Saturday, August 27, 2011

PAS Pahang tetap menentang Projek Lynas


PAS Pahang tetap menentang projek Lynas walaupun ada percanggahan dalam kenyataan pakar-pakar, yang sebilangan kecilnya dalam PAS yang mengatakan ia tidak mengundang bahaya kepada manusia dan alam sekitar.

PAS Pahang tetap menghormati kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang anggota parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat, walaupun pendapat beliau berbeza dengan pendirian parti dan Pakatan Rakyat dalam hal ini. Kenyataan beliau berupa hak dan kepakaran pandangan peribadi yang harus dihormati. Ini tidak menjadi masalah kepada parti, malah parti meraikan perbezaan pendapat ini dalam juzuk selaras dengan landasan demokrasi.


Meskipun demikian, untuk PAS, rakyat perlu didahulukan dalam hal ini. Kebimbingan risiko akibat projek Lynas oleh orang ramai, terutamanya penduduk Kuantan tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rakyat mempunyai hak terbesar yang mesti didengar semua.


PAS tetap melihat projek ini tidak mendatangkan apa-apa manfaat selain peluang pekerjaan hanya cukup menampung beberapa kerat pekerja tempatan; berbanding dengan risiko yang sedang menanti.


Projek Lynas sebagaimana projek be-risiko tinggi yang lain, sekiranya mengikut semua pakar nuklear, tidak akan mendatangkan ancaman dan bahaya dalam keadaan normal. Bahkan loji nuklear pun dikatakan selamat, begitu juga loji tenaga dan seumpamanya.


Namun, apabila berlaku sesuatu di luar kawalan manusia seperti yang terbesar kecuaian manusia sendiri, gempa bumi, banjir, tsunami dan lain-lain – apakah pada waktu itu baru kita hendak mengakui bahawa ia telah menjadi satu ancaman?


Penduduk di sekitar Gebeng dan Kuantan masih teringat projek nadir bumi di Bukit Merah pada 1980an – semasa ia diluluskan, ia juga dikatakan tidak bahaya dan tidak mengancam manusia dan alam sekitar.


Akan kini setelah terbukti ancamannya, ke mana semua pakar yang berhujah pada masa itu bahawa ia selamat? Semuanya senyap menyepi – yang menanggung bala adalah penduduk di sekitar kawasan loji tersebut, bahkan sisa toksiknya masih belum diselenggara sepenuhnya dengan baik sehingga kini. Percayalah, bila loji di Gebeng bertukar menjadi ancaman, orang asing dan tempatan beserta pakar yang menyokong loji ini akan mencari mangsa untuk dipersalahkan, lebih teruk lagi senyap menyepi tanpa sesiapa yang sanggup berdiri keluar untuk bertanggungjawab kepada akibat yang berlaku.


Rakyat Pahang rata-ratanya sehingga kini ingin tahu ke mana sisa radioaktif akan dilupuskan. Kalau ianya tidak bahaya seperti yang dinyatakan, nyatakanlah sebuah negara yang sudi terima sisa toksik ini. 


Apakah sisa ini akan ditanam dalam bumi kita – isi dan untung mereka yang dapat tapi sisa dan toksik rakyat kita yang tanggung?


PAS Pahang berdiri teguh bersama rakyat Pahang yang menentang projek ini, dan bagi sesiapa yang menyokongnya, bolehlah usahakan agar projek ini dibawa ke kawasannya, dan tengoklah apa reaksi pengundinya di sana. 


Carilah negeri lain yang rakyatnya sedia dan sanggup terima, itupun jika dapat cari.


Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) telah menetapkan 11 syarat dikeluarkan untuk pertimbangan Lynas dan AELB (Lembaga Perlesenan Tenaga Atom Malaysia) sebelum projek kilang tersebut diteruskan. Kita harus ingat badan ini merupakan badan yang juga menggalakan pengunaan tenaga nuklear di dunia. Menurut President Sahabat Alam Malaysia (SAM) S. M. Mohamed Idris, badan inilah yang membuat perakuan loji nadir bumi di Bukit Merah tidak membahayakan orang ramai. Tapi sekarang, apa yang sudah berlaku ?


PAS Pahang tetap berpegang bahawa suara rakyat jadi penentu. Kita akan terus mendesak sehingga projek ini dibatalkan. Rakyat Pahang akan memberikan jawapan yang jelas menentang hal ini apabila datang PRU-13 nanti. 


Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Pesuruhjaya PAS Pahang 

http://penorehgetah.blogspot.com


No comments:

Post a Comment