Tuesday, August 23, 2011

Isu gereja: Umno Selangor mahu saman SU Agung PAS RM10 juta

SU Agung PAS: Saya tidak akan minta maaf, jumpa di mahkamah


Kekal dengan pendirian mempunyai bukti mengaitkan Umno dalam pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya awal bulan ini,
Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menegaskan, beliau bersedia untuk bertemu parti Melayu terbesar itu di mahkamah.


Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Mustafa yang kini berada di luar negara berkata, beliau tidak akan memohon maaf atau menarik balik dakwaan dilemparkan terhadap Umno sebelum ini.


Sebaliknya beliau dengan tegas mempertahankan dakwaannya itu.


“Kita jumpa di mahkamah, kalau nak saman itu hak dia (Umno Selangor), saya tidak akan minta maaf dan saya kekal dengan pendirian saya sebelum ini, kita jumpa di mahkamah,” jawabnya.


Mustafa (gambar) juga secara tegas berkata akan mengemukakan bukti itu ke mahkamah.


“Saya akan kemukakan bukti ke mahkamah jika dibawa ke mahkamah,” katanya ringkas.


Hari ini, Umno Selangor berkata pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta terhadap Mustafa berhubung dakwaan kononnya parti itu memainkan peranan dalam tindakan Jais ke atas pemeriksaan di Gereja Methodist Damansara Utama pada 3 Ogos lalu.


Menurut Setiausaha Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, selain Mustafa, pihaknya juga akan mempertimbangkan pihak-pihak lain dalam saman yang akan difailkan selepas Aidilfitri.


Awal minggu lalu, Mustafa dalam satu sidang media di Kuala Terengganu mendakwa Umno berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan oleh Jais ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.


Beliau juga mengatakan Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu itu ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas gereja itu.


Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin pada satu pertemuan yang dijadual untuk diadakan minggu lalu.


Tetapi ia ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan Jais selesai.


Gereja Methodist Damansara Utama menjadi tumpuan sejak beberapa minggu lalu selepas Jais melakukan pemeriksaan ke atas satu majlis makan malam muhibah anjuran Harapan Komuniti di premis itu.


Jais berkata tindakan mereka hanya bersifat pemeriksaan tetapi pengurusan gereja mendakwa agensi itu melakukan serbuan. -TMI
Umno saman PAS, Mustafa Ali RM10 juta


Menurut Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, ini langkah permulaan ke atas tuntutan ganti rugi, malu dan fitnah oleh Mustafa dan PAS.


SHAH ALAM: Umno Selangor menyaman PAS dan Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali sebanyak RM10 juta berhubung fitnah bahawa parti itu didakwa berperanan dalam pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Agama Islam (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama di Petaling Jaya pada 3 Ogos lalu.


Menurut Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ir Mohd Zin Mohamed, itu langkah permulaan ke atas tuntutan ganti rugi,malu dan fitnah oleh Mustafa dan PAS.


Mohd Zain berkata mengambil semangat bulan Ramadhan pihaknya telah menghantar surat pada 17 Ogos kepada Mustafa sebagai kesediaan untuk memberi kemaafan kepada beliau.


Walau bagaimanapun beliau berkata Mustafa secara bongkak dan sombong mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan Umno Selangor berhubung isu tersebut.


“Tindakan Umno Selangor adalah untuk mempertahankan maruah. Disebabkan Mustafa dan PAS gagal memohon maaf di atas fitnah yang dilemparkan maka kami ambil proses undang-undang sebagai pembelaan.


“Saman (terhadap) Mustafa, PAS dan pihak-pihak lain sebanyak RM10 juta. Pihak-pihak lain itu juga akan dipertimbangkan memandangkan kenyataan beliau turut dikeluarkan menerusi Harakah Daily,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Umno Selangor di sini hari ini.


Klip video


Menurut Mohd Zin, Umno Selangor akan diwakili peguam Abu Bakar Isa Rahmat dari Tetuan Hafarizam Wan dan Aisha Mubarak.


Abu Bakar yang ditemui pula menjelaskan notis oleh peguam yang dilantik telah dihantar kepada pihak yang berkenaan.


Manakala saman itu akan dibuat dalam masa terdekat di Mahkamah Tinggi Shah Alam.


Mustafa pada minggu lalu mendakwa Umno memainkan peranan dalam mempolitikkan isu tersebut ekoran tindakan Jais yang sehingga kini belum mendedahkan hasil siasatan mereka ke atas DUMC.


Tambah Mustafa, beliau sedia mendedahkan maklumat campur tangan Umno kepada Pengarah Jais Marzuki Hussin.


Begitu juga ekoran pendedahan klip video kehadiran Jais ke DUMC pada hari kejadian seperti yang ditayangkan dalam beberapa blog Umno. -FMT

Baca : Isu Gereja : Mustafa ada Bukti UMNO terlibat??

No comments:

Post a Comment