Sunday, May 29, 2011

NIAT: Interlok punca pelajar dipaksa cakap 'Keling Babi'

NONE
Novel Interlok, yang menjadi komponen sastera tingkatan lima dan kini melalui proses pindaan bahagian-bahagian yang sensitif terus dilanda kontroversi dan dikatakan memberi implikasi perkauman yang serius.


Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Nasional (NIAT) Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim berkata terdapat beberapa kejadian kurang menyenangkan berlaku terhadap pelajar India sejak novel itu dijadikan bahan teks sastera di sekolah.



“Seperti di sebuah sekolah menengah di Sungai Buloh, dalam rakaman Youtube, kami dapati terdapat sekumpulan pelajar kaum Melayu memaksa seorang pelajar kaum India cakap 'Keling Babi'.


“Inilah punca kenapa kami mahu Interlok dihapuskan. Interlok tidak sesuai dijadikan novel pelajar sekolah,” katanya pada sidang akhbar kepada TV Selangor, semalam.



Sehubungan itu, Thasleem berkata NIAT akan bermogok lapar sekiranya kerajaan tidak memansuhkan novel yang menimbulkan pelbagai kontroversi itu.



azlanLangkah itu bertujuan membuktikan bahawa pihaknya benar-benar serius dalam pendiriannya menuntut novel tersebut digugurkan. 


“Saya ingin memberi amaran kepada kerajaan, jangan memandang rendah terhadap suara rakyat. Mereka tidak tahu apa kita boleh lakukan walaupun jumlah kita sedikit.



“Kita sanggup lakukan mogok lapar. Kami bukan berpuasa, tetapi berlapar. Tidak makan berhari-hari. Kita akan berjuang habis-habisan sehingga kerajaan menghapuskan novel Interlok ini,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, bila mogok lapar itu bakal diadakan akan diberitahu kelak.


Dalam pada itu, Thasleem turut mencabar Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran agar berdebat dengan pihaknya.



azlanBeliau berkata, dirinya tidak gentar untuk berhadapan dengan Muhyiddin semata-mata bagi memastikan Interlok edisi murid itu dapat dimansuhkan



“Saya mencabar TPM untuk berdebat dengan saya bercakap mengenai novel Interlok, adakah ia bagus untuk negara dan bagus dari perspektif Islam,” katanya.



Pada masa yang sama, beliau turut menggesa Presiden MIC Datuk G Palanivel dan timbalannya Datuk Dr S Subramaniam meletakkan jawatan berikutan kegagalan mereka memastikan Interlok dimansuhkan.


Tambah Thasleem, pihaknya kini giat menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada orang ramai mengenai Interlok.


“Ramai lagi yang tak faham mengenai Interlok ini. Jadi kami akan jelajah negara untuk memberi penerangan kepada mereka,” katanya.


NONEMuhyiddin yang juga menteri pelajaran sebelum ini berkata, novel Interlok akan kekal digunakan sebagai teks komponen sastera mata pelajaran Bahasa Malaysia tingkatan lima dengan pindaan dibuat kepada bahagian yang dianggap sensitif.


Katanya, pindaan itu dibuat selepas panel bebas mengkaji novel Interlok telah mengenal pasti bahagian yang dianggap sensitif itu.


Novel karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu menimbulkan kontroversi berikutan keputusan Kementerian Pelajaran memilihnya sebagai teks sastera Tingkatan Lima tahun ini kerana didakwa terdapat perkataan yang menyinggung perasaan masyarakat India di negara ini. - MK



No comments:

Post a Comment