Sunday, May 22, 2011

Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa : Punca kejadian (+Video)

[HM] KUALA LUMPUR: Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat, semalam, berkemungkinan berpunca daripada faktor alam semula jadi, iaitu aliran puing (debris flow).

Al-A`raaf:054  

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, lalu Dia bersemayam di atas `Arsy [548]. Dia menutupkan malam kepada siang yang mengikutinya dengan cepat, dan (diciptakan-Nya pula) matahari, bulan dan bintang-bintang (masing-masing) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Tuhan semesta alam.

 
Pengarah Institusi Alam Sekitar dan Pembangunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata ini kerana kawasan berkenaan masih belum diteroka dan aliran puing hanya berlaku secara di kawasan sedemikian setiap 20 hingga 30 tahun sekali bergantung kepada cuaca semasa.


Katanya, kejadian berkenaan berkemungkinan mempunyai persamaan dengan tragedi banjir lumpur yang berlaku di Pos Dipang, Kampar, Perak pada 1996 dan di Jalan Susur Genting Highlands pada 1995.


“Debris flow ini berpunca daripada tiga faktor alam sekitar iaitu keadaan cuaca, keadaan muka bumi dan geologi, di mana ia turut berkaitan dengan sumber air atas bukit.


“Tekanan air atas bukit yang kuat ini turut membawa sekali batu, pokok serta tanah dan mengakibatkan pergerakan tanah punca berlakunya tanah runtuh,” katanya.

Menurut Ibrahim, kejadian ini adalah normal berlaku di kawasan berbukit tetapi tidak diberi perhatian serius kerana jarang membabitkan kawasan didiami penduduk.

“Di negara kita sendiri perkara ini selalu terjadi tetapi biasanya tidak diketahui kerana berlaku di tengah hutan seperti Banjaran Titiwangsa.

“Disebabkan ia jarang diberi perhatian, masalah ini tidak diambil berat oleh pihak berkaitan, termasuk orang ramai yang masih berani mendirikan rumah di lereng bukit,” katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata, kejadian berkenaan berbeza dengan kes tanah runtuh yang berlaku di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, Ampang, Selangor pada 6 Disember 2008.

“Kejadian di Bukit Antarabangsa berpunca daripada kecuaian manusia yang rakus melakukan pembangunan tidak terkawal di kawasan bukit.

“Bagaimanapun, dalam kedua-dua situasi ini, kawasan berkenaan tetap mempunyai risiko untuk berlakunya tanah runtuh kerana terletak di kawasan bukit,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan kejadian seperti ini tidak berulang, pihak berkaitan, khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT), memantau keselamatan kawasan berbukit yang didiami penduduk.

Katanya, ini kerana kejadian tanah runtuh hingga membabitkan kehilangan nyawa sering berlaku tetapi tindakan yang diambil selepas itu hanya sementara, lantas diabaikan.

“Kita lihat ini sebagai kelemahan kerana pemantauan dan pelbagai cadangan hanya dibuat bila kejadian berlaku, tetapi bila reda isu itu ia dilupakan,” katanya.


Popout

Popout
DC

No comments:

Post a Comment