Saturday, May 21, 2011

'Permintaan tinggi bukan punca pelarasan harga gula'

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam menafikan pelarasan harga gula sebanyak 20 sen daripada RM2.10 kepada RM2.30 sekilogram pada 10 Mei lalu, dibuat kerana permintaan yang semakin tinggi berikutan Ramadan. 


Timbalan Menterinya, Datuk Tan Lian Hoe, berkata keputusan terbabit dibuat berdasarkan kajian yang dibuat pihaknya pada setiap enam bulan sekali dan ia langsung tidak membabitkan dengan sebarang musim perayaan.


“Sebenarnya, kenaikan harga gula ini langsung tidak dipengaruhi musim perayaan. Lagipun kenaikan harga gula masih pada tahap yang rendah iaitu sebanyak 20 sen saja, malah ia juga hanya akan memberi kesan yang kecil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kempen ‘Go Green - Smiley’, di sini, semalam.




Hadir sama, Pengarah Dagangan Carrefour Malaysia, Karan Khurana dan Pengarah Penjagaan Rumah dan Diri, Unilever (M) Holdings Sdn Bhd, Ainul Yakin. 


Tan berkata, kementeriannya juga akan turut memantau kegiatan segelintir pihaktidak bertanggungjawab yang dilaporkan sudah menaikkan harga makanan dan minuman pada harga yang tidak munasabah dengan menggunakan alasan kenaikan gula ini. 

“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang didapati melakukan kesalahan menaikkan harga barangan mereka. Kementerian akan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 bagi menghukum mana-mana pihak yang ingkar terhadap arahan kementerian untuk tidak menaikkan harga barang. 

“Kementerian juga menggesa semua pengguna supaya melaporkan terus kepada kementerian sekiranya ada peniaga menaikkan harga barang dengan terlalu tinggi. Aduan mereka itu mestilah lengkap iaitu mempunyai alamat peniaga, resit belian dan bukti lain yang relevan supaya KPDNKK akan dapat mengambil tindakan kelak,” katanya.- BH 


No comments:

Post a Comment