Sunday, June 5, 2011

PAS menjadi kuda tunggangan PKR, DAP ?


PETALING JAYA: Editor kanan Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar di dalam analisanya di dalam Mingguan Malaysia hari ini merasakan bahawa PAS kehilangan kepimpinan ulama dan cita-cita untuk membentuk negara Islam berikutan keputusan pemilihan muktamar PAS semalam.

Mohamed Sabu meraih 420 undi mengalahkan penyandang Nasharuddin Md Isa dan Tuan Ibrahim Tuan Man untuk jawatan timbalan presiden PAS.

Tiga kerusi naib presiden semalam dimenangi kumpulan progresif manakala majoriti kerusi ahli jawatankuasa pusat turut dimenangi kumpulan profesional.

Zulkiflee berhujah bahawa kepimpinan bukan ulama akan meningkat kerana keadaan Majlis Syura seolah-olah ‘hidup segan, mati tidak mahu.’

“Jika Majlis Syura benar-benar berfungsi sudah pastilah tidak wujud perebutan jawatan dalam parti tersebut.

“Bagaimana pula dengan keputusan majlis berkenaan yang merestui perbincangan kerajaan perpaduan diadakan tetapi akhirnya ditentang oleh sesetengah pemimpin PAS sendiri?” jelas Zulkiflee dalam artikel bertajuk Bahana keghairan PAS.

Hadi lemah; Nik Aziz pecah undi ulama
Ucapan presiden PAS, Datuk Sri Abdul Hadi Awang juga tidak terlepas dari kritikan. Beliau digambarkan sebagai pemimpin lemah.

“Sebenarnya, arus perubahan yang berlaku di dalam PAS juga didorong oleh ucapan dasar Abdul Hadi yang begitu bersemangat menghentam Umno dan Barisan Nasional (BN) serta begitu teruja menguasai Putrajaya bersama-sama pakatan pembangkang yang turut disertai oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Akibat keghairahan tersebut Abdul Hadi terlepas pandang bahawa ucapannya boleh menimbulkan semangat kepada kelompok pro profesional untuk menguasai parti itu.

“Tindakan Abdul Hadi yang bercakap soal membangunkan negara berkebajikan dilihat meletakkan pemimpin daripada golongan ulama tidak diperlukan lagi kerana PAS tidak lagi memperjuangkan negara Islam,” tulis Zulkiflee.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Nik Mat turut dipersalahkan kerana memecahkan undi ulama kerana tidak menasihatkan anak saudaranya, Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menarik dari pertandingan tiga penjuru jawatan timbalan presiden.

“Nik Abdul Aziz tidak mahu berbuat demikian kerana yakin perwakilan akan memahami isyarat yang beliau berikan, kesudahannya golongan ulama berputih mata berikutan kekalahan Nasharuddin dan Tuan Ibrahim,” tulis Zulkiflee berkenaan sokongan dalam diam Nik Aziz kepada Sabu.

Zulkiflee juga membayangkan bahawa PAS akan terus menjadi kuda tunggangan PKR dan DAP berdasarkan kepimpinan baru PAS.

Tambahnya: “Abdul Hadi sendiri dalam ucapan dasarnya begitu mempertahankan kerjasama dengan kedua-dua parti berkenaan dan menganggap seolah-olah Malaysia akan menjadi negara terbaik di muka bumi Allah.”

Awang Selamat: Ini kejayaan Anwar
Sementara itu, Awang Selamat di dalam ruangannya pula menyatakan pihak yang mencapai kejayaan sebenar ialah kumpulan penyokong ketua pembangkang, Datuk Sri Anwar Ibrahim yang mendokong aspirasi DAP.

“Desas-desus mengenai gerakan menjayakan pengaruh Anwar sudah kedengaran sejak tahun lalu. Dengan kata lain, perancangan mengenainya telah lama dibuat melibatkan PKR dan DAP untuk mempengaruhi keputusan pemilihan PAS.

“Maka orang yang paling puas dan gembira ialah Anwar dan pemimpin utama DAP, Lim Kit Siang. Kedua-duanya boleh senyum lebar dalam tidur kerana percaturan mereka menjadi kenyataan,” Awang menulis. - FMT

No comments:

Post a Comment