Wednesday, May 18, 2011

Pelakon Bercerai Mempunyai Anak Luar Nikah (+Video)


Los Angeles: Bintang filem dan bekas gabenor, Arnold Schwarzenegger, berkata dia berpisah dengan isterinya, Maria Shriver, selepas dia mengaku memiliki anak luar nikah dengan kakitangannya.


“Selepas melepaskan jawatan, saya memberitahu Maria mengenai kejadian yang berlaku lebih sedekad lalu,” katanya dalam kenyataan kepada akhbar Los Angeles Times, semalam.


Schwarzenegger, 63, berkata dia memahami perasaan marah dan kecewa Maria serta rakan dan keluarganya.

Katanya, mereka memang berhak berperasaan begitu.

“Tidak ada sebarang alasan mengenainya dan saya bertanggungjawab atas kesalahan itu,” katanya.

Kata bintang filem Predator itu, dia meminta maaf kepada Maria, anak-anak dan saudara-maranya atas perbuatannya itu.

Akhbar berkenaan tidak menamakan wanita yang melahirkan anak Schwarzenegger tetapi melaporkan, dia bersara Januari lalu selepas bekerja untuk pasangan terbabit selama 20 tahun.

Los Angeles Times melaporkan, wanita terbabit bersara secara baik.

Maria, 55, berpindah dari rumah pasangan terbabit di Brentwood awal tahun ini selepas Schwarzenegger mengaku mengadakan hubungan sulit dengan wanita berkenaan.

Memetik satu sumber, Los Angeles Times berkata, Schwarzenegger membiayai anak haramnya itu sejak awal dan kini masih menanggung keperluan kewangannya.

Schwarzenegger dan Maria berkahwin pada 1977 dan mempunyai empat anak berusia di antara 14 dan 21 tahun.

Sepanjang tempoh menjadi gabenor, Maria - bekas wartawan penyiaran - setia menyokong Schwarzenegger walaupun ada laporan mendakwa aktor terbabit pernah mencabul wanita ketika cuba mendapatkan mandat kali kedua sebagai gabenor California pada 2003. Schwarzenegger kini cuba menerbitkan komik Governator dan siri animasi televisyen. - AFP



Popout


No comments:

Post a Comment