Friday, June 3, 2011

BLOGGER HINA RAJA DIKENAKAN TINDAKAN


KEMENTERIAN Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bersama pihak perundangan lain sentiasa mengambil tindakan terhadap pengendali tulisan dalam internet yang menghina raja, agama dan budaya.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata 14 kes telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara dengan lima kes sudah berhasil dengan pelbagai keputusan mahkamah, "namun ini tidak banyak dilaporkan media."

"Berita yang hina raja, Yang di-Pertuan Agong, agama dan budaya adalah tergolong kepada tindakan yang seharusnya kami ambil bersekali dengan polis dan juga pihak yang bertauliah menjalankan tugas di bawah akta atau undang-undang masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Bernama TV di Wisma Bernama di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Jaringan Melayu Malaysia semalam mengenai sikap berdiam diri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap pengendali The Malaysian Insider meskipun laporan telah dibuat terhadap portal berita itu kerana didakwa secara jelas dan sengaja mencetus provokasi perkauman, penghinaan terhadap Raja-raja Melayu dan fitnah terhadap pemimpin negara.

Rais berkata beliau telah meminta Peguam Negara memberi beberapa lunas untuk menentukan agar pihak-pihak ini dikenakan proses pendakwaan dengan mengambil kira kepentingan negara dan rakyat.

"Jadi secara kategori perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong atau menghina Raja-raja yang lain termasuk kerja menghasut berhubung dengan agama, sedang dalam proses penilaian Jabatan Peguam Negara," katanya.
Rais berkata ini kerana banyak kes seperti itu diketepikan sahaja di peringkat awal.

"Dan saya sendiri rasakan sudah sampai masanya bahawa lunas undang-undang hasutan, undang-undang mencerca dan memberi berita palsu dan undang-undang yang memberi kesan negatif dari segi undang-undang kerajaan kita, perlu diambil tindakan," katanya.

Rais berkata beliau telah memklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam mesyuarat kabinet pada Rabu.

"Tinggal lagi perkara-perkara berhubung mensia-siakan nama baik Yang di-Pertuan Agong itu kami ambil tindakan serius, hasilnya kami akan lapor pada ketika yang munasabah.

"Apa yang kami ambil tindakan sebagai lunas undang-undang tidak semestinya diumumkan peringkat demi peringkat," kata Rais.

Terdahulu ketibaan Rais yang diiringi Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf di Wisma Bernama, disambut Pengerusi Bernama Datuk Abdul Rahman Sulaiman, Pengurus Besar Bernama Datuk Hasnul Hassan, Ketua Pengarang Datuk Yong Soo Heong serta pegawai kanan lain.

Beliau turut diberi taklimat oleh Hasnul sebelum melawat operasi Bernama TV di tingkat tiga bangunan itu.(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment