Thursday, July 28, 2011

Ya ampun, lawak ini menjadi seram

http://www.shakirshafiee.com/v1/wp-content/uploads/2011/07/bersih2.jpg
Makna dan tanda 9 Julai
Oleh Hishamuddin Rais
Dalam pensejarahan, setiap negara bangsa akan wujud satu tarikh untuk diingati dan dikongsi bersama. Warga Palestin mengingati Nakba atau malapetaka pada 15 Mei setiap tahun. Pada tarikh ini Israel diwujudkan. Pada tarikh ini juga tanah warga Palestin mula di rampas oleh kaum Zionis.


Semenanjung Tanah Melayu menyambut hari 'malapetaka' pada 31 Ogos setiap tahun. Malapetaka menimpa Tanah Melayu di tarikh ini apabila British mengagihkan kuasa pentabiran tanah Melayu kepada United Malay National Organisation. Malapetaka ini sedang sama-sama kita rasakan.
Tetapi apa sangkut pautnya malapetaka ini dengan tarikh 9 Julai? Bukankah pada 9 Julai yang lepas hanyalah hari perhimpunan BERSIH? Untuk memahami 9 Julai ini saya akan bawa kembali kepada surah sejarah agar para pembaca yang budiman akan dapat memahami makna dan tanda tarikh dan haribulan ini.

Saya bawa kembali para pembaca ke zaman Julius Ceaser dan kerajaan Rom. Di Utara Itali ada sebatang sungai bernama Rubicon yang airnya berlumpur merah. Sungai ini telah dijadikan garis sempadan. Kerajaan Rom telah membuat undang-undang bahawa tidak ada sesiapa pun boleh melintasi sungai Rubicon dengan membawa bala tentera.

Pada tahun 49 sebelum Masehi, Julius Ceaser telah melintasi sungai Rubicon dengan membawa satu ketumbukan bala tentera menuju ke arah kota Rom. Menyeberangi Sungai Rubicon memberi makna bahawa tidak ada lagi jalan pulang melainkan mengambil kota Rom. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Kini biar saya bawa pula ke zaman sesudah Perang Dunia Pertama. Pada tahun-tahun 30-an kerajaan Perancis telah mendirikan tembok-tembok pertahanan di sempadan Perancis/Jerman. Tembok dan kubu-kubu pertahanan ini di panggil Garis Maginot - diambil daripada nama menteri pertahanan Perancis sebelum Perang Dunia Kedua. Garis ini cukup kukuh dengan kubu-kubu batu, tembok yang lengkap dipersenjatai dan pengkalan askar yang strategik diatur sepanjang Garis Maginot.

Apabila Perang Dunia Kedua pecah, Hitler mula menyerang Perancis. Kubu-kubu di Garis Maginot yang pada awalnya kelihatan kukuh dan mustahil untuk soldadu German menorobus masuk ke Perancis. Tetapi pada 10 Mei 1940, Garis Maginot ini ditembusi oleh soldadu Hitler. Pada 14 Jun 1940 Perancis jatuh ke tangan Nazi. Tetapi 9 Julai kita lebih dari ini.

Biar saya bawa pula para pembaca yang budiman ke tahun 711 di zaman kegemilangan tamadun Arab. Pada 29 April 711, Tariq ibni Ziyad, panglima perang dari Moroko telah berjaya menyeberang Laut Tengah dan memasuki Semenanjung Ibera. Sesampainya di pantai Selatan Laut Tengah, Tariq telah membakar semua kapal yang membawa bala tenteranya.

Tariq ibni Ziyad telah menerangkan pada bala tenteranya bahawa di hadapan mereka terbentang luas negara Sepanyol yang subur dan menjanjikan untuk diambil. Di belakang mereka ialah Moroko. Tetapi mereka tidak memiliki pilihan kerana semua kapal untuk pulang telah dibakar. Hanya satu pilihan - iaitu terus mara dan menawan Sepanyol. Tetapi 9 Julai lebih dari ini.

Sekarang mari kita sama-sama melihat kembali pensejarahan 9 Julai. Apabila BERSIH mengumumkan 9 Julai sebagai hari perhimpunan dengan lapan tuntutan, saya rasa tidak bagitu ramai yang ambil pot.

Lawak menjadi seram

Ada komen yang mengatakan kempen BERSIH 2007 dahulu lebih baik kerana masa berkempen agak panjang. Kali ini masanya singkat. Pasti tidak ada sokongan. Ada yang mengatakan bahawa Rosmah dan Najib ini amat popular dan susah untuk digelincirkan. Ada pula yang memberi komen bahawa tunjuk perasaan ini bukan budaya kita.

Semua hujah-hujah ini menjadi hampeh apabila Mat Sabu dipilih menjadi timbalan presiden PAS. Semua suasana politik berubah. Perubahan mendadak berlaku apabila Mat Sabu membuat kenyataan terbuka bahawa sebagai timbalan presiden PAS, dia akan memastikan 300,000 ahli parti PAS turun ke jalan raya pada 9 Julai. Kenyataan Mat Sabu ini terus menaikkan kemarahan Rosmah Mansor sebanyak tiga kilo.

Biar saya terangkan sejelas mungkin di sini. Semua daulah yang zalim, untuk meneruskan kuasa, akan menakut-nakutkan warganya. Ini adalah teknik dan strategi yang digunapakai oleh semua pemerintah. Raja, emperor, ratu, presiden atau perdana menteri, semua menggunakan 'takut' sebagai alat. Warganegara yang takut akan menjadi bodoh. Warga yang bodoh tidak berani bersuara. Warga yang takut dan bodoh amat senang untuk ditambat dan dijadikan kuli batak.

Apa yang telah dilakukan oleh Rosmah dan Najib ialah mengarahkan sepupunya Hishammuddin Hussein untuk menakut-nakutkan rakyat. Yang menjadi orang suruhan untuk menakut-nakutkan orang ramai ini ialah timbalan ketua polis. Lihat bagaimana pada satu ketika warna kuning untuk kasut, payung dan baju telah diisytihar sebagai warna haram untuk dipakai. Ini contoh terbaik gerak kerja orang suruhan.

Tidak cukup dengan tangkapan polis, rakyat juga cuba ditakut-takutkan dengan kehadiran para pesilat yang memiliki ilmu kebal dan ilmu ghaib. Untuk terus menakut-nakutkan orang ramai, tiba-tiba kita melihat kemunculan berita di mana polis dan tentera telah mengadakan latihan bersama. Tidak cukup dengan berita ini ada sepanduk yang tertera dengan tulisan besar dalam empat bahasa termasuk tulisan Jawi: Jika Tidak Berundur Kami Akan Tembak.

Taktik untuk menakutkan orang ramai ini dinaikkan lagi suhunya dengan kemunculan Perkasa dengan juruhebohnya Ibrahim Ali. Setiap hari tanpa henti-henti Ibrahim Ali telah berleter dan berheboh dengan segala macam berita yang bertujuan untuk mengancam dan menakut-nakutkan orang ramai dari turun ke jalan raya.

Dalam masa yang sama saban hari media milik United Malay National Organisation telah mengeluarkan dua bentuk berita. Satu berita-berita yang berniat untuk mengancam warga agar jangan berani turun ke jalan raya. Satu lagi berita untuk memburuk-burukan dan memperlekeh BERSIH.

Tidak cukup dengan semua ini , enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah ditahan. Kali ini dengan menggunakan Ordinan Darurat. Entah macam mana putar dan belit, Rosmah, Najib and sepupunya telah memintal lidah untuk menipu orang ramai. Sepupu Najib telah berkata bahawa enam anggota PSM ini ingin melawan Agong.

Ya ampun, lawak ini menjadi seram apabila kita diberitahu bahawa hanya Dr Jeya seorang sahaja yang tahu di mana rumah Agong dan pernah melihat muka Agong! Ini kerana Dr Jeya seorang ahli parlimen dan Agong telah beberapa kali datang ke parlimen. Yang lima lagi ini, saya difahamlan hanyalah aktivis PSM yang rata-rata tidak tahu sangat tentang jalan-jalan di Kuala Lumpur. Malah mereka berlima ini mungkin tidak dapat membezakan muka Agong. Jauh sekali nak melawan Agong.

Di belakang semua huha huha ini ada pula perang saraf yang disebarkan oleh 'desas bin desus'. Ada cerita tetang tangkapan ISA, tentang askar akan ambil alih negara dan kisah penangkapan beramai-ramai ala Operasi Lalang. Cerita penglipur lara dari Desas bin Desus ini sebenarnya adalah sebahagian dari pernah saraf yang tersusun untuk menakut-nakutkan orang ramai.

Rentasi Garis Maginot, bakar kapal perpaduan

Untuk saya bukan 6,000, bukan 60,000 atau bukan 600,000 warga yang turun ke jalan pada 9 Julai untuk dijadikan ukuran. Untuk saya angka ini bukan persoalan. Kalau pun hanya enam orang yang turun pada 9 Julai yang lalu, saya anggap ini adalah satu kemenangan. Kenapa saya berkata sedemikian?

Mungkin ramai yang tidak sedar. Mungkin ramai yang belum faham lagi. Apa yang terjadi pada 9 Julai dahulu ialah kita warganegara Malaysia telah melintasi 'Garis Takut'. Garis Takut ini adalah sebahagian dari garis psokologi yang telah dipasang apabila malapetaka 31 Ogos dihempapkan kepada kita semua.

Garis Takut adalah Garis Maginot, garis pertahanan untuk United Malay National Organisation untuk menyebarkan falsafah ketuanan Melayunya. Pada 9 Julai yang lalu Garis Takut ini telah sama-sama kita lintasi. Dari kajian awal BERSIH, hampir 120,000 warga telah turun dan terlibat di jalan raya pada 9 Julai yang lalu. Kesemua mereka telah melintasi Garis Takut.

Garis Takut ini juga telah memecahkan mitos Mei 13 dan pergaduhan kaum. Babak Mei 13 ini telah menghantui kita selama berpuluh tahun. Pada 9 Julai yang lalu hantu dan mitos 13 Mei hancur berderai-derai. Anak anak muda yang turun ke jalan raya pada 9 Julai yang lalu telah menangkap hantu 13 Mei ini dan memasukkan ke dalam botol untuk dibuang ke Laut Kalzom.

Pada 9 Julai yang lalu terbukti anak-anak muda - anak semua bangsa - tidak ambil potlangsung terhadap Pekasa, polis, tentera atau ISA. Inilah bukti sahih yang mereka telah melintasi Garis Takut. Anak-anak muda di jalan raya telah masuk ke satu dunia yang baru.

Melintasi Garis Takut ini bermakna kita semua - para penyokong Bersih - telah juga menyeberang menyeberang Sungai Rubicon. Seperti Julius Ceaser kita juga tidak ada pilihan melainkan mara mendobrak kezaliman dan ketidakadilan.

Pasti ada yang akan menyoal, kapal mana yang telah kita bakar pada 9 Julai yang lalu?

Senyum dan senyumlah. Kapal yang telah kita bakar pada 9 Julai ialah 'Kapal Kerajaan Perpaduan'. Seperti Tariq ibni Ziyad, pada 9 Julai dahulu segala mimpi, segala angan-angan untuk mengundur pulang ke Tangier telah musnah. Segala mimpi, segala angan-angan untuk PAS dan United Malay National Organisation menubuhkan kerajaan perpaduan telah terbakar di Lebuh Pudu, di Jalan Petaling dan di Menara Maybank.

Tembakan gas pemedih mata di terowong stesen bas KL Sentral adalah mancis api yang membakar kerajaan perpaduan. Apabila Hadi Awang ditangkap dan Mat Sabu dilanggar kereta polis ini adalah keruntuhan tiang layar kapal kerajaan Perpaduan.

Kita telah menyeberang Sungai Rubicon, kita telah melintasi Garis Maginot dan kita telah membakar kapal perpaduan. Kini kita sedang berada dalam dunia yang baru. Kita berada dalam wilayah yang memungkinkan kita menamatkan malapetaka yang menghempap kita semenjak 31 Ogos 1957 dahulu. Di belakang kita ialah takut, di hadapan kita ialah Putrajaya yang subur dan menjanjikan untuk diambil.M/Kini

No comments:

Post a Comment