Thursday, May 5, 2011

Negara tak stabil tanpa wakil Cina dalam kerajaan, tegas Mahathir

PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata komuniti Cina perlu mengekalkan MCA dalam kerajaan bagi memastikan kestabilan dan kerjasama pelbagai kaum negara ini berterusan.



Sehubungan itu tegas bekas perdana menteri , perkara tersebut menjadi perhatian seluruh negara memandangkan tanpa kerjasama antara pelbagai kaum dalam kerajaan, ketidakstabilan akan menjadi satu isu.


“Ia akan mencetuskan kebimbangan bagi seluruh negara. Apabila kita membahagikan kita kepada Cina dan Melayu, dan kita bertelagah satu sama lain, maka akan berakhirlah kerjasama dan tidak akan wujud kestabilan dalam negara,” kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah Pertandingan Penulisan Esei MPH-Yayasan Kepimpinan Perdana 2010 di sini hari ini.


Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kaum Cina perlu membuat pilihan sama ada untuk memilih MCA pada pilihan raya umum ke-13 atau kehilangan wakil dalam Kabinet pusat dan negeri.

Kata Najib, masyarakat Cina telah diberikan mesej yang jelas dalam isu tersebut.

“Pengundi kaum Cina telah diberi mesej jelas berhubung perkara itu,” kata beliau.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata beliau melihat MCA mahu memberi satu mesej kepada pengundi keturunan Cina bahawa mereka tidak boleh menyokong pembangkang dan dalam masa yang sama mahu penyertaan kuat dalam kerajaan.

Sehari sebelum itu, MCA, komponen kedua terbesar dalam BN, mengumumkan pendirian tidak akan menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri jika calonnya gagal mencapai keputusan terbaik pada pilihan raya umum ke-13.

Presidennya Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek berkata, penolakan jawatan tersebut turut melibatkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk Ketua Kampung serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

‘‘Keputusan yang diambil hari ini hanyalah (bermakna) kita tidak akan menerima apa-apa jawatan di peringkat Kabinet dan negeri, bagaimanapun MCA masih tetap kekal sebagai parti komponen BN.

‘‘MCA akan terus duduk dan menyokong BN kerana kita masih yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib khususnya dalam program transformasi ekonomi dan negara,” kata beliau.

‘‘Kami yakin kewibawaan Perdana Menteri selaku pemimpin masyarakat majmuk untuk mencapai gagasan 1 Malaysia,” katanya.

Dr Chua berkata, keputusan yang diambil itu secara tidak langsung akan menyuntik semangat kepada seluruh ahli MCA untuk menggandakan usaha bagi meningkatkan sokongan masyarakat Cina menjelang pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.

Pada 8 Mac 2008, MCA memenangi 15 daripada 40 kerusi Parlimen dan 31 daripada 90 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi parti terbabit.

Dalam komennya hari ini, Dr Mahathir bersetuju bahawa Najib telah menekankan dengan jelas bahwa sekiranya MCA memperlihatkan prestasi buruk dalam pilihan raya umum akan datang, pemimpin-pemimpin parti itu tidak akan dilantik menganggotai kerajaan.

“Anda tidak boleh mengharapkan bahawa jika tidak ada calon-calon (MCA) tetapi Barisan Nasional menang, mereka akan mengambil seorang wakil DAP sebagai menteri.

“Ia tidak mungkin,” kata beliau dengan merujuk kepada senario 1969 apabila bekas presiden MCA mendiang Tun Tan Siew Sin mengambil pendirian yang sama.

“Tetapi dalam mana-mana kes, MCA masih menang sejumlah banyak kerusi, dan oleh itu ada calon-calon MCA untuk diwakili dalam kerajaan.” - KB


No comments:

Post a Comment