Tuesday, May 17, 2011

Muhyiddin Minta Pimpinan UMNO Selesaikan Segera Masalah Dalaman

PETALING JAYA, 17 Mei – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meminta pimpinan UMNO di semua peringkat supaya segera menyelesaikan sebarang masalah dalaman sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan pada bila-bila masa sahaja.
Timbalan Presiden UMNO itu berkata sepanjang tempoh mengadakan lawatan serta pemantauan di beberapa bahagian UMNO baru-baru ini, beliau mendapati masih ada bahagian, cawangan atau sayap yang dibelenggu masalah dalaman.

“Saya mengakui sudah ada angin perubahan dari segi sokongan rakyat kepada kita, tetapi pada masa yang sama ada sebahagian lagi bahagian UMNO yang masih dalam keadaan sama (menghadapi masalah dalaman dan tidak berubah).
“Kita harus sedar, selepas ini kita akan berhadapan pilihan raya umum. Memang Perdana Menteri belum memberi isyarat dan tidak membisik apa-apa kepada saya, tapi ingat pilihan raya mungkin boleh diadakan esok, mungkin beberapa bulan lagi dan mungkin juga sebelum 2013,” katanya ketika berucap merasmi persidangan perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara (PJU) di sini, hari ini.
Muhyiddin berkata meskipun angin perubahan telah dirasai di seluruh negara, tetapi ia belum cukup kuat dan memerlukan usaha yang lebih gigih untuk memastikan kedudukan Barisan Nasional (BN) lebih kukuh dan terus menerajui kerajaan.
Menurutnya Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak telah memperkenalkan pendekatan yang luar biasa iaitu transformasi kerajaan di mana kerajaan melihat apa yang dikehendaki oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya proses transformasi kerajaan harus dilakukan secara berkesan agar ia   boleh dilihat dan dirasai oleh rakyat jelata.
“Hasil program transformasi ini juga telah menampakkan hasil yang kini sudah mulai dirasai oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin turut mengingatkan setiap parti komponen BN supaya bekerja keras untuk menebus kekalahan di kerusi yang sebelum ini menjadi milik parti itu tanpa mengira calon dari parti komponen yang bertanding.
Beliau berkata BN telah mengamalkan konsep perkongsian kuasa sejak dulu lagi dan atas dasar itu, kerjasama antara parti komponen perlu diperkukuhkan semula untuk merampas kembali kawasan yang telah diduduki pembangkang.
“Umpamanya, kerusi PJU ini milik MCA. Sebagai rakan dalam BN, UMNO akan bekerja keras untuk membantu MCA merampas kerusi ini daripada DAP.
“Begitu juga dengan kerusi yang dimiliki UMNO atau mana-mana parti, semua parti komponen akan membantu untuk memenangkan calon yang bertanding. Ini adalah formula yang telah lama diamalkan oleh BN,” katanya.
Dari Blog : UMNO-Online

No comments:

Post a Comment