Sunday, May 22, 2011

Rancangan DAP Letak Calon Melayu Khianati Pas, PKR - Zahid Hamidi

 Malay-Sikh hair cutting case: Minister says action to be taken against culprits
ALOR GAJAH, 22 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan rancangan DAP untuk meletakkan calon Melayu bertanding mewakili parti tersebut di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Beliau berkata DAP kini sedang mengenalpasti orang Melayu yang sesuai untuk dijadikan calon bagi bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terutama di Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Mereka telah mencari jalan supaya calon-colon itu dapat diterima oleh pengundi,” katanya kepada selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Masjid Tanah dekat sini, hari ini.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Pertahanan, berkata DAP merancang meletakkan calon orang Melayu di Perak untuk menguasai negeri itu dengan menteri besarnya terdiri daripada calon DAP.
“Ini kerana perlembagaan negeri Perak tidak mengizinkan orang bukan Melayu menjadi Menteri Besar, oleh itu DAP merancang meletakkan calon Melayu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri supaya akhirnya Menteri Besar itu dari DAP,” katanya.
Beliau berkata di negeri lain, parti pembangkang itu merancang meletakkan calon Melayu di kawasan yang majoriti pengundi Melayu dan Barisan Nasional (BN) meletakkan calon bukan Melayu.
Katanya strategi terancang itu tidak mustahil untuk dilakukan kerana DAP telah memulakan blog dalam bahasa Melayu berbanding selama ini hanya menggunakan bahasa Inggeris dan Mandarin untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai.
“Kita menghidu rancangan DAP ini tanpa disedari oleh Pas dan PKR (Parti Keadilan Rakyat), Sebab itu saya ingin mengingatkan PAS dan PKR jangan jadi kuda tunggangan kepada DAP,” katanya.
Ahmad Zahid mengingatkan UMNO dan parti komponen BN yang lain, supaya berhati-hati dengan taktik secara berstruktur dan sistematik yang dilakukan oleh DAP itu.
“Kita jangan berada dalam zon yang selesa dengan tindakan yang dilakukan DAP, saya ingatkan orang Melayu jangan jadi tali barut kepada DAP, sama ada mereka menjadi calon secara langsung atau rakan yang bersekongkol di bawah pakatan rakyat,” katanya. - umno-online

No comments:

Post a Comment