Sunday, May 1, 2011

[Video] Anak Bongsu Gaddafi, Tiga Cucu Terkorban Diserang NATO


Pemimpin Libya Muammar Gaddafi terselamat dalam serangan peluru berpandu NATO, tetapi serangan dilancarkan semalam itu telah meragut nyawa anak bongsu dan tiga cucunya selain turut mencederakan sejumlah rakan dan saudara-maranya.


Muammar dan isterinya berada di rumah anak mereka Saif al-Arab Gaddafi, 29, ketika premis itu menjadi sasaran satu peluru berpandu Nato, demikian menurut jurucakap Libya Moussa Ibrahim.


Saif al-Arab, anak keenam Muammar pernah belajar di sebuah universiti Jerman tetapi tidak menghabiskan pengajiannya, kata Moussa.

Pegawai-pegawai Libya membawa wartawan ke sebuah rumah satu tingkat di kawasan kediaman elit. Sebahagian ruang atap rumah itu kelihatan musnah.

Moussa berkata vila itu diserang dengan hentaman yang kuat, dirujuk kepada peluru berpandu.

“Ini operasi langsung untuk membunuh pemimpin negara ini,” kata jurucakap itu.

“Pemimpin kami (Muammar) berada dalam keadaan sihat,” kata Moussa. 

“Beliau tidak cedera. Isterinya juga berada dalam keadaan sihat,” katanya dipetik laporan media asing.

Dalam laporan disiarkan msnbc hari ini, Moussa berkata, Saif al-Arab “sedang bermain dan bercakap dengan bapa dan ibunya serta anak-anak saudaranya apabila dia diserang bagi kesalahan yang dia tidak lakukan.

Selasa lalu, Setiausaha Pertahanan Britain Liam Fox dan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat Robert Gates memberitahu pemberita di Pentagon bahawa pesawat-pesawat NATO tidak menyasarkan Muammar secara khusus tetapi akan terus menyerang pusat-pusat perintah tindakan ketenteraan.

Muammar ada tujuh anak lelaki dan seorang perempuan.

Pemimpin juga mempunyai seorang anak angkat yang terbunuh dalam tindakan ketenteraan Amerika Syarikat ke atas kawasan kediamaannya di Bab al-Aziziya pada 1986.

Ibu Saif al-Arab adalah Safiya Farkash iaitu isteri kedua Muammar dan seorang bekas jururawat.

Serangan semalam muncul beberapa jam selepas Muammar meminta agar diadakan perundingan dengan kuasa-kuasa NATO bagi mengakhiri serangan ke atas Libya yang sudah berlarutan hampir dua bulan.



Popout

Popout

No comments:

Post a Comment