Wednesday, June 1, 2011

Selangor perkenal ‘Skim Pemilikan Kediaman Persendirian’


SHAH ALAM: Kerajaan negeri hari ini memperkenalkan ‘Skim Pemilikan Kediaman Persendirian’ yang bertujuan untuk memudahkan rakyat Selangor memiliki kediaman dengan bayaran premium yang fleksibel di bawah program ‘Merakyatkan Ekonomi Selangor’.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, skim ini adalah hasil kajian bersama pejabat tanah dan galian, pejabat daerah, dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang dijangka dapat melengkapkan Skim Pemberian Geran yang bermula sejak tahun lepas.


“Kajian telah dibuat setelah kerajaan negeri mendapati bahawa tidak ramai rakyat Selangor dapat menikmati sepenuhnya skim pemberian geran kerana tidak mampu membayar premium,” katanya dalam satu kenyataan media.

Melalui skim ini katanya, rakyat yang tidak mampu menjelaskan keseluruhan premium tanah boleh menjadi pemilik hartanah yang sah dengan hanya membuat bayaran sejumlah RM1,000.

“Mereka yang memilih cara ini, hanya perlu menjelaskan keseluruhan premium (mengikut harga semasa) jika hartanah itu dipindahmilik atau dijual,” terang beliau.

Khalid berkata Skim ini juga memberi peluang kepada mereka yang membayar premium penuh dalam tempoh enam bulan dari tarikh tempoh notis dikeluarkan mendapat diskaun sebanyak 30% secara automatik.

Skim ini katanya lagi, boleh dipakai untuk permohonan pemberimilikan baru, pemberimilikan disebabkan oleh tamat tempoh pajakan, lanjutan tempoh pajakan dan pemutihan langgar syarat kegunaan tanah.

Bagaimanapun pindahmilik melalui mahkamah, turunmilik dan perwarisan adalah dibenarkan.

Menurutnya, Skim ini hanya ditawarkan kepada satu pegangan hak milik kediaman persendirian sahaja dan tidak boleh dipakai untuk hartanah komersil.



Reformasi dalam pemilikan hartanah

Khalid berkata, inisiatif ini adalah satu reformasi oleh pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam pemilikan hartanah.


“Ini adalah kali pertama sebuah kerajaan negeri di Malaysia memperkenalkan skim mudah bayar demi menggalakkan pemilikan harta persendirian,” jelasnya.

Menurutnya, kerajaan negeri berharap ianya dapat menolong mengurang beban rakyat yang berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, terutamanya dengan kenaikan harga minyak dan elektrik.

“Skim ini juga akan menggalakkan rakyat menjelaskan bayaran premium khususnya bagi mereka mengekalkan pemilikan apabila mereka memperbaharui pemilikan atau menyambung pajakan tanah mereka,” tambahnya.

Katanya, ini akan meningkat bilangan pemilikan hartanah di Selangor sekaligus menambah pendapatan negeri melalui hasil cukai tanah yang perlu dijelaskan setiap tahun.

“Skim ini akan dilancarkan sepenuhnya pada tarikh yang akan diumumkan kelak,” katanya.

Menurut beliau, Skim ini merupakan satu usaha yang dibuat untuk memudahkan rakyat dalam urusan hartanah bersama kerajaan negeri serta menjadikan pejabat tanah dan galian negeri Selangor lebih “mesra rakyat”.

“Sebelum ini, kita telah memperkenalkan skim pemberian geran dengan memperbaiki sistem pemilikan tanah di mana pejabat daerah akan mengenalpasti rakyat yang tinggal di tanah TOL (temporary occupancy license) lebih dari 10 tahun untuk diberi hakmilik kekal dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan.

“Kerajaan negeri juga telah memperkenalkan pusat maklumat tanah bersepadu yang membolehkan pemilik tanah memeriksa dan mengemaskini status, lokasi dan hal-hal lain yang berkaitan dengan urusan tanah. - FMT


No comments:

Post a Comment