Kredit foto: Malaysiakini
Semasa PAS bersama Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) mengenengahkan slogan Negara Berkebajikan pada tahun 2008, tiada siapa mengendahkannya.
PAS dan Barisan Alternatif menang besar.
Negara Berkebajikan atau The Caring State itu menjadi jambatan yang menghubungkan seluruh kelompok pengundi kepada nilai-nilai Islam yang menjadi teras perjuangan PAS. Bagaimana Islam mengagihkan manfaat dan tanggungjawab kepada rakyat secara adil, memerangi korupsi dan ketirisan bajet, menegakkan cara hidup yang memberikan kebaikan kepada semua pihak yang mencintai kebaikan dan keadilan.
Islam sebagai Rahmat kepada seluruh alam.Namun ada keresahan ketika itu.
Biar pun PAS bersama Barisan Alternatif mencapai kemenangan luar biasa, idea Negara Berkebajikan kurang dikembangkan. Malah di dalam lingkungan PAS sendiri, timbul pelbagai tanda tanya. Adakah perubahan yang berlaku itu merupakan perubahan form atau substance. Usul atau furu’?
Ia mengingatkan saya kepada artikel saya berkenaan kegusaran ini. Di bawah tajuk MENCARI BAHASA BARU bertarikh 25 Februari 2008, saya mencatat:
Perubahan itu perubahan yang besar.
Daripada debat tentang konsep-konsep Islam dan Negara Islam, PAS melakukan suatu pendekatan yang amat drastik dengan beralih kepada menjelaskan bagaimana Islam dan kenegaraan yang diperjuangkan oleh PAS, boleh memperbaiki masyarakat.
Lantas tawaran PAS lebih sejagat kepada masyarakat Malaysia yang berkepelbagaian latar belakang dan kefahaman.
Daripada pendekatan mengheret pengundi kepada menekuni PROSES, kini PAS lebih mempromosikan OUTPUT dan menyerahkan urusan PROSES kepada jentera kerajaan (jika menang) untuk mengendali dan merealisasikannya.
Ia suatu perubahan yang besar, dan saya melonjakkan syukur kerana bertambah satu lagi contoh bagaimana pemikiran dinamik yang mengalu-alukan idea segar, tepat dan jelas… menjadi kunci kepada survival parti, ummah dan tamadun manusia keseluruhannya.Challenge and response… itu kata kuncinya.
MEMBUKA HARAPAN
Saya masih ingat kepada perbualan saya dan rakan bersama beberapa teman dari Centre for Public Policy Studies and akhbar kewangan The Edge, bahawa “harapan masih ada untuk PAS” kerana nyata sekali bahawa PAS bukanlah sebuah Parti ala-Taliban seperti yang sering dimomokkan oleh akhbar seperti The Star dan yang seumpama dengannya.
Kesediaan PAS untuk meneroka bahasa sejagat dalam memperjuangkan prinsip-prinsip Islam, membuka lebih banyak ruang kepada memberi kefahaman kepada masyarakat, mendidik mereka dan seterusnya menjemput kerjasama yang lebih luas ke arah cita-cita menegakkan Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafoo.
PENGHAYATAN ATAS BAWAH
Namun sejauh manakah perubahan ini dihayati oleh pendukung PAS dari atas ke bawah?
PAS telah pun mengadakan taklimat berkenaan dengan manifesto Pilihanraya ke-12, di Taman Melewar pada 6 Februari 2007 untuk jentera pilihanraya. Penjelasan mengenai perjuangan ke arah sebuah “Negara Beramanah, Bersih, Adil dan Berkebajikan”, disampaikan dengan terpeinci, malah mendahului parti-parti komponen Barisan Alternatif yang lain.
Akan tetapi, sebaik sahaja taklimat ini berjalan, pergerakan promosi manifesto ini ada kalanya kelihatan tidak selaras dengan hasrat dan cita-cita yang telah disuarakan.
Di alam siber, artikel-artikel LAMA, tentang jenayah pemimpin Barisan Nasional memperlekehkan hukum hudud pada tahun 1990an telah disebarkan semula. Hal-hal yang bersangkutan dengan kebobrokan pihak yang alergik dengan perundangan Islam, kembali beredar dari satu inbox ke satu inbox yang lain… dan soalnya ialah, sejajarkan hal ini dengan pendekatan dan manifesto PAS untuk pilihanraya ke-12 akan datang?
Masuk ke hari penamaan calon, masih kedengaran laungan-laungan yang tidak mencerminkan perubahan yang telah berlaku kepada PAS.
“Hancur kuffar!”
“Hancur sekularisma!”
Slogan-slogan seumpama itu dikeluarkan kembali dari gerobok simpanan dan dimuntahkan tanpa memikirkan sejauh mana kesan slogan sedemikian rupa kepada hasrat PAS untuk menjana suatu perubahan?
Malah ada di antara calon, masih menggunakan bahasa Pilihanraya 1999 dan 2004 dalam taklimatnya selepas penamaan calon, bercakap tentang kepentingan hukum hudud dan subjek-subjek yang tidak selaras dengan manifesto PAS 2008.
MANIFESTO SEJAGAT, SLOGAN SEJAGAT
Jika perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang benar-benar mahu dilihat kejayaannya, maka PAS harus bergerak selari di antara hasrat kepimpinan dan jentera penggerak. Bahasa-bahasa baru yang lebih menepati cita-cita PAS di tahun 2008 mesti dipopularkan agar laungan yang dijana, mencetuskan momentum yang betul, dan bukannya menggatalkan kepala rakan-rakan di Barisan Alternatif serta para pengundi yang tekun memerhati.
“Hancur kezaliman”
“Hancur penipuan”
“Hancur korupsi”
“Hancur perhambaan”
“Hancur …. (fill in the blanks)”
Banyak lagi slogan yang boleh terbit dari manifesto PAS 2008, asalkan homework dibuat dan bukan hanya membuka gerobok untuk Siaran Ulangan.
Pepatah Arab menyebut:
“Bercakap biar bertempat”
Kebijaksanaan pendukung PAS memilih perkataan yang betul akan menjadi bukti terbaik kepada masyarakat bahawa perubahan yang berlaku itu adalah perubahan yang berisi. Bukan sekadar menukar baju mengikut musim.
HILANG FOKUS
Selepas kemenangan cemerlang Barisan Alternatif pada Pilihanraya Umum ke-12, Mac 2008, PAS mengalami perubahan hala tuju, sedikit sebanyak berpunca daripada konsep Negara Berkebajikan yang tidak dipegang sebagai keutamaan dalam anjakan paradigma gerakan.
Atas sebab yang pelbagai, PAS terheret kepada isu Kerajaan Perpaduan dan kerjasama dengan UMNO demi survival kaum Melayu di Malaysia. Biar pun banyak masa diperuntukkan untuk sampai kepada konklusi akhir menolak idea ini, ia menjadi positif jika disuluh daripada sudut mendidik aktivis PAS dan rakyat tentang tindak tanduk pragmatis Barisan Nasional, khususnya UMNO.
Kemerosotan pemikiran juga membelenggu akar umbi hingga cuaca dalaman PAS seperti berpatah balik ke era 2004 dan ia meresahkan seluruh rakyat yang meletakkan harapan untuk PAS berperanan dengan lebih baik, sama ada di dalam jentera Pakatan Rakyat, atau sebagai kuasa penyingkir kepada penguasaan UMNO dan Barisan Nasional.
Syukur Alhamdulillah, Muktamar PAS 2011 memadam keresahan ini.
Mengekalkan kedudukan sebagai Presiden PAS penggal seterusnya, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kini dikelilingi oleh ‘amilin yang diyakini berkompetensi untuk menggerakkan PAS bersama Pakatan Rakyat menuju Pilihanraya Umum ke-13 dengan kemas. Ia menjadikan Ucapan Dasar Presiden PAS berisi, berpijak pada realiti dan berpeluang untuk direalisasi.
UMNO MERACAU
Tidak seperti 2008, kali ini gagasan Negara Berkebajikan menjadikan UMNO meracau.
Pemimpin-pemimpin UMNO rancak mengulas.
Datuk Mukhriz Mahathir mengatakan bahawa DAP dan PKR berjaya mempengaruhi PAS untuk meninggalkan dasar perjuangan Negara Islamnya. Datuk Seri Mohd Ali Rustam juga tidak mahu ketinggalan. Beliau sangat nampak yang PAS nampak sangat telah meninggalkan Hudud dan Negara Islam. Datuk Seri Mohamad Hasan juga menyuarakan pandangan yang sama tatkala melihat PAS meninggalkan agenda Kepimpinan Ulama. Khairy Jamaluddin juga meragui komitmen PAS kepada dasar perjuangannya kerana beralih arah.
Tun Mahathir yang pernah didoakan oleh al-Marhum Datuk Fadzil Noor agar panjang umur untuk melihat kesan kezaliman pemerintahannya turut tidak dapat menahan diri. Beliau mengomel di blognya, mengatakan bahawa PAS telah mempermainkan Islam kerana menggugurkan perjuangan Negara Islam.
Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga tidak betah menjadi pemerhati. Turut mengeluarkan kenyataan, beliau mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam daripada nama Parti kerana mendakwa PAS sanggup membiarkan dirinya dibuli oleh DAP dan ini mengelirukan ramai pihak menurut beliau.
Malah, Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak hairan mengapa baru sekarang PAS terfikir tentang konsep Negara Berkebajikan yang telah lama diperjuangkan oleh UMNO sebagaimana beliau dakwa.
Tidak cukup dengan kenyataan pemimpin-pemimpin UMNO, blogger UMNO turut memakmurkan racau ini dengan pelbagai ulasan mereka.
Paling kecewa dengan perubahan yang berlaku pasca Muktamar PAS 2011 ini adalah kitab rujukan harian, Utusan Malaysia!
BUAT-BUAT TIDAK FAHAM
Sama ada mereka buat-buat tidak faham atau memang tidak faham, Islam sebagai ideologi politik (Islamism?)
semenjak di era Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, Rashid Ridha, Sultan Abdul Hamid II, Hasan al-Banna, al-Mawdudi, Sayyid Qutb membawa ke era Necmettin Erbakan, Recep Tayyib Erdogan dan Luthfi Hasan Ishaaq, idea Islam sebagai kuasa politik berkembang dari semasa ke semasa dalam bentuk perbincangan, penafsiran dan penterjemahannya kepada agenda kerja.
Penamaannya sebagai Negara Islam atau apa-apa istilah, berubah dari satu zaman ke satu zaman.
Ia membuktikan dinamika gagasan Islam dalam menyesuaikan prinsip-prinsipnya dengan realiti semasa. Challenge and response sebagai enjin survival, paling cantik diperlihatkan oleh kemaskini gerakan Islam merentas zaman. Gerakan Islam sentiasa menyemak dan mengemaskini idea yang didukung tanpa berganjak daripada prinsip-prinsip yang menjadi asas kewujudannya.
Hanya yang ‘tidak baca buku’ sahaja meracau-racau gagal memahami perubahan ini.
SESUNGGUHNYA
Kata Dale Carnegei:
“Unjust criticism is often a disguised compliment. It often means that you have aroused jealousy and envy. Remember that no one ever kicks a dead dog”
“Kritikan yang tidak adil sebenarnya adalah pujian yang tersirat. Ia selalunya bermaksud anda yang dikritik itu telah menimbulkan rasa cemburu dan dengki. Ingatlah, tiada sesiapa yang menyepak anjing yang telah mati”
Terima kasih kepada UMNO yang meracau.
Ia mendesak PAS untuk segera memperincikan konsep-konsep Negara Berkebajikan, menuju Pilihanraya Umum ke-13 akan datang.
Sesuatu yang sepatutnya sudah lama PAS lakukan.
Semenjak 2008.
Don’t Grow Old – Grow Up!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
No comments:
Post a Comment