Tuesday, June 7, 2011

UMNO perlu imej baru .. ISLAM Sederhana???

SHAH ALAM – UMNO disarankan ubah imej luaran parti supaya rakyat, khususnya dalam kalangan bukan Islam, memberi keyakinan penuh kepada kepimpinan parti untuk terus menerajui negara. 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata, walaupun pada dasarnya, UMNO tidak lari dari konsep memperjuangkan Islam, ia sedikit sebanyak memberi impak kepada keperibadian parti. 


“Kita tahu memang UMNO sejak dulu lagi memperjuangkan agama, bangsa dan negara sebagai tonggak utama, namun kita lihat imej itu boleh ditukar supaya bersesuaian dengan apa yang diperjuangkan. 

“Kita sedia maklum, Islam dibawa UMNO adalah Islam sederhana dan tidak menakutkan golongan bukan Islam, Islam dibawa UMNO adalah Islam yang boleh diterima umum,” katanya ketika diminta mengulas mengenai imej dibawa Pas dalam menarik golongan bukan Islam menjadi ahli parti. 


Mashitah berkata, beliau tidak berhasrat mencadangkan perkara itu kepada pihak atasan, cuma melihat terdapat ruang perlu diperbaiki, terutama mengenai imej dibawa ahli. 



“Dalam hal ini, semua individu beragama Islam faham, setiap perkara ada hukumnya. Cuma mungkin imej beberapa individu dalam UMNO dilihat masyarakat sebagai sesuatu yang boleh menjejaskan parti. 

“Saya doakan mereka dibuka hati dan dapat lakukan perubahan positif untuk diri sendiri, parti, rakyat dan negara,” katanya. 


Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahya berkata, UMNO perlu mencontohi imej Islam yang dibawa Pas dan menjadikan Islam sebagai asas utama perjuangan parti. 


“Dalam hal ini, Pas cenderung memperjuangkan dasar Islam. Bagaimanapun, parti itu belum menolak sepenuhnya kepentingan politik parti dalam perjuangan mereka, manakala imej Islam yang dibawa UMNO masih samar-samar. 

“Tidak semestinya membudayakan Islam de-ngan berjubah dan berserban kerana Islam lebih syumul atau lebih kepada cara hidup. Namun, sekiranya imej Islam mampu menarik golongan bukan Islam, perkara ini perlu diteliti,” katanya. 

Beliau sarankan agar kedua-dua parti saling menghormati antara satu sama lain dengan menyokong setiap program keagamaan dianjurkan kedua pihak. 

“Sekiranya Pas anjurkan program agama, UMNO perlu memberikan sokongan dan sekiranya UMNO adakan program agama, Pas perlu tunjukkan kesepakatan dengan memberikan tindak balas positif. 

“Dalam hal agama, kedua-dua parti perlu menolak kepentingan politik,” katanya. 

Fathul Bari berkata, sekiranya menjadikan Islam perjuangan sampingan, bukan keutamaan, minat masyarakat untuk mendalami Islam dan mendekati parti tidak akan tumbuh. 

“Tiada inisiatif lain, selain kita sendiri bertanggungjawab mengangkat dan menonjolkan Islam kerana Islam bukan sekadar pada nama, tetapi pada penampilan individu,” katanya. - SH



No comments:

Post a Comment