Thursday, May 19, 2011

Peluang terbaik Anwar membela diri di hadapan hakim — Utusan Malaysia

anwar-ibrahimJika Datuk Seri Anwar Ibrahim bijak orangnya, beliau boleh pergunakan hari-hari perbicaraan mulai 6 hingga 30 Jun ini untuk membela dirinya daripada tuduhan liwat.


Hari-hari itu amat penting dimanfaatkan sepenuhnya untuk menafikan tuduhan bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan. Sejak kes liwat itu terbongkar pada Jun 2008, pelbagai cerita dan persepsi disebarkan melalui mulut ke mulut dan alam siber.


Rakyat sudah mendengar kenyataan dakwaan daripada Mohd Saiful perihal dia diliwat oleh pemimpin pembangkang itu sewaktu perbicaraan yang kerap diganggu dengan penangguhan demi penangguhan.

Kini masanya untuk Anwar menceritakan kisah sebenar dakwaan petuduh itu.

Anwar ada barisan peguam bela yang diketuai Karpal Singh dan pakar-pakar perubatan yang hebat serta saksi-saksi yang mungkin dapat membantunya sebagai pihak yang tidak bersalah.

Terpulang kepada pasukan pembela Anwar untuk membuktikan bahawa dakwaan ini cuma diada-adakan.

Pun begitu, mahkamah ketika memanggil Anwar untuk membela diri kelmarin, mendapati keterangan Mohd Saiful boleh dipercayai dan selaras dengan saksi-saksi pakar bahawa perbuatan liwat telah berlaku ke atas dirinya.

Kes liwat melibatkan Anwar ini adalah yang kedua. Dan tuduhan kes itu cukup serius kerana ia dibicara mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat.

Pada 2000, Anwar dituduh meliwat pemandu kepada isterinya, Azizan Abu Bakar. Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan membatalkan sabitan itu dan mengetepikan hukuman penjara.

Dalam perbicaraan membela diri kali ini, apa yang dikatakan oleh pembangkang sebagai dalang akan terjawab kelak.

Yang pasti, kes liwat ini dibawa sendiri oleh Mohd Saiful. Maka ia kes peribadi di antara Anwar dengan Mohd Saiful. Ia tiada kaitan dengan kerajaan ataupun Umno.

Mahkamah adalah tempat Anwar mencari keadilan. Beliau sendiri sudah banyak diberi layanan yang tidak pernah diberi kepada tertuduh biasa. Tidak perlulah beliau berdolak dalih lagi. Berilah keterangan sebenar supayanya menjadi jelas. Dan hakim dapat memberi keadilan kepada yang berhak.

Para penyokong Anwar pula boleh datang ke mahkamah untuk mendengar atau memberi sokongan moral tetapi usah buat kecoh. Biarlah barisan peguam bela dan pendakwa berhujah dan hakim membuat pertimbangannya.

Kita mengharapkan proses perbicaraan kes liwat ini berjalan dalam suasana baik dan aman. Tidak perlu ada provokasi dan kekecohan di jalan-jalan raya oleh penyokong Anwar. Tidak perlu juga satu pasukan polis yang terpaksa berkawal sekitar mahkamah dan ibu kota.

Anwar tidak perlu rasa takut mahupun gentar jika yakin berada di pihak yang benar. Jika Penasihat PKR itu yakin beliau tidak bersalah, maka tidak perlu kes hampir tiga tahun ini ditangguhkan lagi. Kita tidak mahu lagi melihat mahkamah seolah-olah dipersendakan.

Di dalam mahkamah nanti, inilah peluang Anwar membuktikan bahawa kes liwat itu tidak pernah terjadi dan jelas ada konspirasi untuk menjatuhkannya. Tetapi kena tunjukkan bukti dan bukan sekadar melontar kata-kata sahaja. — Utusan Malaysia



No comments:

Post a Comment