Thursday, July 21, 2011

Polis tayang video tunjukkan “imej positif’ PDRM


Pegawai polis menahan salah seorang peserta perhimpunan Bersih 9 Julai 2011.
KUALA LUMPUR, 21 Julai — Polis hari ini telah menayangkan rakaman video berhubung Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu di ibu negara sambil menegaskan tiada kekerasan dilakukan ke atas peserta perhimpunan.
Bagaimanapun dalam sesi penerangan dijelaskan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid, rakaman-rakaman itu hanya menayangkan “kebaikan” yang dilakukan polis ke atas peserta dan tidak secara keseluruhan tentang apa yang berlaku.
Bahkan, sepanjang penerangan itu Salleh lebih banyak mengatakan polis bertindak secara berhemah dan menyalahkan peserta kerana melakukan provokasi.
“Sesi penerangan ini adalah untuk menjelaskan beberapa isu mengenai perhimpunan haram Bersih 2.0 yang mana ada tiga lokasi utama iaitu KL Sentral, Menara Maybank, Puduraya, Hospital Tung Shin dan KLCC (Pusat Konvensyen Kuala Lumpur).
“Jumlah peserta yang hadir tidak melebihi 10,000 orang, isu yang timbulan adalah berhubung tohmahan yang dilemparkan terhadap kita,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.
Dalam sesi penjelasan yang turut menayangkan rakaman video di tiga lokasi utama itu, Salleh berkata pihaknya juga mendapati kematian Baharuddin Ahmad dan kecederaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu tiada kaitan dengan tindakan polis.
Ia disahkan dalam rakaman yang ditayangkan kepada media dan juga wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jelas Salleh, sepanjang pasukan keselamatan mengawal perhimpunan itu setiap tindakan yang dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kita ikut SOP yang ditetapkan, sepanjang perhimpunan kita mengawal keadaan dan bertindak secara berhemah, namun peserta perhimpunan yang banyak membuat provokasi.
“Video yang kita tunjukkan ini adalah untuk membuktikan polis tidak bertindak ganas malah mengambil berat ke atas peserta yang ditangkap selain provokasi yang dibuat peserta,” katanya.
Dalam pembentangan hampir 45 minit itu, banyak rakaman yang menyaksikan bagaimana peserta termasuk Naib Presiden PKR Tian Chua yang cuba menyerbu ke arah pasukan keselamatan di KL Sentral.
Bagaimanapun tindakan Tian Chua itu gagal selepas polis melepaskan gas pemedih mata di luar premis KL Sentral sejauh 30 meter.
Dalam rakaman video yang ditayangkan itu tiada satu pun rakaman yang menyaksikan polis bertindak kasar ke atas peserta.
Sebaliknya ia menayangkan rakaman di mana polis menghulurkan bantuan kepada Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad yang ditahan di KL Sentral.
Sementara itu di KLCC, hanya menayangkan rakaman yang menyaksikan meriam air sedang dilepaskan ke arah peserta perhimpunan.
Bagaimanapun, lebih banyak rakaman video di kawasan Hentian Puduraya ditayang di mana turut dipaparkan perbincangan antara Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa dengan polis.
Turut disiarkan gambar-gambar yang mana peserta perhimpunan menyerbu ke arah kenderaan pasukan keselamatan selain tembakan gas pemedih mata dan meriam air dilepaskan.
Secara keseluruhan, tayangan yang ditayangkan itu lebih banyak menunjukkan “kebaikan” polis terhadap peserta dan bukan sebaliknya.
Justeru kata Salleh, pihaknya meminta agar rakyat tidak terpedaya dengan rakaman video atau gambar yang dimuatnaik di Internet.
Bagaimanapun jelas beliau, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan meminta agar mana-mana bukti yang mengaitkan tentang keganasan polis diserahkan agar tindakan susulan boleh diambil.
“Siasatan masih berjalan lagi, ini bukan keputusan akhir... kita masih mengumpul maklumat... jika ada bukti (keganasan polis) serahkan kepada kita untuk disiasat.
“Kalau ada (anggota) yang bertindak di luar SOP tindakan akan diambil,” katanya. - TMI

No comments:

Post a Comment