KUCHING: Tindakan pembangkang yang sengaja mempolitikkan isu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)terhadap ketua menteri berhubung dakwaan rasuah balak sangat dikesali,ibarat ‘menangguk di air keruh’.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mereka (pembangkang) seperti sudah menjatuhkan hukuman kepada mereka yang belum dibuktikan sebagai bersalah kerana siasatan SPRM sedang dilakukan mengikut prosedur tertentu.
Beliau berkata sebagai mengulas kenyataan SPRM mengesahkan sedang menyiasat Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berhubung selepas merasmikan majlis pecah tanah pembesaran Surau Imaduddin Haji Suaidi Haji Arshid dan Pelancaran Wakaf di Kampung Bako Indah.
Junaidi juga menasihati semua agar tidak membuat sebarang spekulasi kerana dikhuatiri mengganggu siasatan SPRM yang kini dalam proses mengumpul maklumat berhubung perkara berkenaan.
“Lagipun pembangkang perlu sedar bahawa pemimpin mereka bukan hanya telah disiasat tetapi didakwa di mahkamah sebelum ini,” katanya sambil enggan mengulas lanjut.
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Surau Imadduddin Haji Suaidi Haji Arshid yang juga anak kepada pengasas yayasan berkenaan iaitu Dato’ Prof. Dr. Haji Mohd Kadim Haji Suaidi dan timbalannya, Dato’ Haji Othman Haji Suaidi.
Terdahulu, Ahli Parlimen Santubong itu turut memberi jaminan akan membawa hasrat penduduk kampung berkenaan memohon petukaran status surau kepada masjid bagi membolehkan penduduk menunaikan sembahyang fardu Jumaat di rumah ibadat tersebut.
“Perkara ini akan saya panjangkan kepada agensi yang bertanggungjawab kerana penduduk kampung ini terpaksa menumpang sembahyang Jumaat di kampung-kampung berhampiran atau menyeberang sungai untuk ke masjid Kampung Bako,” tambahnya.
Sementara itu, anak-anak kepada allahyarham Haji Suaidi Haji Arshid menyumbang RM200,000 sebagai permulaan tabung wakaf pembinaan pembesaran Surau Imadduddin Haji Suaidi Haji Arshid. - FMT
No comments:
Post a Comment