Wednesday, August 17, 2011

UMNO YANG SEPATUTNYA MOHON MAAF, BUKAN PAS


UMNO Selangor semalam menuntut agar PAS memohon maaf kepada Umno di atas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang percaya bahawa ada `dalang' Umno di sebalik peristiwa serbuan JAIS ke atas Gereja baru-baru ini. 

Datuk Mustafa Ali berkata beliau bersedia mendedahkan apa yang dipercayainya itu apabila PAS bertemu JAIS nanti, tetapi malangnya terdapat `halangan' dari Istana untuk PAS bertemu JAIS. Baca di sini.


Pada saya, yang paling wajar untuk memohon maaf adalah Umno sendiri bukan sahaja memohon maaf kepada PAS, bahkan kepada seluruh umat Islam di negara ini. Umno yang telah diberi kepercayaan memerintah negara ini lebih dari 50 tahun, sepatutnya Umno bertanggungjawab di atas gejala murtad yang semakin berleluasa sekarang. Di mana undang-undang murtad yang menepati Syarak yang Umno telah laksanakan selaku pemerintah?


Pada ingatan saya, tidak kurang dari tiga kali usul berkenaan perundangan murtad ini telah dibawa oleh PAS di dalam Parlimen agar Umno selaku tunjang kerajaan bersama menyokong usul tersebut demi menjaga kedaulatan dan maruah umat Islam, malangnya Umno tidak memandang usul ini walaupun dengan sebelah mata. Ketika itu Umno masih gagah dan parti sekular tersebut yakin bahawa apa pun akan terjadi pada umat Islam tiada kesan kepada Umno asalkan parti tersebut terus diberi kuasa memerintah.


Apabila Umno telah menjadi seperti sekarang yang begitu lemah dan dhaif, barulah pemimpin mereka cuba untuk berlakun menjadi pejuang Islam. Malangnya, rakyat lebih kenal siapa pejuang Islam dan pejuang rakyat yang sebenarnya. Umno memang tidak boleh diharapkan untuk membela Islam kerana untuk membela nasib bangsanya sendiri pun Umno gagal. Di P.Pinang umpamanya, nasib Melayu dan umat Islam kini dibela oleh DAP, Umno cuma menjadi tukang pecah belah masyarakat Melayu dan Islam dengan fitnah yang nampak jelas kebodohannya.


Dari isu wang bantuan kepada warga emas hinggalah kepada isu menggunakan pembesar suara diwaktu Subuh, Umno menampakkan kejahilannya. Apabila KM P.Pinang, Lim Guan Eng mendedahkan fakta bahawa hampir 100% tender dan projek Kerajaan Negeri diperolehi oleh kaum Bumiputera, Umno ternganga kerana ini tidak pernah berlaku sebelumnya. 


Ketelusan KM P.Pinang itu tidak disenangi oleh Wanita MCA P.Pinang dan parti itu menganggap DAP terlalu membela kaum Melayu di P.Pinang, sedangkan Umno pula mendakwa DAP anti-Melayu dan Islam. Di sini jelas, percanggahan di antara mereka akibat kebodohan mereka sendiri.


Berbalik kepada isu murtad, Umno seharusnya ikhlas untuk mengatasi gejala ini. Berbeza dengan PAS, parti ini terus komited dengan dasar Islam. PAS tidak mudah melatah dengan isu serbuan ke atas Gereja baru-baru ini, justeru itu PAS memohon untuk mendapatkan penjelasan dari JAIS dan juga pihak Gereja. 


Malangnya juga, usaha ini disekat atas alasan `merahsiakan maklumat siasatan'. Saya tidak faham, di dalam isu akidah seperti ini mengapa perlu dirahsiakan sedangkan sebelum ini media pencacai saban hari memainkan isu tersebut. Inilah politik namanya, politik yang kotor oleh pihak mereka yang tidak pernah serius dengan hukum Islam./wfauzdin.blogspot.com 

No comments:

Post a Comment