Wednesday, June 29, 2011

Apa kata Blogger UMNO : UMNO perlu tahu - Lagi menekan lagi rakyat jauhinya

Nampaknya tekanan terhadap Bersih bertambah hebat. Usaha untuk menggagalkan perhimpunan itu dengan paksaan awal dan tindakan pre-emptive dengan tangkapan terhadap mereka yang memakai baju T Bersih. 

Pada hari ini kedengaran Ketua Polis Negara juga berkata bukan saja setakat baju T tetapi kasut dengan bus juga tidak boleh melambangkan perjuangan untuk menuntut demokrasi secara adil dan saksama.
Omar Din seorang guru silat tersohor negara juga memberikan amaran jika Bersih teruskan juga rally itu jangan salahkan beliau jika anak-anak silat beliau akan bertindak kasar terhadap rakyat yang memperjuangkan keadilan. 



Sebelum ini Perkasa telah menggertak akan mengadakan rally itu jika bersih tidak membatalkannya.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga dilihat sebagai tidak bermaya dan terpaksa menggunakan Ibrahim Ali dan Perkasa untuk bercakap bagi pihak UMNO. Sekarang Omar Din pula menjadi jurucakap UMNO. UMNO sendiri kehilangan hidayah dalam menghadapi rancangan perhimpunan yang akan dianjurkan oleh Bersih.

Banyak pihak yang tidak tahu untuk bercakap, telah dengan lancang bercakap dan tidak seorang yang mengeluarkan kata-kata yang boleh menyejukan keadaan tetapi keadaan itu diambil kesempatan oleh pihak tertentu untuk kehadapan mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.

Masing-masing bercakap dengan garang dan ‘heroic’ untuk menunjuk maco dengan harapan dianggap sebagai manusia yang mempunyai ‘consequence’ yang hebat. Bermacam-macam cara untuk menempelkan diri kepada ramai yang mereka sayangkan negara sambil menonjolkan diri masing-masing dan mengharapkan dapat perhatian pihak yang tinggi.

Dalam kumpulan pemimpin yang banyak kelemahan, mereka selalunya amat bergembira dengan keadaan kucar kacir kerana dalam keadaan aman pemimpin-pemimpin pengecut ini selalu tidak akan timbul dan mendapat perhatian ramai. 



Itulah sebabnya terdapat mereka yang sudah berusia seperti saya masih lagi menjadi aktivis untuk meletakan diri dan wajah mereka berada di dada-dada akhbar khususnya di dalam media perdana.

Cara ini memangnya satu cara yang lazim dilakukan semasa dahulu dan rakyat akan terpengaruh dengan cara ini. Tetapi sekarang rakyat yang sudah terbuka pandangannya dengan pengaruh dunia moden ini mereka dengan mudah memahami maksud dan tujuan mereka berkelakuan begini. 



Rakyat sudah pandai membaca dan membelek ‘air di dalam tunggak’; tahu yang mana satu yang jujur dan yang mana yang hanya berpolitiking dengan keadaan yang ada untuk menaiki tangga sosial melalui politik tadi.

Kita terlalu defensif seperti kita ini dari pihak pembangkang. Oleh kerana kita suka mengambil sifat seperti pembangkang saya merasakan yang rakyat akan meletakan mereka di tempat yang secucok dengan mereka, iaitu untuk duduk di kerusi pembangkang di dalam dewan-dewan lagisltaif negara.

Maka rakyat dari sekarang sudah mempunyai persepsi yang UMNO dan BN sudah selayaknya untuk menyesuaikan dengan sikap defensive mereka itu dengan duduk di pihak pembangkang. 



Cara dan sikap mereka pun akhir-akhir ini memang seperti parti yang hendak jadi pembangkang. Bagaimana rakyat hendak memberikan tempat sebagai pihak yang berkuasa jika sikap dan cara kita layaknya untuk menjadi pembangkang?

Jika UMNO masih berselera untuk menjadi pihak yang memerintah, maka pemimpin-pemimpin parti ini wajar kembali kepada sifat dan kualiti sebagai pemerintah dan bersifat ‘magnanimous’ yang tinggi….ada ‘class’ kata anak-anak muda sekarang.

Orang tua-tua dahulu selalu berkata, seorang berdarah raja jika dia menjadi tukang sapu sampah pun dia tetap raja. 



Tetapi kalau orang itu sengkek (toman kata orang NS) jika kita letakan mahkota di kepala mereka pun, ia tetap sengkek. Itulah sebabnya jika hendak menempah songkok, tempahlah dari tukang songkok. Jangan tempah dari pembuat kasut. Nanti songkok akan rupa kasut pula. Itulah yang berlaku sekarang. Yang tidak layak menjadi pemimpin di angkat menjadi pemimpin. Yang layak menjadi pemimpin sentiasa diketepikan.

Begitulah pentingnya ‘disposition diri’ bagi mereka yang bercita-cita hendak jadi pemimpin. Jika tidak mampu untuk berbuat demikian elok duduk dengan saya di kedai kopi mamak sahaja. Sesudah makan tosai, kita pesan pula roti canai. Kita duduk di mana selayaknya kita.

Kepimpinan negara akan dilihat sebagai kepimpinan yang tempang jika orang yang memimpin itu bukannya yang selayaknya duduk di atas kerana ianya akan memudharatkan sistem kerajaan yang ada di bawahnya. Mereka yang jenis ini akan merasakan yang sistem yang ‘rigid’ untuk kebaikan negara itu membebankan mereka. Sistem yang baik akan menghalang dari mereka menunjukan kuasa.

Kita harus mengambil isu kelayakan ini sebagai perkara besar di dalam kepimpinan negara. Jika kita hanya mereka yang sepatutnya berada di sana maka tidak timbul masalah ‘attitude’ dalam kepimpinan. Jika kita pilih pemimpin yang baik tidak timbul ada permainan ilmu hitam misalnya kerana mereka yang mempraktikan ilmu hitam ini adalah orang yang paling rendah darjatnya kerana sanggup menduakan Tuhan yang maha Esa.

Tidak akan timbul juga tindakan menunjuk-nunjuk dengan ‘door gift’ yang mahal seperti jam yang ‘diamond studded’ kepada jemputan yang menghadiri majlis pertunangan atau perkahwinan anak kita. Kekayaan kita tidak perlu ditunjuk-tunjuk kerana ianya akan membeza nilai keperibadian seseorang itu. Jika pemimpin yang duduk dalam ‘public office’ yang tinggi orang ramai akan bertanya. ‘dimanalah mereka ini dapat kekayaan hingga berkemampuan untuk memberi hadiah yang bermillion harganya ini?’

Itulah sebabnya kita melihat rakyat begitu ramai memberikan sokongan moral terhadap NGO Bersih ini…bukannya kerana mereka menyokong Bersih tetapi mereka terlalu mual dengan apa yang dilihat mereka di dalam kepimpinan negara kita.

Rakyat sayangkan negara mereka kerana ini sahajalah negara tempat mereka berteduh. Itu sebabnya rakyat akan melakukan apa sahaja untuk mempastikan negaranya ditadbir oleh mereka yang selayaknya diyakini.

Kita boleh salahkan sesiapa, tetapi jangan sekali-kali menyalahkan rakyat. - Aspan Alias


No comments:

Post a Comment