Monday, June 6, 2011

BENARKAH ABDUL AZIZ RAKYAT MALAYSIA?


SEHINGGA ke hari ini, tiada siapa tahu sama ada Aziz Usman @ AzizOthman, 50, yang disyaki ‘Militan’ kerana disyaki menjadi Pengawal Kewangan Jemaah Islamiah/ Rangkaian Al-Qaeda; rakyat Malaysia atau Indonesia, sekalipun beliau memegang kad pengenalan Malaysia; sama seperti Komander Robot @ Galib Andang dan Ben Ahmad Taraji.

Menurut pihak berkuasa Filipina, mereka memberkas Aziz ketika majlis akad nikah beliau dengan gadis Suluk di sebuah Masjid, Kampung Barangay, Inawan, Santa Cruz, tidak jauh dari Davao del Sur.

Bagaimanapun Konsul Besar Malaysia di Davao, Mohammad Azhar Mazlan, berkata Abdul Aziz memiliki kad pengenalan Malaysia dan ditahan di Pusat Tahanan Imigresen di Manila, tetapi pihak kedutaan belum menerima laporan rasmi mengenai punca sebenar lelaki itu ditahan.

“Beliau ditahan pada 28 Mei lalu sebelum dihantar ke Manila keesokannya. Rakan Abdul Aziz, Omar Abu turut ditahan dan kami sedang menentukan kerakyatannya kerana ketika ditahan dia tiada dokumen pengenalan diri,” kata Mohammad Azhar.

Abdul Aziz yang dipercayai berketurunan Bugis dari Tawau, Sabah, merupakan pengikut Jemaah Tabligh yang memasuki Filipina secara haram atas jemputan Jemaah Tabligh Jolo sebelum dinikahkan dengan anak gadis salah seorang ahli jemaah, sebelum diberkas pihak berkuasa Filipina kerana disyaki terlibat dengan kegiatan keganasan dan pemerdagangan orang.

Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Perakaunan dan Kewangan daripada University Tenesse, Amerika Syarikat pada 1996 sering keluar masuk secara bebas ke Jolo, Filipina.

Selain Abdul Aziz, turut bersembunyi di Jolo; antaranya, Jurutera warganegara Malaysia, Zulkifli Hir Marwan (Pakar Bom yang melatih Kumpulan Abu Sayyaf membuat Bom); Mauwiyah (Warga Singapura); Saad and Qayyim (Warga Indonesia) dan Amin Baco (Warga Malaysia).

Dalam pada itu, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman, gagal dihubungi Sabahkini.net untuk mendapatkan ulasan beliau dan status kerakyatan Abdul Aziz.

No comments:

Post a Comment