Friday, August 12, 2011

Teori penderhaka, Yahudi, Kristian, Komunis, Wahabi dan Cina dalam BN

Kita telah mengetahui bahawa, sesiapa sahaja yang tidak menyetujui cara-cara Umno dan versi ketuanan parti tersebut akan dicapkan dengan pelbagai nama dan gelaran yang boleh memusnahkan masa depan seseorang tersebut.


Apabila Anwar Ibrahim mula mengetuai barisan pembangkang yang kemudiannya dinamakan Pakatan Rakyat, media-media Umno asyik menghentam beliau pada setiap saat dengan mendakwa kononnya Anwar adalah seorang penderhaka, agen Yahudi.

Dan setelah satu rampasan kuasa di negeri Perak setahun selepas pilihanraya umum 2008 di mana Umno yang memberontak berjaya menggulingkan kerajaan negeri Perak pada masa itu, Karpal Singh mempersoalkan tindakan Umno mempergunakan institusi raja untuk tujuan politiknya, beliau pula dicap sebagai penderhaka dan didakwa di mahkamah tetapi Karpal kemudiannya telah didapati tidak bersalah kerana beberapa orang saksi pendakwa gagal mengemukakan bukti yang sahih berhubung dengan penderhakaan tersebut.


Isu penukaran ugama rasmi negara


Tidak puashati dengan kegagalan demi kegagalan mereka untuk mematahkan semangat perjuangan Pakatan Rakyat, Umno bersama-sama dengan konco-konco NGO mereka mula beralih sasaran mereka terhadap penganut Kristian pula dengan mendakwa kononnya para pemimpin tertinggi telah bersidang di negeri Pulau Pinang dan melafazkan usaha-usaha untuk menggantikan ugama rasmi Malaysia dengan agama Kristian dan lantas daripada itu mengubah negara ini menjadi sebuah Republik Kristian.


Selepas dakwaan tersebut dihebohkan, ianya segera disambut dengan begitu meriah sekali oleh media-media massa milik Umno dan kerajaan yang sama-sama telah mendakwa bahawa perkara tersebut benar-benar sedang berlaku, walaupun langsung tidak mempunyai bukti-bukti yang boleh mengaitkan kewujudan rancangan Republik Kristian tersebut.


Komunis dan Ulama “Wahabi”


Menjelang perarakan Bersih 2.0 pada 9 Julai yang lalu, seramai enam orang pemimpin utama Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula ditahan atas dakwaan sedang merancang untuk menggulingkan kerajaan BN bagi membentuk sebuah Republik Komunis di negara kita ini. Dakwaan di luar adalah Komunis, akan tetapi mereka yang ditahan dengan begitu lamanya asyik disoalsiasat mengenai kegiatan dan perancangan mereka mengenai Bersih 2.0.


Dan setelah mereka ini dibebaskan daripada tahanan ordinan darurat, mereka didakwa di sebuah mahkamah seminggu kemudian atas cubaan menghidupkan semula fahaman Komunis di negara ini.


Masih tidak berpuashati dengan kesemua perjalanan penganiayaan tersebut, Umno kini beralih pula ke golongan-golongan Ulama muda yang tidak bersependapat dengan kerajaan BN dengan mengatakan bahawa ulama-ulama muda ini yang dipercayai dipimpin oleh bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah mensesatkan Islam dengan fahaman Wahabi yang berasal dari Arab Saudi, lantas daripada itu, turut terdapat usaha untuk menggulingkan kerajaan daripada “kumpulan” tersebut.


Akibat daripada dakwaan tersebut, ramai pihak telah tampil ke hadapan meminta pihak kerajaan untuk mengemukakan bukti-bukti yang kukuh mengenai penglibatan golongan Wahabi di dalam usaha untuk menggulingkan kerajaan tetapi sehingga kini pihak berkuasa masih gagal untuk membuktikan kesahihan dakwaan mereka tersebut.


MCA menyalak Republik China


Dan baru-baru ini, tiba giliran MCA pula yang kini sedang mengikut jejak tuan mereka, Umno untuk mengerjakan sentiment-sentimen perkauman mereka dengan mendakwa bahawa DAP kini sedang mengusahakan satu rancangan untuk membentuk sebuah Republik China di Malaysia dengan negeri Pulau Pinang dijadikan sebagai asas perjuangan mereka.


Kita semua telah mengetahui bahawa, DAP itu adalah sebuah parti berbilang kaum selama ini dan kesemua kegiatan serta program yang dikemukakan melalui peranan yang dimainkan olehnya di dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang sememangnya bercirikan keMalaysiaan yang sejati di mana semua kaum di negeri tersebut telahpun dan sedang menikmati pelbagai faedah hasil daripada dasar-dasar yang dirancang secara bersama dengan PKR dan PAS melalui gabungan Pakatan Rakyat.


Manakala, ternyata jelas MCA sehingga kini masih berbentuk perkauman, hanya bercirikan keCinaan sahaja. Apapun bentuk program dan dasar yang diamalkan oleh MCA itu hanyalah bertumpukan kepada hanya satu kaum, malah MCA melalui presiden partinya Dr Chua Soi Lek juga pernah memberikan kata-dua kepada masyarakat Cina di negara ini sama ada mengundi MCA pada pilihanraya umum yang akan datang ataupun bersedia menghadapi risiko kehilangan wakil-wakil “masyarakat” Cina di dalam kerajaan BN yang akan datang.


 logo parti Kuomintang
Jadi segala tindak-tanduk MCA sehingga kini masih berasaskan satu kaum, iaitu untuk orang-orang Cina sahaja, pentadbiran parti tersebut juga masih bercirikan keCinaan, cara-cara parti tersebut berhubung pun masih bercirikan keCinaan, malah logo parti tersebut juga hamper sama dengan logo parti Kuomintang (KMT) di Taiwan (sebelum 1949, KMT merupakan parti pemerintah tanah besar China).


Dan selepas ini, tidak pasti sama ada akan timbul lagi pelbagai karenah dan dakwaan yang aneh terhadap sesiapa yang tidak bersependapat ataupun kurang menyetujui cara-cara dan bentuk pemerintahan kerajaan BN ini.


Sama-samalah kita menunggu adegan-adegan BN yang seterusnya, sehinggalah ketibaan pilihanraya umum ke-13 tidak lama lagi.


- Malaysia Chronicle



No comments:

Post a Comment