Sambutan Kemerdekaan ke-54 negara ditunda kepada 16 September, serentak dengan sambutan Hari Malaysia.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata keputusan itu dibuat berikutan tarikh kemerdekaan jatuh pada penghujung Ramadan.
"Jawatankuasa Bulan Kemerdekaan membuat keputusan (16 September) sesuai berikutan ia adalah juga tarikh Hari Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Keceriaan Bulan Kemerdekaan 2011 di Kuala Lumpur, hari ini.
Bagaimanapun, katanya aktiviti lain Bulan Merdeka akan diadakan seperti biasa bersesuaian dengan Ramadan.
Mengenai venue sambutan Hari Kemerdekaan kali ini, Kamaruddin berkata ia mungkin diadakan di Dataran Merdeka.
Mengenai Program Keceriaan Bulan Kemerdekaan itu, beliau berkata pertandingan itu diadakan berikutan sambutan menggalakkan pada program itu tahun lepas.
"Kira-kira 61 pihak yang layak telah dinilai pada tahun lepas. Kita jangka lebih banyak pihak akan menyertainya pada tahun ini," katanya.
Menurutnya fokus utama program itu ialah pengibaran Jalur Gemilang di kawasan, bangunan dan premis dengan menggunakan daya kreativiti untuk membantu meningkatkan penghayatan orang ramai terhadap erti kemerdekaan.
Kamaruddin berkata tujuh kategori dipertandingkan tahun ini iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung (tradisi, kampung baru cina, kawasan estet, felda), sekolah (Menengah, kebangsaan, jenis kebangsaan), taman perumahan, individu dan pintu gerbang.
Program itu dilaksanakan mulai 1 Ogos sehingga minggu ketiga Ogos, dan penilaian bermula dari 31 Ogos sehingga 16 Sept meliputi aspek kreativiti, daya tarikan dan nilai tambah, katanya.
Maklumat lanjut mengenai pertandingan itu boleh didapati di laman web Jabatan Penerangan. MK
No comments:
Post a Comment