mohd Sabu lemah kerana bersandarkan kepada buku yang diterbitkan oleh sebuah anak syarikat kerajaan negeri Johor sendiri, Yayasan Warisan Johor (YWJ), maka sewajarnya buku itu diharamkan atau dibakar saja.

Ini kerana penerbitan buku tesebut dibiayai oleh Kerajaan Negeri dan sebelum ianya diterbitkan sepastinyalah ia telah disemak dan diedit berali-kali untuk menentukan kesahihannya kerana ia akan menetapkan kredibiliti penerbitnya sendiri.

Mengapa kini baru dipersoalkan isi kandungannya dan merendah-rendahkan penulis rencana itu?

Apa hebatnya orang yang mengkritik penulis yang telah membuat kajiannya sendiri? Apa bukti yang Ismail Adnan hanya menulis bersandarkan fakta di Internet semata-mata? Apa sandaran untuk menyatakan kajian Ismail itu tidak sahih?

Sesebuah "kajian" tidak boleh dihukum benar atau salah. Itu disiplin di dalam dunia akademis. Tidak boleh menyalahkan hasil dari seseorang pengkaji sekalipun sesuatu kajian itu menyimpang dari penemuan-penemuan majoriti. 


Tak pernahkah pensyarah yang bernama Mohd Akbal yang menganggap hujjah Mohd Sabu lemah itu ada mempelajari 'RESEARCH METHODOLOGY'? Sekarang buktikan pula hasil kajian kamu untuk menuduh Mohd Indera itu seorang penjenayah, bukan pejuang. Begitulah sepatutnya cara di dalam dunia akademis untuk menolak hujjah akademis yang lain. Bukan dengan menempelak hasil kajian orang lain melalui kenyataan akhbar semata-mata.

No comments:

Post a Comment