[HM] KUALA TERENGGANU: “Walaupun reda dengan kematian arwah, saya terkilan dan sedih apabila melihat anak lelaki berusia 24 tahun itu tidak sedarkan diri dengan bergari dalam lokap bersama abangnya berusia 38 tahun di Balai Polis Gong Badak, malam Rabu lalu,” kata Zainun Mamat, 56, dari Kampung Tuan Mandak, Batu Enam.
Zainun berkata, Mohd Azizul Muda, anak ketujuh daripada 12 beradik itu dilihat cedera teruk di kepala dan dia sendiri tidak tahu punca anaknya ditahan polis.
“Saya bertanya kepada seorang anggota polis bertugas kenapa anak sedemikian dan diberitahu anak saya berpura-pura buat begitu dan akan sedar setengah jam kemudian,” katanya.
Menurut suri rumah itu, walaupun anaknya kelihatan teruk, tiada usaha anggota polis bertugas membawa anaknya ke hospital.
Menurut Zainun, sebelum itu Mohd Azizul dan abangnya, Mohd Suhaimi keluar menaiki motosikal ke kedai makan di Taman Semarak untuk makan roti canai selepas menonton siaran langsung perlawanan bola sepak kelayakan Piala Dunia antara Malaysia dengan Taiwan jam 11.30 malam.
Katanya, kira-kira setengah jam kemudian dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya memintanya datang ke Balai Polis Gong Badak kerana dua anak lelakinya ditahan polis manakala Mohd Azizul cedera di kepala.
Menurutnya, selepas berbincang dengan anggota polis seorang daripadanya memberi jaminan keadaan anaknya akan pulih.
“Saya pulang dan datang semula ke balai polis kira-kira jam 9 pagi keesokannya untuk melihat anak namun terkejut apabila mendapat tahu dia sudah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pagi itu.
“Saya bergegas ke HSNZ dan setiba di sana, terkejut apabila mendapati kepala anak sudah dibedah dan doktor mengesahkan punca kematiannya akibat terjatuh motosikal.
“Saya hairan kerana sebelum ini anggota polis memberi jaminan anak saya tiada masalah dan kerana dia cedera, kenapa tidak dibawa ke hospital. Bila keadaan sudah teruk baru bawa ke hospital dan keadaan ini menimbulkan keraguan mengenai punca kematiannya,” katanya.
Zainun berkata, punca kematian anaknya akibat terjatuh motosikal seperti tidak logik serta tidak dapat diterima keluarga dan mereka bercadang melantik peguam untuk lanjut mengenalpasti punca kematian.
Katanya, anak perempuannya, Nurhafidah, 26, sudah pun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang Jumaat lalu kerana tidak puas hati mengenai punca kematian serta kelewatan polis menghantar arwah ke hospital.
Katanya, beberapa hari sebelum itu, arwah berkelakuan pelik apabila memberi sekeping gambar kepada adik lelakinya berusia 23 tahun dan meminta disimpan dengan baik.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersama abangnya terbabas dan terjatuh ketika melarikan daripada polis yang membuat operasi di Jalan Semarak.
Katanya, motosikal ditunggang mangsa terbalik lalu menghempap kepalanya.
DCM
No comments:
Post a Comment