Sunday, July 3, 2011

Tanjung Pagar : Dimana PERKASA dan "PATRIOT"????

Seluruh rakyat Malaysia terutama yang tinggal di Johor sepatutnya bersedih mulai hari ini, apabila tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) yang telah dipajak selama 79 tahun hilang buat selama-lamanya dari pemilikan Malaysia kerana diserahkan kepada pihak Singapura.

Sebagai balasannya, pihak Singapura akan menggantikan kepada Malaysia (Johor) dengan tanah bertaraf antarabangsa di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor.

Exco Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Suhaizan Kaiat berkata, penyerahan tanah KTMB yang berlaku hari ini menjadi satu sejarah penting kepada negara dan memberi banyak pengajaran kepada generasi akan datang.

Menurut beliau, pangajaran yang paling besar adalah Kerajaan Malaysia sanggup menyerahkan tanah KTMB kepada Singapura demi mengejar keuntungan material semata-mata dengan mengenepikan persoalan maruah rakyat dan negara tercinta ini.

Katanya, Pemuda PAS Negeri Johor amat sedih dengan catatan sejarah duka ini kerana ia tidak sepatutnya dialami oleh seluruh rakyat Johor dan Malaysia.






"KTMB mempunyai tanah pajakan dengan Kerajaan Singapura selama 999 tahun bermula tahun 1932 seluas 217 hektar. Tanah sepanjang 30 km ini adalah dari Woodland, Kranji, Tanjung Pagar dan 3 lot di Bukit Timah (lot 76-2Mk 16, lot 249 Mk 4 & lot 32-10 Mk 16)," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Tanah tersebut, menurut beliau, cukup strategik kerana terletak di tengah-tengah Singapura, terlengkar dari utara di Woodland hingga ke Selatan di Tanjung Pagar.

Katanya, perjanjian pajakan yang telah dimeterai dengan pihak British telah menyatakan bahawa tanah tersebut hanya boleh digunakan untuk tujuan keretapi sahaja.

Ini bermaksud bahawa jika KTMB membuat aktiviti lain daripada keretapi, katanya, maka perjanjian pajakan akan terbatal dan Singapura berhak untuk merampas tanah tersebut.

"Persoalannya, mengapa perjanjian yang mengikat negara ini tidak dipinda semasa Singapura keluar daripada Malaysia?" tegasnya.

Hari ini, ujarnya, tanah tersebut tidak akan kembali lagi kepada kita dan digantikan dengan tanah di empat lot Marina South dan satu bidang di Ophir Rochor yang akan dibangunkan oleh syarikat usahasama Malaysia dan Singapura, M-S Pte Ltd yang dimiliki 60 peratus ekuiti oleh Khazanah Nasional Berhad dan 40 peratus ekuiti oleh Temasek Holdings.

"Persoalannya, mengapa Syarikat M-S Pte Ltd belum menunjukkan sebarang progres projek tetapi tanah KTMB sudah dilepaskan kepada Singapura?

"Di manakah maruah rakyat dan negara Malaysia jika Syarikat M-S Pte Ltd gagal sedangkan tanah KTMB telah diserahkan kepada Singapura?" katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor menegaskan, tanah di Marina South dan Ophir Rochor yang dibangunkan oleh M-S Ptd Ltd itu bakal dijual kepada pasaran setelah siap dibangunkan.

"Oleh itu, tanah ini akan terdedah kepada pemilikan bebas. Berkemungkinan tanah ini sedikit demi sedikit akan hilang daripada pegangan Khazanah Nasional.

"Akhirnya rakyat Malaysia sudah tidak memiliki tanah di Singapura yang boleh dibanggakan oleh generasi akan datang. Apakah jaminan tanah di Marina South dan Ophir Rochor tidak terlepas kepada pihak luar?" ujar beliau. -HD


No comments:

Post a Comment