Tuesday, May 31, 2011

MISKIN TEGAR DI TAVIU, DI MANA SHARIZAT?


HULUR....James menghulur sumbangan kepada Madilina disaksikan Pengerusi JKKK Kg Taviu Loko (Bertopi).

SETELAH kematian suaminya kira-kira lima tahun yang lalu, seorang ibu tunggal terpaksa mengharungi keperitan hidup untuk menyara dan membesarkan tujuh orang anaknya yang masih kecil.

Madilina Duansat, 38, bersama 7 orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas mendiang suaminya, Jimmy Keling yang meninggal dunia pada 2004; kini terpaksa menumpang di sebuah pondok usang kepunyaan jirannya yang terletak di tepi jalan Kg Taviu, Telupid.

Dalam tinjauan Sabahkini.Net bersama Ahli Majlis Daerah Beluran yang juga Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Beluran, James Miki ketempat tersebut, mendapati pondok yang didiami oleh Madilina bersama 7 orang anaknya itu persis reban ayam tanpa tuan.

Menurut James, masalah mereka ini sudahpun diajukan kepada pihak tertentu termasuk ADUN Labuk dan Ahli Parlimen Beluran, tetapi sehingga sekarang tiada sebarang tindakan diambil .

“Saya amat simpati melihat keadaan mereka sekeluarga dan teramat kesal kerana bagaimana ADUN dan Ahli Parlimen boleh terlepas pandang kebajikan mereka ini. Di mana peranan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JKPAS) dalam hal ini?” Tanya James yang berharap agar masalah kecil ini diselesaikan segera.

Dalam pada itu, ketika ditanya, Madilina menjelaskan, beliau telah memohon bantuan daripada JPKAS dan juga mengisi borang E-kasih, namun sehingga kini beliau hanya disuruh menunggu dan menunggu; sedangkan anak-anaknya perlu disuap setiap hari dan memerlukan belanja untuk menyekolahkan mereka.

“Saya hanya mampu menyekolahkan dua orang anak saya sahaja. Yang lain buta huruf,” tegas Madilina yang terpaksa menggigit bibir untuk menahan air matanya luruh ketika menceritakan anaknya dipersenda rakan kerana tidak bersekolah.

Bagi meringan beban, James telah menghulur bantuan barang makanan dan wang tunai sementara permohonan mereka dengan JPKAS dan E-Kasih disemak.

“Alangkah bertuahnya mereka jika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dapat turun padang melihat kehidupan ratusan keluarga yang serba daif di Pinangkau dan Tongod,” ujar James lagi.

No comments:

Post a Comment