Saturday, July 9, 2011

Bersih 2.0 dan fakta-fakta yang tak mungkin dibatalkan

http://hornbillunleashed.files.wordpress.com/2011/07/bersih-global.jpgOleh Dinsman
Mengapa mereka begitu takut kepada cadangan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) untuk berhimpun di Kuala Lumpur 9 Julai ini? 

Bukan kali pertama perhimpunan begini diadakan di Kuala Lumpur. Sudah beberapa kali pundibuat. Mana pernah berlaku perkara-perkara yang boleh mengancam atau membahayakan keselamatan?

Perhimpunan Bersih pun ini kali yang kedua. Kali pertama dulu apakah ada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, yang merosakkan harta awam, atau mencederakan mana-mana manusia? Tak ada!


Himpunan bantah PPSMI yang disertai oleh rakyat awam yang lebih kurang sama ramainya itu pun, sama juga. Tak ada berlaku apa-apa yang perlu ditakuti pun. Huru-hara dan hiruk-pikuk itu hanya berlaku apabila pihak polis bertindak menembak gas, air gatal dan mengejar untuk menangkap mereka. 

Tanpa itu semuanya aman dan terkawal sahaja.

Hakikat dan fakta ini semua orang tahu. Biarpun media-media pengampu Umno-BN cuba menyelewengkan fakta dan berbohong serta memfitnah untuk menempelkan imej buruk kepada pihak pembangkang dan pengkritik kerajaan, namun orang ramai dan rakyat semua tahu. Kecualilah mereka yang penyokong tegar Umno-BN dan mengharamkan diri mereka membaca dan mendengar berita lain selain daripada sumber mereka sendiri.

Jadi, tak ada apa yang perlu dibimbangkan pun sebenarnya. Sebab itulah maka Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang berumur 75 tahun itu pun sanggup hadir membaca puisi pendeknya di majlis pelancaran Bersih itu. Tapi itu pun dijadikan isu, dan dia dipanggil hadir ke balas polis untuk disiasat.

Mengapa perlu diberikan reaksi yang berlebih-lebihan begitu? Hinggakan orang yang pakai baju T kuning pun ditangkap; dan memakai pakaian kuning pun dikatakan haram. Mengapa sampai reaksi terlalu berlebih-lebihan begitu?

Dan akhirnya Yang Dipertuan Agung pun mencemar duli mengeluarkan titah agar perhimpunan bersih itu dibatalkan.

Tetapi apakah dengan demikian maka masalah pun selesai dan negara pun menjadi aman damai dan sejahtera? Yang menjadi masalah sebenarnya bukannya perhimpunan itu. Yang menjadi masalah sebenar ialah amalan demokrasi dan pilihanraya yang tidak bersih. Itu masalahnya. Bukannya perhimpunan itu yang menjadi masalah.

Yang Dipertuan Agung barangkali mendapat nasihat hanya setakat perhimpunan itu sahaja (yang dikatakan boleh mengancam keselamatan negara). Baginda tidak mendapat nasihat mengenai amalan demokrasi dan pilihanraya yang tidak bersih, yang semakin hari semakin menyemarakkan kemarahan rakyat.

Memang perhimpunan Bersih 2.0 yang dijadualkan akan diadakan pada 9 Julai itu boleh dibatalkan, dengan kuasa yang ada pada pihak-pihak tertentu. Tetapi apabila pembatalan perhimpunan itu tidak dapat menyelesaikan masalah yang sebenarnya, maka masalah yang sebenarnya itu akan terus hidup di kalangan rakyat jelata di seluruh pelusuk negara ini. Ia akan terus disuarakan oleh pihak pimpinan politik Pakatan Rakyat. Bukankah itu yang sepatutnya lebih ditakuti oleh pihak kerajaan Najib?

Lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih itu: Bersihkan senarai undi; mereformasikan undi pos; gunakan dakwat kekal; akses media bebas dan adil; masa berkempen minimum 21 hari; kukuhkan institusi awam; hentikan rasuah; dan hentikan politik kotor – itulah sebenarnya masalah-masalah yang perlu diberi perhatian secara serius oleh pihak kerajaan Umno-BN.

Lapan perkara tuntutan Bersih itu bukannya perkara rekaan. Itu semua adalah fakta yang menjadi masalah, yang menyebabkan rakyat menjadi resah dan marah. Maka apabila The Star Online membuat tinjaun pendapat rakyat pada 21 Jun lalu, sebanyak lebih 1.3 juta undi sempat diterima, sebelum ia terpaksa dihentikan dan dikeluarkan daripada skrinnya pada tengahari itu, disebabkan fakta yang dipaparkan begitu memeranjatkan, iaitu 99 peratus menyokong perhimpunan Bersih 2.0 diadakan; dan hanya 1 peratus sahaja yang menentangnya.

Itu fakta. Hasil tinjauan online oleh pihak yang menjadi sekutu kerajaan sendiri, bukannya oleh pihak media yang pro-PR. Walaupun ia segera dipadamkan dan tidak dilaporkan oleh media mereka, fakta itu tetap fakta, dan ia tak mungkin dipadamkan daripada minda rakyat.

Perhimpunan boleh dibatalkan, tetapi fakta-fakta yang semakin hari semakin menyemarakkan kemarahan rakyat itu tak mungkin dibatalkan. Seperti kata puisi Samad Said: “ Kini menyalalah unggun sakti itu / kini merebaklah nyala unggun itu.”

Maka menutup pintu rundingan tentulah bukan suatu langkah ke arah penyelesaian. Ia hanya menampakkan sikap angkuh yang hanya sesuai dengan gaya pemerintahan zaman feudal dan zaman kuku besi. Sekarang kita berada di zaman yang sudah jauh meninggalkan zaman yang bertamadun sederhana itu.

Maka di sinilah apabila Yang Dipertuan Agung menunjukkan minatnya untuk mencari penyelesaian dan mengelakkan persengketaan berpanjangan, kita berharap baginda akan sudi menghulurkan hikmah dan kebijaksanaannya, demi untuk kesejahteraan seluruh rakyat negara ini.

Sesungguhnya fakta yang sempat dizahirkan di skrin The Star Online itu, walaupun hanya sekejap, tetapi itulah isyarat dan petunjuk yang cukup jelas. Maka janganlah kita membodohkan diri dengan bertindak memadamnya dan menganggap segalanya sudah selesai, padahal ia sesuatu yang hidup dan akan terus marak.

Tepatlah apabila baginda berseru agar rakyat jangan bermusuhan. Sememangnya tuntutan lapan perkara itu sama sekali tidak membawa maksud permusuhan. Ia hanya menuntut, seperti titah baginda:

“Beta juga menyeru kepada pihak kerajaan agar melaksanakan segala amanah yang diberikan kepada rakyat secara adil dan bijaksana, dan yang pentingnya Beta selaku Yang di-Pertuan Agong tidak mahu melihat dalam negara bermasyarakat majmuk ini berada dalam keadaan bermusuhan sesama sendiri….”

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 019-9592408) - detikdaily

No comments:

Post a Comment