Sunday, June 12, 2011

Krisis kewangan catat rekod

SHAH ALAM – Krisis kewangan melanda dunia sekarang sudah mencatatkan rekod baru apabila disifatkan sebagai krisis mata wang paling lama melanda dunia kerana sudah masuk tahun keempat. 


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, walaupun nilai Ringgit sekarang meningkat berbanding Dollar Amerika Syarikat, kita seharusnya tidak bersikap selesa kerana ekonomi Amerika Syarikat dan negara Eropah masih tidak stabil. 

Menurutnya, krisis kewangan kali ini lebih teruk berlaku di negara maju kerana negara membangun tidak terlalu gelojoh mahu kaya dengan ‘bermain’ pasaran mata wang. 

“Untuk kekal kaya, Amerika Syarikat dan Eropah telah mencipta pasaran mata wang untuk mendapat lebih wang. Mereka memanggilnya produk walaupun ianya tidak boleh dimakan atau digunakan. 

“Pada masa lalu, bank mengeluarkan wang kertas untuk mendapatkan barangan dan servis, kemudian wang kertas ini digantikan dengan cek. Semuanya boleh dibayar dengan cek, wang kertas tidak diperlukan lagi,” katanya dipetik daripada blog http://chedet.co.cc semalam. 

Pada mulanya, katanya, pasaran mata wang bergerak dengan baik, tetapi selepas kerajaan Amerika Syarikat membuat keputusan membiarkan pasaran menentukan nilainya, pihak bank mula memberi pinjaman wang jauh melebihi jumlah sepatutnya. 

“Memang saiz transaksi dalam pasaran mata wang terlalu besar. Dagangan wang ini dikatakan berjumlah ASD 4 trilion sehari iaitu sama dengan jumlah produktiviti Jerman dalam setahun tetapi ianya tidak mewujudkan sebarang pekerjaan baru atau perkhidmatan. 

“Kemudian pasaran ini runtuh, seumpama gelembung yang meletup tetapi tiada apa keluar dari letupan gelembung ini,” katanya. 

Selain itu, Dr Mahathir turut menegur pemain dalam pasaran mata wang kerana tidak mengambil tahu mengenai perniagaan lain kerana hanya tahu untuk mendapatkan wang. 

“Jadi mereka terus mencetak wang untuk menjadi kaya, tetapi nilai wang dicetak sebenarnya tidak lebih daripada nilai tisu tandas,” katanya. - SH


No comments:

Post a Comment