Monday, July 18, 2011

PESANAN DARI ALLAHYARHAMAH DR LO LO' YANG MASIH SAYA INGAT MELALUI TWITTERNYA

AL-FATIHAH. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah dan Mujahadah YB Dr Lo Lo' Mohd Ghazali, MP Titiwangsa yang telah meninggal dunia malam tadi pada jam lebih kurang 10.13 malam di Hospital Selayang, Kuala Lumpur akibat penyakit barah yang dihadapinya.


Allahyarhamah seorang MP yang aktif bersama masyarakat dan sentiasa membantu rakyat yang memerlukan bantuan sedaya upayanya.

Takziah buat seisi keluarga dan waris Allahyarhamah semoga diberikan kekuatan dan semangat untuk terus tabah menghadapi ujian dan ketentuan Illahi. Berita kematian Allahyarhamah dimaklumkan dalam laman Facebook dan Twitter Allahyarhamah atas nama keluarganya.

Allahyarhamah adalah anak perempuan bekas mufti Perak, Datuk Mohd Ghazali Abdullah. Pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, kawasan Parlimen Titiwangsa telah dikejutkan dengan kemenangan Allahyarhamah Dr Lo Lo' yang mewakili PAS menewaskan calon Umno/Bn, Aziz Jamaludin dengan majoriti 1, 972 undi. Kemenangan cemerlang yang hampir mencapai majoriti 2,000 undi ini tidak merugikan semua pengundi di kawasan Parlimen Titiwangsa. Beliau telah menunjukkan prestasi yang amat cemerlang sebagai Wakil Rakyat yang berani dan lantang bersuara di Parlimen.


Seorang Mujahadah yang berani bersama rakyat menuntut hak bersuara sewaktu BERSIH 1.0 sehingga beliau ditahan. Turut melakukan demontrasi bersama rakyat membantah kenaikan kadar Parking di DBKL.

Di sebalik keberanian dan kelantangannya, Allahyarhamah dilihat sebagai Wakil Rakyat yang mudah mesra kepada semua peringkat dari berbagai kaum dan agama. Beliau seorang yang rajin melawat kawasannya sehingga kepada saat beliau menghadapi penyakit barah, beliau tetap prihatin kepada masalah pengundi di kawasan Titiwangsa. Sewaktu beliau tidak lagi terdaya untuk bergerak cergas, beliau tetap menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dengan menggunakan wakil beliau di Pusat Khidmat Parlimen Titiwangsa.

Keberanian Allahyarhamah Dr Lo Lo' tidak boleh dipertikaikan lagi. Sewaktu Perhimpunan BERSIH 1.0 tahun 2007, beliau di antara pimpinan yang turun bersama rakyat melakukan demontrasi malahan beliau pernah ditahan di kawasan Parlimen. Perhimpunan BERSIH 2.0 pada 09 Jul yang lalu, mungkin Allahyarhamah merasai sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama-sama rakyat merasai betapa peritnya untuk memperjuangkan demokrasi di negara ini. Namun, doa dari beliau ketika beliau sedang sakit dan menerima rawatan yang sering dicatatkan melalui Twitter beliau sudah cukup untuk kita merasai denyut hatinya untuk turut bersama kita ketika itu.

Negara, Pakatan Rakyat terutamanya PAS telah kehilangan seorang Mujahadah yang jujur dan amanah serta berjiwa besar. Bukan mudah untuk mencari pengganti seperti Allahyarhamah yang disukai oleh semua peringkat tua, muda dari semua kaum dan agama. Sebagai seorang Profesional di bidang perubatan, segala ilmunya di manafaatkan untuk masyarakat.

Saya masih teringat, ketika beliau sedang sakit dan hanya dapat berinteraksi dengan orang ramai melalui Twitternya, ada seorang hamba Allah twit kepadanya dengan kata-kata yang tidak baik iaitu mengharapkan Allahyarhamah cepat meninggal dunia. Beliau tidak marah atau melenting dengan kata-kata tersebut, malahan beliau dengan tenang dan sabar membalas Twit tersebut dengan berkata, " Ajal dan maut di tangan Allah, cuma kamu hendaklah insaf semasa kamu masih hidup dan janganlah kamu merasa kamu tidak akan mati".


Saya sendiri secara peribadi masih mengingati satu pesanan yang sering diulang-ulang oleh Allahyarhamah di dalam Twitternya apabila ada sesiapa yang membangkitkan isu video seks yang kununnya melibatkan DS Anwar. Beliau berpesan, kembalilah pada Al-Quran dan rujuklah di dalam Surah An-Nur dan jangan kita menjadi orang yang membawa fitnah.

Sehingga kini, saya sering menggunakan pesanan beliau di dalam hujah saya berkaitan isu tersebut. Mudah-mudahan ilmu yang Allahyarhamah Dr Lo Lo' berikan walaupun dengan sepatah ayat yang beliau catatkan di dalam Twitternya itu akan memberikan ruang yang luas dan lapang serta bercahaya buat roh Allahyarhamah di alam Barzakh. Amin, Ya Rabbul Alamin....AL-FATIHAH./wfauzdin.blogspot.com


No comments:

Post a Comment