Monday, June 13, 2011

‘Keluar kelambu jatuh talak’

Gambar Hiasan
PENDANG - Gara-gara terdengar ‘kalau keluar kelambu, jatuh talak’, seorang isteri memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah Pendang untuk mengetahui kedudukannya sama ada jatuh talak atau tidak setelah melanggar arahan itu untuk pergi ke tandas. 

Masra Abdul Khalid berkata, dia terdengar kata-kata itu daripada mulut suaminya, Mahammad Khir Md Zain tetapi terpaksa meneruskan hajatnya kerana perlu ke tandas. 

“Saya ingin mendapatkan kepastian mengenai perkataan yang diucapkan suami pada malam itu. 

“Pada malam itu, kami gaduh dan dia cakap kalau keluar kelambu, jatuh talak. Saya keluar dari kelambu kerana mahu ke tandas,” katanya ketika memberi keterangan di mahkamah, semalan. 

Masra mengemukakan permohonan untuk pengesahan lafaz cerai mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008. 

Masra berkata, dia yakin dan jelas mendengar perkataan yang diucapkan suaminya. 

Ditanya Hakim Rendah Syarie, Sheikh Shahmi Awang kenapa masih meneruskan hajatnya walaupun mendengar kata-kata itu, Masra menjelaskan perlu ke tandas tetapi tidak memaklumkan kepada suaminya. 

Pasangan itu bernikah pada 1996 dan bercerai dengan talak satu pada 2008 sebelum merujuk kembali.

Sebaik selesai keterangan itu, Sheikh Shahmi bertanya kepada Mahammad Khir sama ada bersetuju dengan maklumat dan keterangan isterinya itu. 

Bagaimanapun, dia tidak bersetuju dengan alasan tidak pernah menyebut perkataan talak dan tidak bermaksud untuk menceraikan isterinya. 

“Apabila balik ke rumah pada malam itu dan masuk ke bilik, saya lihat isteri bawa bantal nak tidur di luar.

“Saya tidak menyebut perkataan talak, tetapi hanya menyebut ‘kalau keluar kelambu putus’,” katanya. 

Dia turut menafikan keterangan isterinya itu sambil berkata ‘itu dia yang kata’. 

Sheikh Shahmi menegur sikap Mahammad Khir yang hanya mendiamkan diri sebelum itu. 

“Sepatutnya kamu bertanya atau membantah selepas isteri kamu memberi keterangan,” katanya. 

Sheikh Shahmi kemudian bertanya sama ada kata-katanya pada malam itu bermaksud menjatuhkan talak tetapi Muhammad Khir tidak dapat memberi kepastian. 

Berikutan itu, hakim menangguhkan kes berkenaan kepada 22 Jun ini. - SH


No comments:

Post a Comment