Sunday, June 19, 2011

Mat Sabu, NGO Pakatan digugur sertai Misi Palestin



KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu mendakwa pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak mengambil alih misi kemanusiaan rakyat Palestin dalam majlis yang dilancarkan malam tadi.



Ini berikutan beliau dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Pakatan Rakyat digugurkan dari menyertai majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia itu.


Mat Sabu yang dijadualkan menyampaikan pidato dalam majlis pelancaran itu malam tadi di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras telah digugurkan daripada berbuat demikian.


Beliau hanya diberitahu oleh pihak penganjur bahawa ucapannya dibatalkan awal pagi semalam dan membuat keputusan untuk tidak hadir dalam majlis tersebut.
Mat Sabu dijadual menghadiri program itu bagi menggantikan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Isu Palestin isu bersama

“Sebenarnya, saya rasa amat gembira kerana dapat bersama Perdana Menteri dan NGO lain sebab isu Palestin adalah isu bersama dan kita perlu membela rakyat Palestin yang tertindas.


“Saya juga diberitahu akan berucap selama 10 minit bersama wakil NGO lain sebelum Perdana Menteri menyampaikan ucapan.


PAS memutuskan bahawa isu Palestin adalah isu bersama namun pada pagi kelmarin saya diberitahu ucapan saya dan NGO lain dibatalkan…..hanya Perdana Menteri yang akan berucap,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.


Acara pidato yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada pelancaran program itu yang turut menampilkan Mohamad dibatalkan, dipercayai mendapat tekanan Pejabat Perdana Menteri.


Selain Mohamad, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga dijemput untuk menyampaikan pidato yang menyentuh isu Palestin.


Menurut Mat Sabu, beliau terkilan apabila mengetahui Umno bersama NGO, Aman Malaysia mengambil alih keseluruhan program itu.


Keadilan untuk rakyat Palestin 

Beliau yang mesra dipanggil ‘Mat Sabu’ menyifatkan program sepatutnya menjadi platform menuntut keadilan bagi rakyat Palestin dan bukan bermotifkan politik.



“Kita tiada masalah sama ada berucap atau tidak tapi ada perkara yang tidak diingini apabila saya difahamkan program yang dianjurkan malam tadi seolah-olah diambil alih Umno dan Aman Malaysia.


“Kita mendapati seolah-olah Umno dan Aman Malaysia mahu memonopoli dan mengetepikan parti politik dan NGO pro pembangkang,” katanya.


Aman Malaysia adalah NGO di bawah Umno yang diwujudkan menghantar bantuan makanan dan barang keperluan ke negara-negara yang berdepan dengan bencana alam.


“Saya juga difahamkan beberapa NGO telah menarik diri daripada menyertai misi ini, Umno dan Aman Malaysia nak memonopoli dan ia sepatutnya tidak berlaku atas dasar bersama,” katanya.


“Program itu menjadi gerak Umno untuk membela rakyat Gaza dan Palestin, saya juga telah dihubungi Khalid Samad yang juga salah
seorang peserta dan kini sedang membuat pertimbangan sama ada mahu
tarik diri atau tidak,” katanya.



Selain Khalid, Khairy dan 10 rakyat Malaysia lain termasuk dua wakil media akan menyertai misi itu.FMT



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Pihak penganjur Majlis Pelancaran Pasukan Lifeline4Gaza (LL4G) Malaysia yang dijadual dilancarkan jam 9 malam tadi oleh Perdana Menteri, membatalkan slot pidato yang sepatutnya menampilkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.


Selain Mohamad yang dijemput mewakili Pakatan Rakyat, pidato menyentuh isu Palestin yang diadakan di Stadium Badminton Cheras itu juga sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin sebagai mewakili BN.
(Poster asal: Atas, kanan)
Tindakan itu difahamkan dibuat ekoran mereka mendapat tekanan dari Pejabat Perdana Menteri.


"Pihak JPM maklumkan kepada kita, Datuk Seri Najib tak nak Mohamad Sabu menyampaikan pidato.

"Kalau penganjur nak teruskan juga dengan Mohamad Sabu, PM pula tak mahu datang rasmi,"
kata salah seorang petugas ketika ditemui.



Malah, nama Mohamad dan Khairy di backdrop yang diletakkan di pentas juga turut ditutup.


(Gambar: Nama Mohamad Sabu ditutup pada backdrop di pentas utama.)
Khairy bagaimanapun dilihat hadir pada program malam tadi.


Sehingga kini belum ada sebarang pengumuman dibuat penganjur kepada hadirin yang hadir berhubung pembatalan itu.


Bagaimanapun, tindakan penganjur menutup nama Mohamad dan Khairy pada backdrop di pentas, menimbulkan tanda tanya di kalangan mereka.


Ramai dikalangan mereka yang datang malam ini dipercayai mahu melihat Mohamad yang sebelum ini banyak menghentam Umno, duduk sepentas dengan Najib.


Bagaimanapun, sebahagiaannya dilihat mula pulang awal apabila mendapat tahu berhubung pembatalan itu.


Rasa dipermainkan


Mohamad ketika dihubungi Harakahdaily turut mengesahkan pembatalan itu.


Menurutnya, beliau hanya dimaklumkan berhubung perkara itu pagi kelmarin.


"Semalam penganjur kata saya dijemput berucap tentang isu Palestin selama 10 minit.

"Tiba-tiba hari ini kata tak boleh pula, sedangkan dalam media semua dah sebut saya akan berpidato.



"Saya rasa dipermainkan," katanya kecewa dan memaklumkan tidak akan hadir program malam ini.


Bagaimanapun, penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat pada sidang media khas jam 10 pagi ini di restoran Haslam, Jalan Pahang.


Berita Berkaitan : 
1. Mohamad Sabu hadir pelancaran LL4G malam ini
2. Khairy, MP Khalid Samad antara sertai misi ke Gaza

No comments:

Post a Comment