Friday, June 3, 2011

RoS Tarik Hasrat Batal Pendaftaran PKR



KUALA LUMPUR, 3 Jun — Pendaftar Pertubuhan (Ros) memutuskan tidak akan membatalkan pendaftaran Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas berpuas hati dengan penjelasan dikemukakan pertengahan bulan lalu berhubung aduan seorang ahli dipecat dua tahun lalu.

Sehubungan keputusan RoS itu, PKR juga memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan mahkamah ke atas agensi tersebut, yang difailkan kelmarin.

“PKR menyambut baik keputusan Pendaftar Pertubuhan yang berpuas hati penjelasan yang dikemukakan dalam surat tunjuk sebab berkaitan dengan ancaman pembatalan pendaftaran PKR yang diterima oleh parti minggu lalu.

“PKR turut dimaklumkan bahawa pihak RoS juga tidak akan meneruskan tindakan membatalkan pendaftaran PKR,” kata Setiausaha Agung Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan petang ini.

Justeru kata Saifuddin, “pihak parti dengan ini memutuskan untuk membatalkan hasrat menyaman RoS memandangkan perkara ini telah dapat diselesaikan dengan baik.”

Mengikut laporan media kelmarin, Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Jun ini untuk mendengar permohonan awal PKR bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mencabar keputusan RoS membatalkan pendaftaran parti itu.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Saifuddin memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dan menamakan RoS sebagai responden.

Jika mereka berjaya mendapatkan kebenaran itu, mahkamah akan mendengar hujahan substantif PKR berhubung kes berkenaan.

PKR juga diberi tempoh sehingga 9 Jun untuk mengemukakan surat tunjuk sebab kepada RoS mengapa parti itu tidak boleh dibubarkan.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lalu yang dikeluarkan RoS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966 untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR antara lain memohon satu perintah larangan terhadap RoS bagi menghalangnya daripada meneruskan apa jua tindakan melalui notis untuk membatalkan pendaftaran parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai didengar.

PKR mendakwa notis yang dikeluarkan RoS itu adalah tidak sah dan dibuat di luar bidang kuasa memandangkan fakta-fakta dan asas undang-undang yang didakwa dalam notis itu tidak pernah wujud.

PKR mendakwa alasan bahawa parti tersebut melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan Parti kerana memecat A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh lembaga displin parti terlebih dahulu tidak berlaku dalam parti itu kerana fasal tersebut tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

Parti itu berkata tidak ada anggota yang bernama A. Rajagopal yang telah dipecat oleh Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 2009.

Ia mendakwa keputusan RoS itu adalah sangat tidak adil, dibuat berdasarkan niat jahat dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang. - MI

No comments:

Post a Comment