Monday, May 23, 2011

Zahid takut Melayu sokong DAP

Aspan AliasAhmad Zahid Hamidi telah menyebut tentang usaha DAP untuk menambah bilangan calon Melayu di dalam pilihanraya yang akan datang dan sekali gus mengajak seramai mana orang Melayu untuk menganggotai parti itu. Zahid telah menyebut tentang mewujudkan Roketkini yang akan menyambung lidah DAP kepada orang Melayu. Zahid telah meminta supaya PAS dan PKR berhati-hati tentang usaha DAP untuk menarik seramai mana orang Melayu untuk bersama-sama DAP dalam politik tanah air.

Roketkini

Zahid menzahirkan kebimbangan beliau dengan usaha DAP untuk mendapatkan keahlian orang Melayu lebih-lebih lagi jika DAP menurunkan calun-calun Melayu di dalam pilihanraya umum nanti. Zahid mengingatkan orang Melayu supaya tidak ‘terpedaya’ dengan langkah DAP ini. Beliau berkata demikian semasa meresmikan Persidangan Perwakilan salah sebuah Bahagian UMNO di Melaka semalam.


Saya mempunyai persepsi yang apa yang di sebutkan oleh Zahid itu adalah sikap UMNO yang cuba menakut-nakutkan orang Melayu tanpa basis yang kuat. Pertamanya apa yang hendak diperdayakan oleh DAP yang di sebut oleh Ahmad Zahid itu? Adakah dengan membawa orang Melayu menyertai parti itu merupakan usaha memperdayakan orang Melayu?

Kita perlu ingat bahawa DAP merupakan parti berbilang kaum yang boleh disertai oleh mana-mana kaum sekali pun. Saya telah membaca perlembagaan parti itu secara terperinci setelah parti itu menghantarkan senaskah perlembagaan parti itu di atas permintaan saya baru-baru ini. DAP menjunjung perlembagaan negara dan menerima semua kandungan yang termaktub di dalam perlembagaan negara termasuk menerima bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

Tetapi siapa sahaja tahu yang kenyataan Zahid itu merupakan kenyataan yang biasa kita dengar di kalangan pemimpin BN yang sudah begitu ‘paranoid’ dengan kemajuan yang dicapai oleh parti-parti pembangkang yang dahulunya di cemuh-cemuh oleh pihak kita sebagai parti yang tidak baik bagi rakyat dan negara. Yang baik hanya BN terutamanya UMNO.

Bagi DAP ianya merupakan parti yang halal dari segi undang-undang negara. Disiplin dan moral parti itu masih tinggi seperti juga moral parti UMNO dulu-dulunya. Apabila parti kita sudah kelunturan moralnya maka DAP dengan sendirinya akan mendapat perhatian ramai terutamanya dari kaum Cina yang tahu apa yang perlu bagi kaum itu. Di sebaliknya UMNO terlalu cerca marba dengan sikap bermuka-muka dengan kaumnya sendiri dan kaum-kaum lain di negara ini.

Jika DAP mahu meningkatkan bilangan orang Melayu di dalamnya itu tidak salah dan tidak ada apa yang hendak diperdayakan oleh parti itu. Selama ini parti itu telah dimomokan sebagai parti seperti parti komunis dan chauvinistik Cina. Tetapi UMNO tidak menyedari parti komponen dalam BN, iaitu MCA merupakan parti yang lebih chauvinistik yang acap kali menyalahkan UMNO sebagai penyebab kepada kekalahan ramai calun-calunnya di dalam pilihanraya yang lalu.

MCA lah yang melaungkan supaya dihapuskan hak istimewa orang Melayu dan memperkayakan idealism dan perjuangan sama-rata tanpa mengira kaum. MCA belum lagi menunjukan bukti mampu mentadbir sebuah kerajaan sedangkan DAP sedang mangalami mentadbir sebuah negeri dengan baik dan tahap ketelusan yang tinggi.

Oleh yang demikian saranan Zahid itu hanyalah setakat menakut-nakutkan orang Melayu supaya jangan menyokong DAP. Itu sahaja. Tetapi kita tidak takut dengan perbuatan sumbang sebagai pentadbir negara dan rakyat dengan menyeliputi kerajaan pimpinan kita dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak ada batas dan hadnya.

Tidak ada siapa yang tidak sayangkan UMNO ini, tetapi UMNO yang macam mana yang mereka sayangi? Rakyat mahukan UMNO yang dipimpin oleh barisan pimpinan yang baru yang menggantikan barisan sekarang yang mereka anggap sebagai barisan pimpinan yang tidak boleh dipercayai lagi. Tahap kesabaran orang Melayu sendiri sudah sampai kepenghujungnya dan acapkali blog ini telah menyarankan UMNO sepatutnya kembali bermula ‘from the scratch’.

Bagi setengah pendapat yang tidak kurang ramainya memberikan pandangan yang sama. Selagi set kepimpinan yang ada sekarang masih berdegil maka mereka akan menggunakan hak mereka untuk mengundi dan menyokong sesiapa sahaja dalam pilihanraya yang akan datang asalkan sahaja calun-calun itu dari parti-parti yang halal di sisi undang-undang.

Ramai yang berpendapat mereka tidak mendoakan UMNO itu tumbang, tetapi kalau parti kita masih digenggam oleh barisan yang ada pada hari ini mereka tidak akan ada sesalan jika UMNO mengambil tempat sebagai parti pembangkang dalam penggal parlimen dan DUN yang akan datang. 

Orang Melayu sudah ramai yang berpendapat tidak boleh lagi menyokong UMNO semata-mata untuk menyokong. Mereka tidak mahu lagi bersabar melihat pimpinan UMNO menyelewengkan wang rakyat tanpa segan silu semata-mata kerana ia UMNO yang kononnya menjadi kewajipan orang Melayu untuk menyokongnya. Sikap menyokong membabi buta sudah berlalu.

Sudah ramai juga orang Melayu berpendapat, kalau benar orang Melayu mahu menjadi bangsa yang ber’consequence’ mereka patut menyertai DAP untuk mengimbangi kaum-kaum lain yang berada di dalam parti itu. Inilah ‘advantage’ yang ada kepada DAP. Orang Melayu boleh menyertainya tetapi kita tidak boleh menyertai MCA. MCA hanya untuk kaum Cina. DAP untuk semua kaum.

Zahid sepatutnya lebih takut jika orang Melayu tidak menyokong UMNO kerana jika mereka tidak menyokong DAP mereka akan menyokong PAS dan PKR.

“Kita mesti hidup mengikut zaman dan waktunya” kata seorang sahabat yang sebangsa dengan saya. - Aspan Alias.


No comments:

Post a Comment